Sunday, December 6, 2009

Nik Abduh, kami bukan bodoh (Blog Tinta Merah MSO)

SEPERTI mana yang dilaporkan oleh media pro-Pas dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat himpunan di Dataran Ilmu di Kota Bharu Jumaat lalu mendapat sambutan hangat. Mereka yang datang beratus kali ganda berbanding himpunan di depan pintu masuk ke Kota Darulnaim anjuran apa yang dinamakan Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan (JPRK) yang dimonopoli oleh pemimpin Tadika Umno.

Walaupun hari Jumaat lalu cuaca di Kota Bharu lembab dan hujan, namun jumlah yang hadir bolehlah tahan. Kehadiran itu menjadi lebih ramai dan bersemangat bercampur dengan mereka yang hadir setiap Jumaat untuk dengar kuliah di Dataran Ilmu itu yang sering disampaikan oleh Nik Aziz dan ustaz-ustaz Pas seperti Nasaruddin Daud, Mohamad Mustafa, Mohd Amar Abdullah dan lain-lain.

Kelompok yang agak menonjol hari itu ialah Cina dan India. Wajah mereka sengaja difokus dan ditonjolkan dalam blog dan media Pas bagi menyatakan rakyat berbilang kaum juga menyokong dan berdiri teguh di belakang Nik Aziz.

Cuma agak malang sedikit dalam banyak wajah-wajah itu tidak ternampak oleh saya wajah Orang Asli di Kuala Betis atau Post Brooke di Gua Musang. Mungkin mereka tidak mendapat maklumat ataupun land rover untuk angkut mereka tidak ada disebabkan terpaksa digunakan untuk uruskan mangsa banjir. Atau pun mungkin juga banner dan sepanduk untuk mereka angkat bagi menyatakan sokongan kepada Tok Guru itu belum sempat disiapkan, atau tidak ada orang yang tukang tulis dan siapkan untuk mereka.

Himpunan memuji dan menyokong Nik Aziz itu diadakan selepas Tok Guru mengajar. Himpunan itu lengkap dengan ucapan oleh beberapa pemimpin Pas dan ikrar oleh masyarakat berbilang kaum. Digambar ternampak dua tiga orang pemimpin Pas melilitkan kain berwarna merah di kepala bertulis "I love Tok Guru" Mana-mana pemimpin Pas yang selalu pakai kopiah semasa di Dataran Ilmu terpaksa pakai songkok kerana hendak melilitkan kain merah berkenaan. Biar nampak gah!

Apakah songkok yang dipakai itu songkok Pemuda Umno yang terjatuh semasa melarikan diri apabila hujan turun semasa berhimpun di depan Kota Darulnaim seminggu sebelum itu?

Melihat kepada cara lilit kepala dengan kain merah saya teringat kepada tok juara laga lembu dalam bon. Di Patani tok juara akan melilitkan kepala mereka dengan kain batik lepas berwarna merah. Mereka akan masuk dan acah-acahkan lembu supaya melawan regunya. Nampak sangat himpunan itu semacam dibuat-buat dan tidak serius atau lahir kerana semangat 'sengoti'.

Beberapa sepanduk, banner dan manila kad yang tertulis dengan pelbagai kata-kata pujian dan sanjungan kepada Nik Aziz juga diangkat dan dijulang. Tentu Tok Guru tersenyum dan tambah sihat apabila melihat banner dan sepanduk itu.

Pendeknya himpunan itu benar-benar memuaskan hati dan berjaya! Dan ianya berjaya mengalahkan provokasi yang dibuat oleh JPRK tempoh hari. Tok Guru pun mungkin merasa lega dengan sokongan puluhan ribu itu dan mungkin terpaksa memikir semula keputusan untuk berundur. Beliau pun akan dapat bersemayam dengan amannya atas singgahsana kerana beliau masih lagi disokong? Rakyat berbilang kaum masih memerlukannya.

Saya tidak mahu bertanya apakah himpunan menyatakan sokongan kepada Tok Guru itu ikhlas atau tidak. Atau apakah ianya mendapat sokongan padu rakyat Kelantan. Jangan tanya! Sebab keikhlasan ini ada dalam hati masing-masing. Cuma apa yang musykilnya kenapa sokongan itu lewat? Ia diadakan setelah Tok Guru lembek lotek dicincang oleh musuh. Kenapa sokongan itu tidak dibuat awal?

Selain itu apa yang nak ditimbulkan di sini juga dalam banyak-banyak sepanduk dan kain rentang itu kenapa tak ada satu pun yang kecam anak Quraisy yang dianggap telah memalu dan cuba menjatuhkan Nik Aziz. Ataupun saya tidak ternampak banner atau manila kad mengecam dan mengutuk anak Quraisy itu?

Sepatutnya dalam situasi begitu ada sepanduk atau kain rentang yang mengecam anak Qurairsy yang dimaksudkan itu. Bukan punca kemelut yang berlaku sekarang ini disebabkan anak Quraisy seorang itu. Di saat itulah anak Quraisy yang dikatakan menjadi musuh dan gunting dalam lipatan itu dikutuk habis-habisan. Ataupun sememangnya anak Quraisy itu dipelihara oleh orang tertentu untuk melakukan kerja-kerja yang telah dilaksanakan itu? Begitukah?

Keadaan ini agak kontras dan menghairankan dengan apa yang masuk ke dalam telefon saya sekejap tadi iaini mengenai sekeping gambar banner yang berbunyi "ARIFFAHMI SILA LETAK JAWATAN SEGERA, ABDUH KAMI BUKAN BODOH!". Katanya banner ini sepatutnya turut sama diedarkan pada himpunan berkenaan. Tetapi disebabkan silap teknik ia tidak dizahirkan.

Apa yang menjadi kemusykilannya siapakah yang menyediakan banner ini? Mustahil ia disediakan oleh orang Umno untuk mensabotaj atau memburukkan keadaan. Kerana banner itu dihulur sendiri oleh ahli Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan. Apakah Pemuda Pas itu juga seperti anak Quraisy yang bermuka-muka dalam cerah?

Katanya seorang anggota Unit Amal yang menerima banner dan perkakas yang hendak diangkat dan dipamerkan telah membuat semakan dulu. Ketika membuat semakan itulah banner berkenaan ditemui yang dimasukkan ke dalam beberapa banner lain. Anggota Unit Amal berkenaan tidak berani untuk mempamirkannya. Banner ini katanya terdapat lebih dari tiga keping.

Yang menjadi persoalannya siapakah yang menyediakan banner hantu itu? Kenapa harus ada banner seperti itu. Bukankah banner itu menempelak Tok Guru sendiri kerana Ariffahmi dan Abduh adalah anak dan menantunya? Wajarkah darah daging Nik Aziz dimalui dalam suasana beliau dipuja dan disanjung?

Kesimpulan mudah yang boleh dibuat tujuan banner itu tidak lain dan tidak bukan untuk memalukan Nik Aziz di khalayak ramai. Dalam sorak sorai puji dan pujanya itu ada diselitkan kejian dan sindiran tajam kepadanya.

Apabila mengenangkan wujudnya banner seperti ini maka benarlah barang kali kesimpulan sesetengah orang bahawa himpunan menyokong dan menyatakan kesetiaan kepada Nik Aziz tempoh hari hanya wayangan atau sandiwara sahaja? Sokongan yang dilakukan oleh mereka yang desperate dan mahu mencari tali hayat demi survive politiknya dengan apa juga keadaan.

Apakah Tok Guru tahu mengenai pengedaran banner berkenaan? Walahualam. Mungkin sahaja selepas rahsia besar ini terdedah maka akan ada orang yang merayap ke pejabat Menteri Besar itu memberi tahu bahawa kononya ada musuh cuba hendak memalukan Tok Guru pada Jumaat lalu tetapi dapat dikesan oleh para petugas yang setia. Begitukah?

Dan cerita-cerita pandir begini sudah kerap berlaku dan sering berlegar di keliling Tok Guru. Kerana banyak sangat dongengan pandir inilah menyebabkan kadang-kadang Tok Guru juga jadi seperti pak pandir! Pasti sekali Tok Guru tidak akan percaya kalau dikatakan bahawa banner itu dihulur sendiri oleh tangan orang kuat Dewan Pemuda Pas? Apakah tujuannya, tanyalah pohon depu? - link asal

No comments: