Monday, November 30, 2009

Taktik nik aziz alih isu menantu dan tajaan haji

Oleh Zulkiflee Bakar
zulkifli.bakar@utusan.com.my


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat amat memahami bahawa isu pelantikan menantunya, Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah menjejaskan imej kerajaan negeri pimpinannya.

Walaupun Ariffahmi sudah diminta meletakkan jawatan pada minggu lalu, namun ia sama sekali tidak mampu memperbaiki imej Nik Abdul Aziz dan pentadbirannya kerana didakwa mengamalkan kronisme - satu tuduhan yang selama ini kerap kali ditujukan oleh Pas kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tidak cukup dengan isu itu, Nik Abdul Aziz juga berhadapan dengan persepsi serong masyarakat dan penyokong Pas apabila beliau mengesahkan bahawa sebuah syarikat akan menaja beliau menunaikan ibadah haji. Walaupun akhirnya beliau membatalkan pemergian itu tetapi isu tajaan ini tetap menjadi bualan kerana ramai yang mempersoalkan kenapakah beliau menerima tawaran berkenaan pada peringkat awalnya dan motif di sebalik tajaan itu.

Sepatutnya, Nik Abdul Aziz memahami atas apa alasan sekalipun beliau tidak boleh menerima tawaran itu kerana ia boleh menimbulkan fitnah memandangkan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Kedua-dua isu ini sudah cukup menggugat pentadbiran Nik Abdul Aziz yang selama ini begitu bangga dengan slogan 'Membangun Bersama Islam'. Oleh itu bagi mengalih tumpuan orang ramai, maka sesiapa pun tidak harus terkejut apabila Nik Abdul Aziz pada Jumaat lalu sekali lagi mendoakan agar Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama beliau berbuat demikian, malah sudah kali ketiga. Kali pertama ialah pada 18 September lalu dan kali kedua pada 2 Oktober lalu. Sikap Nik Abdul Aziz ini dengan jelas bertentangan dengan kedudukannya sebagai seorang ulama yang tentunya amat memahami bahawa Islam melarang sama sekali kita berdoa dengan tujuan memusnahkan sesama Islam.

Tetapi Nik Abdul Aziz berhujah pada 2 Oktober lalu, ''Tak apa (membaca doa bala ke atas Najib), Nabi Muhammad pun doa bala kepada orang Mekah kena kemarau sampai tujuh tahun sehingga orang itu makan bangkai dan tikus."

Walaupun tindakan Nik Abdul Aziz itu tidak wajar tetapi beliau sebenarnya tidak mempunyai pilihan dalam usaha mengalih perhatian rakyat daripada terus berbincang mengenai amalan kronisme yang berlaku dalam pentadbirannya. Biar pun Nik Abdul Aziz mengatakan beliau sudah lega kerana isu menantunya sudah selesai tetapi ia belum mampu menutup mulut orang ramai untuk memperkatakannya.

Malah situasi dikatakan menjadi bertambah buruk apabila anaknya, Nik Amalina yang juga isteri kepada Ariffahmi menghantar e-mel kepada sebuah blog bagi membela suaminya. Berdasarkan kepada komen-komen balas dalam blog itu, ternyata kredibiliti Nik Abdul Aziz mula dipersoalkan, bukan sahaja di kalangan orang ramai tetapi juga segelintir penyokong Pas.

Ini belum lagi mengambil kira tulisan seorang lagi anak beliau, Nik Abduh dalam blognya yang sering sahaja menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan sesetengah pemimpin Pas di Kelantan termasuk yang bertaraf Exco Kerajaan Negeri.

Oleh itu mahu tidak mahu Nik Abdul Aziz perlu mencari jalan supaya kesemua isu ini tidak terus menggugat kepimpinannya dan paling penting imej beliau sebagai 'tok guru' dapat dipertahankan. Justeru selain terus menjadikan soal royalti minyak yang sepatutnya sudah menjadi 'isu basi', Nik Abdul Aziz juga turut 'mendedahkan' kononnya terdapat konspirasi bagi menjatuhkan beliau daripada jawatan Menteri Besar dan ia diketuai oleh seorang bernama Kolonel Mat.

Demikianlah taktik Nik Abdul Aziz berpolitik, beliau berharap dengan mencetuskan 'perkara baru', segala kontroversi berkaitan menantu dan tajaan haji dapat diredakan, tetapi beliau terlupa bahawa kedua-dua isu tersebut bukanlah perkara kecil. Jika Nik Abdul Aziz terus tidak mahu mengaku kesilapan tetapi terus berdalih dengan menyerang kerajaan pusat, percayalah lambat laun doa bala yang dilafazkan boleh 'memakan' kerajaan Kelantan sendiri kerana kebenaran pasti muncul akhirnya.

Berdasarkan kepada hakikat itu, adalah lebih baik jika Nik Abdul Aziz mengadakan doa beramai-ramai agar Allah membimbing beliau keluar daripada krisis yang terjadi daripada mendoakan kemusnahan orang Islam yang tiada kaitan dengan apa yang berlaku di Kelantan!

No comments: