Sunday, December 20, 2009

Betullah Hassan Ali akan disiasat kerana menegur 'isu arak' di Selangor


Siasatan terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali tidak menyentuh dakwaan mengatakan beliau menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan antara parti itu dan UMNO.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, siasatan hanya berkisar mengenai beberapa isu di Selangor yang membabitkan parti itu.

“Laporan beberapa akhbar mengatakan siasatan akan menumpukan kepada sisu cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang didakwa dimainkan oleh Hassan dan beberapa pemimpin lain adalah tidak tepat.

“Siasatan ini tiada kena mengena dengan cadangan itu kerana isu kerajaan perpaduan, Pas sudah tutup buku, siasatan ini lebih banyak berkisar kepada masalah dalaman kita sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat pada 28 Oktober lalu memutuskan untuk mengheret Pas Selangor ke jawatankuasa disiplin parti itu.

Keputusan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadap Pas Selangor melibatkan perkara-perkara tertentu.

Ia termasuk dikatakan gagal memantapkan kerjasama antara pakatan pembangkang negeri selain menyokong usaha kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas.

Malah, dakwaan tersebut turut mengaitkan kontroversi Pas negeri itu dalam pentadbiran Selangor antaranya pembinaan kuil, penjualan arak serta Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Difahamkan, selain Hassan, timbalannya, Iskandar Abdul Samad; Setiausaha Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman; Ketua Dewan Pemuda negeri, Hasbullah Mohd. Ridzuan dan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad serta beberapa pemimpin lain bakal dihadapkan ke jawatankuasa itu.

Tambah Tuan Ibrahim, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuaratnya pada 23 Disember ini bagi membuat keputusan berhubung siasatan terhadap pemimpin-pemimpin berkenaan.

Sehubungan itu, selagi keputusan masih belum diputuskan beliau meminta semua supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

“Tolong jangan buat spekulasi awal kerana keputusan masih belum ada, biarkan kami menyiasat kerana prinsip Jawatankuasa Disiplin Pas ini ialah untuk mencari keadilan dan bukan menghukum sesuka hati.

“Jika ada kes kita akan panggil mereka yang terbabit untuk membela diri dan memberi penjelasan,” katanya. - Utusan

No comments: