Monday, November 30, 2009

Nik Aziz guna agama untuk politik: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Niat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan adalah kesalahan besar daripada segi agama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau tidak dapat membayangkan bagaimana seorang yang dikatakan sebagai tokoh agama sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu, lebih-lebih lagi terhadap pemimpin yang seagama dan sebangsa dengannya.

"Saya tidak bolehlah menasihatkan kerana dia (Nik Abdul Aziz) lebih tahu daripada saya. Tapi kenyataan seperti ini tidak patut dikeluarkan oleh seorang yang dikatakan tokoh agama.

"Mungkin dia (Nik Abdul Aziz) lebih merupakan seorang tokoh politik dan menggunakan agama untuk tujuan politik... jual agama untuk kepentingan politik. Ini (kenyataan tersebut) sesuatu yang tidak boleh kita gambarkan," katanya kepada pemberita ketika ditanya kenyataan Menteri Besar Kelantan itu.

Terdahulu Muhyiddin berucap merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sikap Nik Abdul Aziz itu tidak mencerminkan ketokohan agama seperti yang selama ini diuar-uarkan mengenai pemimpin itu.

"Saya tidak pernah mendengar dalam sejarah hidup saya... (ada orang) buat doa jahanamkan manusia lebih-lebih lagi seagama dan sebangsa. Saya fikir (doa itu) suatu yang menyalahi tuntutan agama. Saya tidak tahu apa hukumnya. Mungkin orang agama tahu," katanya.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah pemimpin Pas menggunakan agama untuk kepentingan politik dan dalam hal ini, rakyat harus sedar mengenai parti yang menggunakan agama serta menyeleweng daripada ajaran agama Islam. - Berita Harian

Anwar pernah peralatkan BTN - Mukhriz

Oleh Muzdalifah Mustapha

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Kursus Biro Tata Negara (BTN) pernah dijadikan landasan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kepentingan peribadi termasuk menonjolkan diri bagi meraih sokongan rakyat.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tindakan Anwar itu jelas menunjukkan bahawa objektif BTN telah berjaya dan kesan daripada kaedah yang digunakan juga berkesan.

Malah kata beliau, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga pernah membangkitkan semangat rakyat menerusi BTN dengan berjanji untuk membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah mereka.

''Kita ada menerima laporan ketika BTN dijalankan, Anwar dalam dewan yang gelap merintih untuk membangkitkan semangat peserta dengan mengatakan akan menjelma seorang pemimpin agung yang akan menyelamatkan negara. Tiba-tiba dewan menjadi terang dan menjelma gambar beliau.

''Jadi, kalau Selangor haramkan BTN, biarlah mereka sendiri yang jawab kenapa zaman Anwar dahulu dia gunakan BTN untuk tarik sokongan sehingga sampai ke satu tahap ada orang yang terlalu taksub kepada Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban dan Jamuan Mesra Rakyat Kampung Melayu Batu 16, Rawang dan laman web sosial, Facebook kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal.

Muhkriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan tidak pernah memasukkan unsur politik ke dalam BTN, sebaliknya ahli pembangkang itu sendiri yang menggunakan BTN untuk menaikkan pengaruhnya.

''Pembangkang sering mengatakan kerajaan menjadikan BTN sebagai tempat untuk membasuh minda, tetapi jika betul mereka mengatakan begitu, bermakna kaedah BTN memang berjaya kerana ramai yang keluar daripada BTN menunjukkan sikap-sikap yang positif.

''Ada yang daripada malas berubah menjadi rajin. Bagi yang Muslim daripada malas sembahyang tetapi dah mula sembahyang lima waktu. Saya lihat tidak wajar dan langsung tak masuk akal ia diharamkan," katanya.

Mengenai doa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO katanya, UMNO tidak akan mendoakan perpecahan Pas dan parti-parti lain.

Sebaliknya kata beliau, UMNO terus berharap untuk duduk semeja dengan Pas bagi memikirkan tentang kepentingan Melayu, Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sehubungan itu katanya, beliau sering mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengabdikan diri kepada Allah dengan harapan UMNO dan Pas tidak akan bertelingkah.

''Saya pernah menyatakan impian saya untuk melihat UMNO dan Pas duduk semeja dan itu masih menjadi impian saya dan saya berpegang kepada perkara itu.

''Kerana itu saya langsung tidak mendoakan parti itu (Pas) akan berpecah. Jika parti itu boleh bersatu sesama mereka dan UMNO, proses duduk semeja akan lebih mudah," ujarnya. - Utusan

Najib Musykil Dengan 'Doa' Nik Aziz

PORT OF SPAIN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf berhubung hasrat Menteri Besar Kelantan itu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan beliau dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Perdana Menteri berkata Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman.

"Saya tidak faham mengapa perlu berdoa sedemikian sebab memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

"Apa juga nama yang diberi, royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama. Dan rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk tujuan lain," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia ketika ditanya mengenai perkara itu di sini Ahad.

Najib berkata sebelum ini pun kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk rakyat Kelantan walaupun negeri itu diterajui pihak lain.

"Jadi, macam mana pula mereka nak tuduh kita ni tidak adil dan sebagainya," kata beliau yang berada di Port of Spain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketuaketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir Ahad.

Menurut Perdana Menteri, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian, dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

"Berbalah sesama sendiri merupakan sesuatu yang tidak diterima dalam Islam, begitu juga bila kita mengutuk orang lain tanpa asas," kata Najib.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun hadapan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Menyentuh krisis dalaman MCA, Najib berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan. Saya telah pun menyerahkannya kepada timbalan saya Tan Sri Muhyiddin Yassin (untuk menyelesaikan masalah itu)," katanya.

"Jika tidak, saya mungkin perlu bercakap dengan kumpulan (yang berbalah) itu," kata Najib. - Mstar Online

Taktik nik aziz alih isu menantu dan tajaan haji

Oleh Zulkiflee Bakar
zulkifli.bakar@utusan.com.my


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat amat memahami bahawa isu pelantikan menantunya, Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah menjejaskan imej kerajaan negeri pimpinannya.

Walaupun Ariffahmi sudah diminta meletakkan jawatan pada minggu lalu, namun ia sama sekali tidak mampu memperbaiki imej Nik Abdul Aziz dan pentadbirannya kerana didakwa mengamalkan kronisme - satu tuduhan yang selama ini kerap kali ditujukan oleh Pas kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tidak cukup dengan isu itu, Nik Abdul Aziz juga berhadapan dengan persepsi serong masyarakat dan penyokong Pas apabila beliau mengesahkan bahawa sebuah syarikat akan menaja beliau menunaikan ibadah haji. Walaupun akhirnya beliau membatalkan pemergian itu tetapi isu tajaan ini tetap menjadi bualan kerana ramai yang mempersoalkan kenapakah beliau menerima tawaran berkenaan pada peringkat awalnya dan motif di sebalik tajaan itu.

Sepatutnya, Nik Abdul Aziz memahami atas apa alasan sekalipun beliau tidak boleh menerima tawaran itu kerana ia boleh menimbulkan fitnah memandangkan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Kedua-dua isu ini sudah cukup menggugat pentadbiran Nik Abdul Aziz yang selama ini begitu bangga dengan slogan 'Membangun Bersama Islam'. Oleh itu bagi mengalih tumpuan orang ramai, maka sesiapa pun tidak harus terkejut apabila Nik Abdul Aziz pada Jumaat lalu sekali lagi mendoakan agar Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama beliau berbuat demikian, malah sudah kali ketiga. Kali pertama ialah pada 18 September lalu dan kali kedua pada 2 Oktober lalu. Sikap Nik Abdul Aziz ini dengan jelas bertentangan dengan kedudukannya sebagai seorang ulama yang tentunya amat memahami bahawa Islam melarang sama sekali kita berdoa dengan tujuan memusnahkan sesama Islam.

Tetapi Nik Abdul Aziz berhujah pada 2 Oktober lalu, ''Tak apa (membaca doa bala ke atas Najib), Nabi Muhammad pun doa bala kepada orang Mekah kena kemarau sampai tujuh tahun sehingga orang itu makan bangkai dan tikus."

Walaupun tindakan Nik Abdul Aziz itu tidak wajar tetapi beliau sebenarnya tidak mempunyai pilihan dalam usaha mengalih perhatian rakyat daripada terus berbincang mengenai amalan kronisme yang berlaku dalam pentadbirannya. Biar pun Nik Abdul Aziz mengatakan beliau sudah lega kerana isu menantunya sudah selesai tetapi ia belum mampu menutup mulut orang ramai untuk memperkatakannya.

Malah situasi dikatakan menjadi bertambah buruk apabila anaknya, Nik Amalina yang juga isteri kepada Ariffahmi menghantar e-mel kepada sebuah blog bagi membela suaminya. Berdasarkan kepada komen-komen balas dalam blog itu, ternyata kredibiliti Nik Abdul Aziz mula dipersoalkan, bukan sahaja di kalangan orang ramai tetapi juga segelintir penyokong Pas.

Ini belum lagi mengambil kira tulisan seorang lagi anak beliau, Nik Abduh dalam blognya yang sering sahaja menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan sesetengah pemimpin Pas di Kelantan termasuk yang bertaraf Exco Kerajaan Negeri.

Oleh itu mahu tidak mahu Nik Abdul Aziz perlu mencari jalan supaya kesemua isu ini tidak terus menggugat kepimpinannya dan paling penting imej beliau sebagai 'tok guru' dapat dipertahankan. Justeru selain terus menjadikan soal royalti minyak yang sepatutnya sudah menjadi 'isu basi', Nik Abdul Aziz juga turut 'mendedahkan' kononnya terdapat konspirasi bagi menjatuhkan beliau daripada jawatan Menteri Besar dan ia diketuai oleh seorang bernama Kolonel Mat.

Demikianlah taktik Nik Abdul Aziz berpolitik, beliau berharap dengan mencetuskan 'perkara baru', segala kontroversi berkaitan menantu dan tajaan haji dapat diredakan, tetapi beliau terlupa bahawa kedua-dua isu tersebut bukanlah perkara kecil. Jika Nik Abdul Aziz terus tidak mahu mengaku kesilapan tetapi terus berdalih dengan menyerang kerajaan pusat, percayalah lambat laun doa bala yang dilafazkan boleh 'memakan' kerajaan Kelantan sendiri kerana kebenaran pasti muncul akhirnya.

Berdasarkan kepada hakikat itu, adalah lebih baik jika Nik Abdul Aziz mengadakan doa beramai-ramai agar Allah membimbing beliau keluar daripada krisis yang terjadi daripada mendoakan kemusnahan orang Islam yang tiada kaitan dengan apa yang berlaku di Kelantan!

Sunday, November 29, 2009

Anwar gugat Pas?

PENDEDAHAN Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan bahawa perjalanan parti itu tidak seimbang dan bergegar sepanjang masa kerana wujud suara luar yang mampu mempengaruhi sebahagian pimpinan, mengundang persoalan besar.

Menurut Nasruddin, disebabkan wujud suara luar, tahap thiqah (kepercayaan) kepada pimpinan parti berkurangan selain trend menghentam secara terbuka. ‘‘Mereka berpolitik bukan hanya dengan musuh tetapi lebih hebat sesama sendiri.

Terlalu ghairah untuk menang besar dan menang cepat dalam pilihan raya sehingga mengorbankan sahabat,” katanya menerusi blog yang turut disiarkan Utusan Malaysia, kelmarin.

Awang melihat kenyataan Nasruddin cukup berani dalam mengakui masalah dalaman parti itu yang kemelutnya kian merumitkan.

Persoalannya pengaruh atau suara luar manakah yang dimaksudkan? Ia terserah kepada tafsiran tetapi beberapa pemimpin Pas mengaitkannya dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim.

Sudah banyak kali Awang menulis termasuk dalam ruangan ini tentang bagaimana pengaruh Anwar meresap ke dalam Pas sehingga parti itu terpecah dua. Satu kumpulan terdiri daripada pemimpin yang menyokong dan berkongsi aspirasi Anwar, yang dirujuk sebagai Erdogan. Tidak perlu disebut nama, semua ahli Pas tahu siapa mereka. Satu kumpulan lagi menyokong arus perdana yang diterajui sendiri oleh Presiden Pas, Hadi Awang.

Kekalahan Hadi bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu dan tumbangnya kerajaan Pas di Terengganu pimpinan beliau, menjadikan golongan itu lebih berpengaruh.

Yang pasti hari demi hari, bibit-bibit perpecahan Pas makin ketara. Semua ini berlaku sejak parti tersebut mengadakan pakatan dengan PKR dan DAP. Atas percaturan politik mengikut strategi Anwar, golongan Erdogan berjaya mempengaruhi Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat agar lebih akur kepada kedua-dua parti dalam pakatan itu.

Belum pernah dalam sejarah, elemen parti lain meresap sebegitu hebat ke dalam Pas. Akibatnya, imej dan kekuatan tersendiri Pas yang bertahan bertahun-tahun lamanya, tergugat. Golongan Erdogan tidak lagi meletakkan kepentingan parti itu di puncak kerana lebih teruja dengan agenda menempatkan Anwar sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berkuasa. Paling menghairankan, mereka tiada keyakinan kepada pemimpin Pas untuk memerintah kerajaan pusat.

Pada seminar khas Pas baru-baru ini, ada perwakilan menegur Harakah kerana lebih menonjol memberikan liputan kepada Anwar berbanding pemimpin Pas. Malah kedengaran cakap-cakap bahawa organ media Pas itu turut menerima bantuan kewangan daripada PKR.

Pada Awang, kesilapan terbesar Pas ialah membiarkan pengaruh Anwar merebak ke dalam parti itu. Tetapi belum terlewat untuk Hadi bingkas tegas mempertahankan keutuhan dan kewibawaan Pas. Kumpulan Erdogan perlu dineutralkan jika pun tidak dapat dibersihkan sama sekali. Awang lega kerana para penyokong Hadi sudah berani bertindak untuk menyelamatkan parti itu daripada musuh sebenar, yang berada di depan mata dan di dalam selimut yang sama. - Utusan

Doa & Hasrat Nik Aziz tak masuk akal - Hishamuddin

KLUANG 29 Nov. – Tindakan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO adalah tidak masuk akal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbuatan tersebut tidak wajar dan seolah-olah cuba mengalihkan pandangan umum terhadap pelbagai masalah dalaman yang sedang dihadapi parti itu ketika ini.

Beliau berkata, UMNO tidak pernah mendoakan Pas berpecah-belah apatah lagi bertindak melaga-lagakan pemimpin parti itu seperti yang dituduh mereka selama ini.

"Pas kata kita macam-macam termasuk menuduh pemimpin UMNO sebagai firaun, penjaga babi, rasuah serta mengkafirkan ahli-ahli UMNO.

"Tetapi Tuhan tunjukkan banyak perkara yang mereka lakukan selama ini akhirnya tempias terkena diri mereka sendiri,'' katanya. - Utusan

Saturday, November 28, 2009

Kolonel Mat, rupanya dah meninggal pada 7/10/2003

Kecoh dalam semua akhbar dan saluran media baru berkaitan seorang yang bernama Kolonel Mat. Namya disebut oleh Nik Aziz dan alangkah tersohornya Kolonel Mat ini sehinggakan Nik amar, Timb. Pesuruhjaya III Pas Kelantan pun tak pernah mendengar nama itu.

Untuk mengkuti, penceritaan selanjutnya mengenai Kolonel Mat, sila klik di sini>>>

Pemimpin Pas patut dedah, siasat siapa 'Kolonel Mat'

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak dalam Pas tertanya-tanya siapa 'Kolonel Mat' yang dimaksudkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai dalang utama merancang untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan.

Gelaran yang diberikan Nik Aziz dalam ucapannya pada majlis memperingati Hari Wukuf di Kota Bharu, kelmarin menjadi persoalan sama ada watak 'Kolonel Mat' adalah individu dalam parti itu sendiri atau orang luar.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan mengakui beliau turut tertanya-tanya siapa 'Kolonel Mat'.

Bagaimanapun, Dewan Pemuda Pas mahu kepemimpinan tertinggi parti memandang serius dakwaan Nik Aziz.

"Oleh kerana dakwaan itu datangnya dari mulut Tok Guru sendiri, sudah tentu ada sesuatu yang perlu disiasat," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga tidak pernah mendengar mengenai 'Kolonel Mat' dan terkejut dengan kenyataan Nik Aziz.

"Saya tak tahu, semalam (kelmarin) baru saya dengar... saya pun terkejut tetapi tak sempat nak bertanya kepada Tok Guru," katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yang menunaikan haji di Makkah, juga mengakui tidak pernah mendengar nama 'Kolonel Mat'.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, enggan mengulas kerana ingin mendapatkan penjelasan daripada Nik Aziz terlebih dulu.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa tidak mahu memberikan sebarang komen.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron, pula berkata Nik Aziz tidak perlu mendedahkan siapa 'Kolonel Mat' jika individu itu dari kalangan pemimpin Pas sendiri.

"Nak dedah atau tidak, terpulang kepada tok guru (Nik Aziz)... kalau ada (Kolonel Mat), kena selesaikanlah. Kalau (didalangi) orang dalam, kita selesaikan secara dalaman, kalau orang parti (Pas) tak perlu dedahkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin 'Kolonel Mat' tidak wujud, sebaliknya ia sekadar kata-kata kiasan atau gurauan Nik Aziz.

Sementara itu, Nik Aziz yang ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini, semalam, masih mempertahankan kenyataannya 'Kolonel Mat' berusaha menjatuhkan beliau dan Pas di Kelantan.

Beliau mendakwa, konspirasi untuk menjatuhkan Pas di Kelantan termasuk beliau bukan perkara baru dan usaha itu akan terus dilakukan.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa dimaksudkannya sebagai 'Kolonel Mat' dan sama ada dia orang dalam parti atau pihak luar.

"Itu dia punya pasallah (Kolonel Mat bekerja untuk siapa), tetapi orang buat khianat pada Kelantan termasuk orang yang saya sebut ini (Kolonel Mat) barang sahih," katanya. - Berita Harian

Suara luar gugat Pas

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Perjalanan Pas sebagai salah sebuah parti politik di negara ini dilihat tidak seimbang dan ‘bergegar sepanjang masa’ ekoran wujud suara luar yang mampu mempengaruhi sebahagian pimpinan Pas dengan mudah.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, tahap thiqah (kepercayaan) kepada pucuk pimpinan parti yang semakin berkurangan selain trend menghentam pimpinan secara terbuka juga menyebabkan Pas berada pada kedudukan seperti itu.

Beliau berkata, dalam masa sama rahsia parti seperti kandungan minit mesyuarat dibongkar tanpa rasa bersalah.

‘‘Mereka berpolitik bukan hanya dengan musuh tetapi lebih hebat sesama sendiri. Terlalu ghairah untuk menang besar dan menang cepat dalam pilihan raya sehingga mengorbankan sahabat seperjuangan dalam Pas,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam laman blognya http://episodeperjuangan.blogspot.com.

Nasrudin berkata, berdasarkan pengamatannya keadaan itu wujud disebabkan terdapat sebahagian pemimpin dan anggota Pas agak berlebihan dalam menumpukan gerak kerja politik tanpa mengambil berat gerak kerja tarbiyyah,

Beliau berkata, mereka bukan sahaja sanggup bersengkang mata untuk memastikan kemenangan kerusi malah sedia bertegang leher sesama sendiri demi sebuah strategi politik.

‘‘Amal tarbiyah tiada lagi tempat dan ruang. Persaudaraan sesama pimpinan dan anggota parti dilihat sinis. Mudah bertengkar dan bermasam muka. Sering dipengaruhi rasa curiga antara satu sama lain.

‘‘Memandang sahabat seperjuangan seperti musuh yang dilapah dan disiat seluruh maruah dan aibnya di dada akhbar dan blog. Sukar bertolak ansur sebaliknya mudah bersengketa. Berbicara sesama sendiri seperti bicara dengan musuh,’’ katanya lagi.

Justeru beliau berkata, sudah tiba masanya perjalanan parti diperbetulkan semula iaitu semua pihak wajar mengambil peranan itu dengan penuh insaf dan sedar.
Mempunyai foto percutian yang hebat? Bolehkah ia memenangi pertandingan foto ini?

‘‘Bina semula kesatuan berfikir dan kesatuan amal. Jaga kerahsiaan jemaah dengan mengenal pasti apa yang patut rahsia dan apa yang patut dedah. Fikrah Islam mesti jelas. Jangan biarkan ia kabur di sebalik jerebu kemenangan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu semua pihak segera memperkukuhkan Pas sebelum memperkukuhkan parti lain .

‘‘Fokus pada portfolio yang diamanahkan kepada kita. Usahlah kita ambil kerja orang lain atau dalam bahasa lain menggali tanah kebun orang lain . Menuding dan menilai kerja orang lain bagaikan nak rak tetapi malang kerja sendiri entah kemana failnya.

‘‘Pada masa sama, perkasakan amal tarbiyah. Jangan malas untuk hadir program yang membina diri, akidah dan fikrah. Usah berlagak pandai dan bijak. Rendahkan sayap demi amal jemaah,’’ katanya lagi. - Utusan

Doa Tok Guru Nik Aziz Untuk Najib Razak dan Zahid Hamidi - Malaysia News

Apakah ALLAH sedang 'membalikkan balaNya' kpd Nik Aziz dan keluarganya...hanya ALLAH yg Maha Adil lagi Maha Mengetahui...

Friday, November 27, 2009

Sedutan artikel dari blog KICKDEFELLA berkaitan Nik Aziz & Menantunya














- Surat Daripada Nik Amalina, isteri Ariffahmi. klik utk baca>>>
- Sudah Terlewat Untuk Nik Aziz Berundur. klik utk baca>>>
- Usah berdalih Ariffahmi, Kita Jumpa Di Mahkamah bila-bila masa. klik utk baca>>>

atau klik disini untuk ke blog KICKDEFELLA bagi membaca sendiri kekalutuan Pas Kelantan dan Menantu Nik Aziz.

Drama Pas Kelantan calar imej Nik Aziz

DRAMA dalaman Pas Kelantan semakin menarik. Di kala Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri, Datuk Husam Musa mengatakan dia bukan calon yang layak untuk memegang jawatan Menteri Besar, anak Datuk Nik Aziz Nik Mat, merayu supaya jangan siapa menghalang ayahnya daripada meletak jawatan.

Nik Mohamad Abduh dalam blognya secara tegas berkata: “Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, “Wahai si bodoh!”.

Nyata ramai bersimpati dengan nasib yang menimpa Mursyidul Am Pas yang kini diselubungi kesedihan yang tidak kunjung padam, sehingga niatnya untuk menunaikan haji di Makkah tahun ini terpaksa dibatal.

Nik Mohamad Abduh di dalam blognya tidak menyembunyikan kekecewan terhadap beberapa individu Pas yang mencetus pelbagai kontroversi, sehingga membuatkan ramai berasa sudah tiba masanya untuk Tok Guru berundur daripada kepemimpinan perdana.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali memberi 10 sebab mengapa Nik Aziz perlu meletak jawatan. Alasan diberi amat pedih, antaranya - Nik Aziz sudah terlalu lama bergelar wakil rakyat dan Menteri Besar; kerap uzur; nyanyuk; tidak kreatif dalam pemerintahan; menjadi alat pakatan pembangkang termasuk parti yang jelas menentang pelaksanaan negara Islam; dan ramai pemimpin Pas Kelantan dan pusat memang mahu dia bersara, tapi tidak berani bersuara.

Tok Guru sebenarnya sudah lama mencipta dilema di dalam Pas, tetapi tindakannya sejak akhir-akhir ini mencetus banyak kontroversi sehingga menjejaskan nama baik serta maruahnya sebagai seorang pemimpin dan ulama disegani.

Isu hangat dicetuskan tahun ini bermula daripada penentangan tegas kepada sebarang usaha untuk bekerjasama dengan Umno, membawa kepada usul supaya diadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi berbincang mengenai tindakan ramai pemimpin Pas yang dilihat ‘amat cenderung untuk menubuh kerajaan perpaduan dengan Umno’.

Akhirnya semua bersetuju mengadakan satu seminar khas sehari yang memberi ruang kepada ahli akar umbi meluahkan pendapat. Antara persoalan yang timbul pada seminar itu ialah antara Mursyidul Am dan Presiden, siapa yang lebih berkuasa?

Namun, kontroversi tidak berakhir di situ dan ia bersambung di Kelantan. Bermula dengan isu tajaan mengerjakan haji sehingga Nik Aziz membatalkan pemergiannya dan keluarga ke Makkah, kepada pemecatan serta-merta pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz atau lebih dikenali sebagai blogger ‘Kickdefella’... mengheret kepada suasana yang lebih parah.

Isu PMBK menjadi kronik apabila Nik Aziz membuat keputusan melantik menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK. Tindakan itu menerima kritikan keras dan Syed Azidi menggunakan blognya untuk ‘menyerang’ Ariffahmi. Nik Aziz kemudian membuat keputusan meminta Ariffahmi meletak jawatan CEO - selepas dinasihatkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, serta beberapa pemimpin Pas lain.

Melihat kepada kemelut yang menjejaskan imej Pas Kelantan dan mendengar suara akar umbi bahawa sudah tiba masanya Nik Aziz berundur, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, membuat saranan supaya Menteri Besar itu menamakan penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila beliau meletak jawatan nanti.

Justeru, apabila Nik Mohamad Abduh melabel Syed Azidi sebagai ‘Jebat yang berusaha membela si Tuah rakan pujaannya’, ramai tersenyum sinis tatkala Husam dengan pantas menepis tanggapan bahawa dia berminat untuk menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun, Husam kelmarin menegaskan dia tidak berminat untuk menjadi Menteri Besar Kelantan. Malah secara sinis tapi serius, dia berkata: “Kalau tawar Perdana Menteri saya nak... Menteri Besar ini kolam kecil sangat... saya jenis badan besar suka berenang kolam besar.”

Ramai pemerhati politik melihat kenyataan pemimpin muda Pas ini daripada pelbagai sudut dan ada antara mereka bersetuju bahawa Husam sebenarnya tidak menetapkan Kelantan sebagai sasaran, sebaliknya memang menumpu perhatian di gelanggang perdana.

Persoalannya ialah sama ada dia akan menjadi rakan atau pesaing Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Pakatan Rakyat?

Drama Pas Kelantan masih belum berakhir. Syed Azidi melalui blognya semalam menyerlahkan kedudukan sebagai ‘penyokong setia Husam’, di samping mencetus beberapa persoalan yang bakal mencemarkan lagi imej Nik Aziz.

Daripada dakwaan wujud ‘sebuah dinasti keluarga Nik Aziz’ di negeri Serambi Makkah itu, kepada isu berkaitan aktiviti Majlis Perbandaran Kota Bharu, Sekolah Darul Anuar, tanah wakaf di Pulau Melaka dan sebuah stesen minyak.

Nik Aziz adalah Menteri Besar Kelantan, yang harus bertanggungjawab atas setiap tindak tanduknya... sudah tiba masanya beliau membuat keputusan yang boleh mengembalikan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin dan ulama yang disegani. - Berita Harian

Hidupkan Aidiladha dengan ibadah korban - Selamat Hari Raya Aidiladha

Sebenarnya Allah SWT menjadikan Hari Raya Haji sebagai salah satu syiar agama-Nya. Dalam istilah syarak, hari ini yang juga dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha yang bererti perayaan penyembelihan korban.

Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Tegas beliau, perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama sahaja berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (riwayat Abu Daud)

Dalam Islam pengagihan daging korban ke negara luar adalah diharuskan. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah (yang fakir miskin). (al-Hajj: 28)

Wednesday, November 25, 2009

HINDRAF buat hal lagi...












PERTUBUHAN Hindraf mengadakan mogok lapar untuk mendapatkan 18 tuntutan masyarakat India daripada Perdana Menteri di pekarangan KLCC, hari ini.

Husam tidak mahu jawatan MB Kelantan...boleh percaya ka?

KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi Menteri Besar Kelantan kerana senioriti serta hiraki di dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan.

"Semua calon layak, Timbalan Menteri Besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap sindrom down di Kampung Becah Keranji dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam Pas Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri di mana wujudnya Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya I hingga III.

Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider dipetik sebagai berkata, Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini, Ahmad yang disebut-sebut di kalangan pemimpin dan penyokong Pas Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontroversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Mengulas kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda Pas yang berkaliber, Husam berkata, beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk mengenakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam. - Berita Harian

'Asyik cari salah BN, rupanya Pas lebih teruk'

HULU TERENGGANU 24 Nov. - Pas yang asyik mencari salah Barisan Nasional (BN) rupa-rupanya dibelenggu krisis lebih teruk termasuk yang terbaru membawa peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkembangan melibatkan menantu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu tidak ubah seperti 'meludah ke langit terpercik ke muka sendiri'.

Menurutnya, ia membuktikan Pas sebenarnya lebih teruk berbanding tohmahan-tohmahan yang dilemparkan pimpinan parti itu terhadap BN atau UMNO selama ini.

"Mereka kata kerajaan BN teruk, tapi kali ini jelas parti itu (Pas) lebih teruk berbanding BN sendiri.

"Kepada parti pembangkang, janganlah asyik tuding jari kepada kita (BN), sekarang mereka terima balasannya malah lebih teruk," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di sekitar Kuala Berang dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengulas isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi selepas diarahkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Akhbar hari ini melaporkan, Abdul Ariffahmi akur arahan Nik Abdul Aziz itu.

Shahrizat memberitahu, selama ini Pas terlalu asyik 'mengajar orang' sedangkan mereka sendiri tidak terlepas melakukan kesilapan malah lebih teruk. - Utusan

Tuesday, November 24, 2009

Kota Siputeh: SPR peroleh perintah penggantungan sementara

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi berjaya mendapatkan perintah penggantungan sementara (interim stay order) daripada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam, mengenai kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, Kedah.

Semalam, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusannya pada 16 November lalu, bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan pilihan raya kecil kawasan itu perlu diadakan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Sulong Mat Jaraie memutuskan perkara berkenaan selepas bersidang sejak jam 2.30 petang tadi. - Berita Harian

Dr Asri tidak akan bersama Pas

Rayuan SPR telah pun dibenarkan dan ini bermakna, UMNO & BN masih punya banyak masa untuk menyediakan diri bagi menghadapi PRK Kota Siputeh.

Berita gembira kedua adalah berkaitan dengan desas-desus yang mengatakan Dr Asri mungkin dilamar Pas untuk dijadikan Calon Pas di pilihanraya kecil itu nanti. Khabar yang saya terima, amatlah baik dan ianya adalah jaminan yang Dr Asri tetap kekal berdakwah sebagai Pendakwah Bebas.

Ini bererti, Dr Asri tidak akan menyertai mana-mana Parti Politik. Cuma yang disuarakan kepada saya adalah rasa terkilan Dr Asri dengan beberapa Pimpinan UMNO yang cuba menjatuhkan dia dengan mendakwanya sebagai Wahabi dan macam-macam lagi.

Janganlah kita pertikaikan Dr Asri itu Wahabi ka, apa ka, kerana yang pasti, YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan Wahabi bukanlah sesat atau salah disisi Islam.

Berbalik kepada pendirian Dr Asri, selain dari itu, beliau juga terkilan dengan beberapa Pegawai atasan Jakim yang cuba untuk mengeruhkan keadaan. Adalah dipercayai bahawa Pegawai atasan Jakim ni, adalah penyokong Pas dan cuba untuk memainkan peranannya untuk 'mengenakan' Dr Asri.

Sebelum ini, Pas dan sekutunya PKR amat berdendam dengan Dr. Asri kerana dakwah Dr. Asri tidak menepati perjuangan songsang mereka. Jika tidak, mana mungkin Badrulamin sampai menggelarkan Dr. Asri sebagai 'bapak syaitan'.

Untuk yang terbaik, eloklah rasanya YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharum, untuk memantau sedekatnya isu Dr. Asri ni. Sambil-sambil tu, jengok-jengok lah anak buah kat bawah yang pro kepada pembangkang.

Ramai sebenarnya, penjawat awam yang berjinak-jinak dengan pembangkang dan sudah masanya setiap Menteri yang dilantik, pantaulah kualiti 'kerja dan minda' mereka. Jangan nanti dek keranaterlampau nak pro pembangkang, kerja yang diamanahkan, jadi sebaliknya.

Pas Kelantan tidak lagi perjuangkan Islam?

KOTA BHARU 23 Nov. - Pemuda UMNO Kelantan menyifatkan Pas negeri tidak lagi memperjuangkan Islam seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini tetapi lebih sibuk membahagikan 'harta perang'.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pemimpin parti terbabit pada masa kini menjadikan kuasa yang dimiliki mereka untuk mengumpul aset dan keuntungan sehingga mengabaikan rakyat.

Beliau berkata, oleh kerana kegiatan itu tidak lagi dapat dibendung dan semakin merebak, kepimpinan Pas Kelantan dipercayai telah berpecah sehingga wujud sekurang-kurangnya tiga kumpulan.

"Kesemua kumpulan ini sedang sibuk mengaut keuntungan dari kerajaan negeri ini sehingga melupakan dasar perjuangan mereka iaitu Islam.

"Mereka telah lupa semua perjuangan sebelum ini kerana terlalu lama berkuasa dan disebabkan itu mereka mengagihkan hasil negeri ini seperti balak seperti membahagikan 'harta perang'," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kemelut dalaman Pas Kelantan bermula dari pendedahan masalah yang berlaku dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantu Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Pada masa yang sama juga, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan haji sebanyak RM65,000 daripada individu tertentu. - Utusan

Keputusan tak konsisten Nik Aziz tunjuk kelemahan Pas: TPM

PUTRAJAYA: Keputusan yang tidak konsisten Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dalam beberapa isu termasuk pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) adalah bukti kelemahan kepimpinan Pas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan seumpama itu bukan saja menyebabkan orang ramai keliru, malah di kalangan ahli Pas sendiri.

"Dia (Nik Aziz) biasa begitu (dengan) sikap memilih-milih untuk membuat keputusan atau menjatuhkan sesuatu keputusan tertentu.

"Kalau ia berhubung kait dengan kepentingan peribadi (dan) keluarga, mula-mula kata begitu lepas itu begini, nampak dia tidak ada satu ketegasan dalam sikap...tak konsisten dalam kebanyakan hal dan kadang-kadang bercanggah kerana ada kepentingan tertentu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara ketujuh di sini hari ini.

Beliau berkata sikap tidak konsisten Nik Aziz itu juga ditunjukkannya dalam isu penajaannya menunaikan ibadat haji ke Makkah, baru-baru ini. - Berita Harian

BN sedia pertahan DUN Kota Siputeh

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah, jika pilihan raya kecil perlu diadakan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri juga menolak khabar angin mengatakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir akan dicalonkan di DUN itu.

Pas Kelantan akan bergolak lagi...HUSAM MUSA lawan NIK AMAR

Nik Amar menggesa agar Nik Aziz menamakan penggantinya. Tujuannya adalah utk menghentikan kemelut yang ada sekarang.

Nik amar pernah disebut sebagai bakal pengganti kepada Nik Aziz selepas Mat Iroq uzur. Dan apabila melihat agresifnya Husam untuk menjatuhkan Nik Aziz, Nik Amar terpaksa bersuara. Menrut katanya lagi, tujuan menggesa Nik Aziz menamakan pengganti, tidak bermakna datu isyarat untuk Nik Aziz berhenti.

Sebaliknya, kata Nik amar, Pemimpin bertukar ganti dan jika Nik Aziz tidak lagi memimpin Kelantan, pastinya ada pemimpin baru yang menerajui. Jadi Nik Aziz tidak perlu gusar ddengan bakal penggantinya.

Jelaslah, akan berpanjangan lagi kemelut Pas Kelantan ini. Semua main pakai 'runner', 'runner' pula upah 'orang dalam' untuk keluarkan bukti. Pastinya, jika Husam terus menekan Nik Aziz, dan bila Nik Amar merasakan kedudukannya sebagai pengganti semakin pudar, maka akan banyak lagilah dokumen 'konsesi balak' yang akan keluar.

Kita yang di luar Pas ni, tunggu saja. Ibarat kata, biar ALLAH yang buat 'kerja' dia. Allah Maha Mengetahu dan Maha Adil, jadi janganlah ada yang kecewa jika Allah telah melakukan yang seadilNya.

Monday, November 23, 2009

Siapa Calon paling sesuai untuk BN

Asas penilaian mestilah pilihan rakyat. Ertinya calon yang bakal dipilih nanti, selain boleh bekerja dengan baik, mesti juga adalah calon 'favorit' yakni kesukaan dan paling popular di mata rakyat.

BN mempunyai beberapa Calon tempatan seperti Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita.

Selain dari itu, UMNO dan BN juga tidak boleh menolak populariti dan sayangnya rakyat tempatan khasnya kepada Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Mukhriz yang bertanding di Parlimen Jerlun, menang dengan majoriti 2,205 mengalahkan calon Pas, Idris Mat.

Dengan 2 DUN yang terletak di dalam Parlimen ini, kemenangan Mukhriz memang membuktikan bagaimana rakyat negeri Kedah masih sayangkan dan terkenangkan jasa Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.

Dan yang baiknya, setelah dipilih untuk mejadi Ahli Parlimen di Jerlun, Mukhriz telah membuktikan betapa beliau memang pilihan yang tepat. Rata-rata rakyat yang ditemui memang berpuashati dengan cara Mukhriz membantu dan sering turun untuk bertanya khabar dari rakyat di Jerlun.

DUN Kota Siputeh yang dimenangi BN melalui calonnya Dato' Abu Hassan Sarif dengan majoriti 495 undi manakala du DUN Ayer Hitam, calon BN, Dato' Osman Aziz kalah kepada Calon Pas dengan majoriti undi.

Kenyataan fakta di sini, ada yang tidak mengundi BN di peringkat DUN tetapi telah memilih BN untuk Parlimen.

Melihat kepada situasi dan kehangat isu semasa, BN sepatutnya melihat kepada Calon yang tidak kurang popularnya. Calon yang dimaksudkan adalah Ustaz Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis yang baru-baru ini ditahan di negeri Selangor atas tuduhan memberi ceramah tanpa tauliah.

Walaupun, Ustaz Asri bukan anak kelahiran Jerlun, pengaruh Ustaz Asri boleh digunakan untuk membangunkan Islam di DUN ini dan Kedah secara amnya, sesuai dengan fokus kita iaitu memperkasakan modal insan yakni rohani dan jasmani.

Barisan kepimpinan UMNO Kedah memerlukan seorang yang berlatarbelakangkan Agama bagi menguatkan kepimpinan Negeri. Kekurangan ini dilihat sebagai kelemahan UMNO Kedah.

Ini adalah projeksi atau gambaran kepimpinan Kedah sekiranya BN memenangi semula kerusi DUN di Kedah. Rakyat perlu diyakinkan dengan perubahan yang dimaksudkan oleh Pimpinan UMNO yang diketuai YAB Dato' Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rakyat ingin melihat 'perubahan yang dimaksudkan oleh UMNO. Dan jika ini yang dihasratkan, UMNO mestilah berani membuat perubaha yang dimaksudkan.

Walaupun ianya masih terlalu awal dan keputusan mahkamah masih boleh dicabar kerana proses rayuan belum berakhir.

Namun, pastinya kepimpinan UMNO dan BN Pusat akan meneliti sepenuhnya calon yang paling sesuai. Agenda untuk mendahulukan rakyat adalah yang paling utama dan setiap ahli yang sayangkan perjuangan parti harus akur dengan apa juga keputusan yang akan dibuat.

Bah : Antara suka dan duka.

SUKA RIA: Kanak-kanak mengambil kesempatan sempena cuti sekolah untuk bermain banjir tanpa menghiraukan keselamatan diri di Kampung Betong, Jitra, hari ini. Sepatutnya, ibu bapa perlu lebih berwaspada terhadap kegiatan anak-anak mereka sebelum terjadi perkara yang tidak diingini.

Memang ini yang berlaku setiap kali musim banjir melanda beberapa kawasan rendah di negeri Kedah.

Namun, ibubapa perlu beringat, dalam anak-anak sibuk bermain banjir, pastikan juga mereka diperhatikan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna.

Nik Aziz sedih...namun tetap tidak lepaskan jawatan MB

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengumumkan peletakan jawatan menantunya, Abdul Ariffahmi Rahman (kanan) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) pada sidang akhbar di Kota Bharu, hari ini.

Tertekan : Nik Aziz arah menantu letak jawatan CEO PMBK

<<< Menantu Nik Aziz : Abdul Ariffahmi Rahman

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengarahkan menantunya, Abdul Ariffahmi Rahman supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). <

Arahan itu berkaitan dengan isu membabitkan pelantikan Ariffahmi ke jawatan CEO daripada jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO).

Nik Aziz yang juga Pengerusi PMBK baru-baru ini mempertahankan pelantikan itu dan berkata Ariffahmi yang berkelulusan sebagai jurutera, sememangnya mempunyai keupayaan serta kebolehan memegang jawatan terbabit.

"Mana boleh Menteri Besar melantik seseorang yang tidak menentu (tiada kebolehan untuk pegang jawatan itu). Saya beri kepercayaan kepada menantu saya itu (Ariffahmi) kerana dia seorang jurutera serta mempunyai kebolehan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pemuda Umno Kelantan yang menuntut siasatan dilakukan terhadap pelantikan Ariffahmi ke jawatan CEO di PMBK ketika ini selepas menjawat COO perbadanan itu. - Berita Harian

Mahkamah Tinggi tolak penangguhan kekosongan DUN Kota Siputeh

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan penangguhan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan mahkamah 16 November lalu yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh kosong.

Oleh itu, pilihan raya kecil kawasan itu perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas writ pilihan raya dikeluarkan selewat-lewatnya, Rabu ini.