Wednesday, December 9, 2009

Kata Tun 'racist' - Nazri disaran letak jawatan

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya meletak jawatan dalam UMNO memandangkan ia adalah sebuah parti perkauman.

Dr. Mahathir berkata, Mohamed Nazri telah mengatakan dirinya menentang perkauman tetapi berada di dalam sebuah parti perkauman iaitu UMNO yang dikhususkan untuk orang Melayu sahaja.

“Jika dia (Nazri) kata saya perkauman, jangan kata dia sendiri tidak perkauman. Dia tahu semuanya dengan baik. Dia berada di dalam sebuah parti perkauman. UMNO adalah parti perkauman. Orang lain tidak boleh masuk.

“Jadi dia adalah ahli parti perkauman. Tapi dia kata dia menentang perkauman. Jadi dia patut letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan dialog Merangka Kerjasama Ekonomi Malaysia-Indonesia dalam Menghadapi Krisis Global: Peluang dan Cabaran dari Perspektif Media dan Perniagaan di sini hari ini.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWMI).

Dr. Mahathir diminta mengulas kenyataan Mohamed Nazri sebelum ini yang mengkritik bekas Perdana Menteri itu kerana mencadangkan kurikulum Biro Tata Negara (BTN) tidak perlu dirombak kerana tiada sebarang masalah mengenainya.

Menurut Mohamed Nazri, sukatan atau isi kandungan BTN sebelum ini tidak dinafikan hanya memberi penekanan kepada kaum Melayu sahaja dan ia jelas menunjukkan sentimen perkauman.

Mohamed Nazri menyifatkan Dr. Mahathir ketinggalan zaman jika masih mahu menyimpan sukatan lama kurikulum BTN yang hanya memberi penekanan kepada kaum Melayu sahaja.

Sebelum itu Dr. Mahathir berkata, kurikulum BTN tidak harus dirombak kerana banyak memberi manfaat kepada peserta dalam menyemai semangat cintakan negara.

Kenyataan beliau itu dibuat ekoran keputusan Kabinet yang bersetuju untuk merombak semula kurikulum BTN supaya lebih inklusif dan tidak membelah-bahagikan rakyat negara ini mengikut kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada BTN perlu diteruskan, Dr. Mahathir ringkas menjawab: “Kenapa tidak?” - Utusan

1 comment:

Fokus 1 MALAYSIA said...

mamat nazri ni, sepatutnya dah lama dah kena buang. perangai memang teruk. 'liabiliti' jugak. la ni, dia tak berhenti lagi, perangani tu dah turun kat anak dia...anak bapak.