Saturday, November 28, 2009

Suara luar gugat Pas

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Perjalanan Pas sebagai salah sebuah parti politik di negara ini dilihat tidak seimbang dan ‘bergegar sepanjang masa’ ekoran wujud suara luar yang mampu mempengaruhi sebahagian pimpinan Pas dengan mudah.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, tahap thiqah (kepercayaan) kepada pucuk pimpinan parti yang semakin berkurangan selain trend menghentam pimpinan secara terbuka juga menyebabkan Pas berada pada kedudukan seperti itu.

Beliau berkata, dalam masa sama rahsia parti seperti kandungan minit mesyuarat dibongkar tanpa rasa bersalah.

‘‘Mereka berpolitik bukan hanya dengan musuh tetapi lebih hebat sesama sendiri. Terlalu ghairah untuk menang besar dan menang cepat dalam pilihan raya sehingga mengorbankan sahabat seperjuangan dalam Pas,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam laman blognya http://episodeperjuangan.blogspot.com.

Nasrudin berkata, berdasarkan pengamatannya keadaan itu wujud disebabkan terdapat sebahagian pemimpin dan anggota Pas agak berlebihan dalam menumpukan gerak kerja politik tanpa mengambil berat gerak kerja tarbiyyah,

Beliau berkata, mereka bukan sahaja sanggup bersengkang mata untuk memastikan kemenangan kerusi malah sedia bertegang leher sesama sendiri demi sebuah strategi politik.

‘‘Amal tarbiyah tiada lagi tempat dan ruang. Persaudaraan sesama pimpinan dan anggota parti dilihat sinis. Mudah bertengkar dan bermasam muka. Sering dipengaruhi rasa curiga antara satu sama lain.

‘‘Memandang sahabat seperjuangan seperti musuh yang dilapah dan disiat seluruh maruah dan aibnya di dada akhbar dan blog. Sukar bertolak ansur sebaliknya mudah bersengketa. Berbicara sesama sendiri seperti bicara dengan musuh,’’ katanya lagi.

Justeru beliau berkata, sudah tiba masanya perjalanan parti diperbetulkan semula iaitu semua pihak wajar mengambil peranan itu dengan penuh insaf dan sedar.
Mempunyai foto percutian yang hebat? Bolehkah ia memenangi pertandingan foto ini?

‘‘Bina semula kesatuan berfikir dan kesatuan amal. Jaga kerahsiaan jemaah dengan mengenal pasti apa yang patut rahsia dan apa yang patut dedah. Fikrah Islam mesti jelas. Jangan biarkan ia kabur di sebalik jerebu kemenangan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu semua pihak segera memperkukuhkan Pas sebelum memperkukuhkan parti lain .

‘‘Fokus pada portfolio yang diamanahkan kepada kita. Usahlah kita ambil kerja orang lain atau dalam bahasa lain menggali tanah kebun orang lain . Menuding dan menilai kerja orang lain bagaikan nak rak tetapi malang kerja sendiri entah kemana failnya.

‘‘Pada masa sama, perkasakan amal tarbiyah. Jangan malas untuk hadir program yang membina diri, akidah dan fikrah. Usah berlagak pandai dan bijak. Rendahkan sayap demi amal jemaah,’’ katanya lagi. - Utusan

No comments: