Monday, November 30, 2009

Anwar pernah peralatkan BTN - Mukhriz

Oleh Muzdalifah Mustapha

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Kursus Biro Tata Negara (BTN) pernah dijadikan landasan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kepentingan peribadi termasuk menonjolkan diri bagi meraih sokongan rakyat.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tindakan Anwar itu jelas menunjukkan bahawa objektif BTN telah berjaya dan kesan daripada kaedah yang digunakan juga berkesan.

Malah kata beliau, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga pernah membangkitkan semangat rakyat menerusi BTN dengan berjanji untuk membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah mereka.

''Kita ada menerima laporan ketika BTN dijalankan, Anwar dalam dewan yang gelap merintih untuk membangkitkan semangat peserta dengan mengatakan akan menjelma seorang pemimpin agung yang akan menyelamatkan negara. Tiba-tiba dewan menjadi terang dan menjelma gambar beliau.

''Jadi, kalau Selangor haramkan BTN, biarlah mereka sendiri yang jawab kenapa zaman Anwar dahulu dia gunakan BTN untuk tarik sokongan sehingga sampai ke satu tahap ada orang yang terlalu taksub kepada Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban dan Jamuan Mesra Rakyat Kampung Melayu Batu 16, Rawang dan laman web sosial, Facebook kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal.

Muhkriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan tidak pernah memasukkan unsur politik ke dalam BTN, sebaliknya ahli pembangkang itu sendiri yang menggunakan BTN untuk menaikkan pengaruhnya.

''Pembangkang sering mengatakan kerajaan menjadikan BTN sebagai tempat untuk membasuh minda, tetapi jika betul mereka mengatakan begitu, bermakna kaedah BTN memang berjaya kerana ramai yang keluar daripada BTN menunjukkan sikap-sikap yang positif.

''Ada yang daripada malas berubah menjadi rajin. Bagi yang Muslim daripada malas sembahyang tetapi dah mula sembahyang lima waktu. Saya lihat tidak wajar dan langsung tak masuk akal ia diharamkan," katanya.

Mengenai doa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO katanya, UMNO tidak akan mendoakan perpecahan Pas dan parti-parti lain.

Sebaliknya kata beliau, UMNO terus berharap untuk duduk semeja dengan Pas bagi memikirkan tentang kepentingan Melayu, Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sehubungan itu katanya, beliau sering mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengabdikan diri kepada Allah dengan harapan UMNO dan Pas tidak akan bertelingkah.

''Saya pernah menyatakan impian saya untuk melihat UMNO dan Pas duduk semeja dan itu masih menjadi impian saya dan saya berpegang kepada perkara itu.

''Kerana itu saya langsung tidak mendoakan parti itu (Pas) akan berpecah. Jika parti itu boleh bersatu sesama mereka dan UMNO, proses duduk semeja akan lebih mudah," ujarnya. - Utusan

No comments: