Wednesday, December 2, 2009

Isu pijak 'muka' : Pas Perak sokong tindakan DAP

IPOH 1 Dis. – Tindakan beberapa pemimpin DAP memijak poster tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Perak ketika menghadiri konvensyen parti itu Ahad lalu bukan satu perbuatan yang mengejutkan.

Naib Ketua Pemuda Pas negeri, Salman Salleh berkata, perbuatan itu adalah gambaran sebenar perasaan marah DAP terhadap tindakan ketiga-tiga ADUN itu yang melompat parti.

Malah katanya, ada juga segelintir ahli-ahli Pemuda Pas yang bertindak menconteng gambar tiga ADUN itu kerana menyifatkan tindakan mereka keluar parti sebagai tidak bermoral.

Walaupun tidak pasti dengan motif sebenar tindakan tersebut, namun kata Salman, ia adalah hak DAP untuk berbuat demikian.

“Saya rasa tindakan mereka itu (pijak poster) adalah pendekatan yang digunakan oleh DAP untuk melahirkan rasa jijik mereka terhadap ketiga-tiga ADUN ini.

“Pas ada cara kita sendiri dan DAP dengan cara mereka. Tindakan pijak poster ini bukan sahaja di Malaysia, negara-negara luar juga sering melakukannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Salman, apa yang dilakukan oleh DAP itu sebenarnya adalah mesej untuk memberi kejutan kepada rakyat.

Ketika ditanya tidakkah tindakan tersebut menjatuhkan maruah seseorang, jelas Salman, lompat parti juga adalah memalukan dan menjatuhkan maruah.

“Bagi pihak Pas sendiri, kita tidak menyokong tindakan mereka keluar parti. Tetapi kita buat dengan cara kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, ADUN Titi Serong dari Pas, Dr. Khalil Idham Lim Abdullah meminta rakyat menilai sendiri perbuatan melampau DAP itu. - Utusan

No comments: