Monday, November 30, 2009

Najib Musykil Dengan 'Doa' Nik Aziz

PORT OF SPAIN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf berhubung hasrat Menteri Besar Kelantan itu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan beliau dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Perdana Menteri berkata Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman.

"Saya tidak faham mengapa perlu berdoa sedemikian sebab memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

"Apa juga nama yang diberi, royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama. Dan rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk tujuan lain," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia ketika ditanya mengenai perkara itu di sini Ahad.

Najib berkata sebelum ini pun kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk rakyat Kelantan walaupun negeri itu diterajui pihak lain.

"Jadi, macam mana pula mereka nak tuduh kita ni tidak adil dan sebagainya," kata beliau yang berada di Port of Spain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketuaketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir Ahad.

Menurut Perdana Menteri, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian, dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

"Berbalah sesama sendiri merupakan sesuatu yang tidak diterima dalam Islam, begitu juga bila kita mengutuk orang lain tanpa asas," kata Najib.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun hadapan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Menyentuh krisis dalaman MCA, Najib berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan. Saya telah pun menyerahkannya kepada timbalan saya Tan Sri Muhyiddin Yassin (untuk menyelesaikan masalah itu)," katanya.

"Jika tidak, saya mungkin perlu bercakap dengan kumpulan (yang berbalah) itu," kata Najib. - Mstar Online

No comments: