Monday, December 7, 2009

Ariffahmi tidak wajar main peranan lagi dalam PMBK - Mahfuz

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abdul Rahman tidak sepatutnya memainkan sebarang peranan dan membuat keputusan berkaitan organisasi berkenaan sepanjang tempoh tiga bulan notis pelepasan jawatannya.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, berkata pelantikan individu dalam PMBK bagi memangku jawatan Abdul Ariffahmi juga amat perlu, bagi memastikan CEO PMBK itu tidak membuat apa-apa keputusan terutamanya yang boleh memberi implikasi pengurusan dan kewangan.

"Bagi saya tidak wajar untuk seorang CEO apabila dia telah menyatakan notis tiga bulan untuk melepaskan jawatan, beliau tidak boleh lagi melakukan perkara yang boleh beri implikasi kepada perbadanan seperti kewangan, keputusan mengenai apa-apa projek dan sebagainya.

"Kedudukan beliau sebagai CEO tidak boleh disamakan dengan seorang kerani biasa kerana seorang kerani yang beri notis letak jawatan tiga bulan boleh datang kerja lagi sebab dia tidak memberikan apa-apa kesan tetapi CEO ini melibatkan keputusan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Abdul Ariffahmi yang juga menantu Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menyerahkan notis peletakan jawatannya pada 24 Dis ini berikutan pelbagai tekanan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sejak dilantik ke jawatan itu. - Berita Harian

2 comments:

Fokus 1 MALAYSIA said...

org2 pas sendiri dah tak hormat pd nik aziz lagi. dulu takut nak lawan tp skrang dah terang2.

Anonymous said...

dok tgu menatang apa lagi. pi brambuih la. jenih muka tebai. ni gerenti ada benda tak kena pasai tu dia dok tgu lagi dlm tu.