Tuesday, December 8, 2009

Nik Aziz tidak tegas buat keputusan terhadap menantu

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta menasihatkan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman supaya bercuti serta-merta dalam proses peletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Nasihat itu bukan campur tangan orang UMNO tetapi timbul daripada mulut Naib Presiden Pas sendiri, Mahfuz Omar kepada Mursyidul Am parti itu.

Inilah 'nasihat' pusingan kedua yang disuarakan oleh kepimpinan Pas Pusat. Apakah nasihat ini perlu campur tangan pucuk pimpinan parti termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Pucuk pimpinan Pas Pusat sebelum ini sudah rasa kurang senang amalan kronisme dan nepotisme Menteri Besar Kelantan kerana ia memberikan imej tidak baik kepada parti itu.

Rakyat Kelantan sebenarnya ramai yang bijak dan mereka tidak mungkin mengambil tindakan seperti menantu Nik Abdul Aziz untuk terus memegang jawatan itu sehingga 23 Mac 2010. Jika amalan urus tadbir yang baik diambil kira, Ariffahmi tidak perlu mengira baki cutinya sebelum mahu melepaskan jawatan.

Dan tidak perlu juga seorang CEO terlalu mengikut terma-terma dalam surat pelantikannya yang mana beliau perlu memberitahu notis 90 hari atau tiga bulan pada 24 Disember ini untuk letak jawatan.

Pas cekap bermain perkataan integriti, sedangkan untuk melepaskan jawatan pun perlu mengambil masa yang lama.

Ada kebenaran kata-kata nasihat Mahfuz kepada bapa mertua Ariffahmi, sebagai Pengerusi serta Lembaga Pengarah PMBK sepatut beliau kena buat ketetapan supaya Ariffahmi bercuti serta-merta.

Menteri Besar Kelantan itu juga harus buat ketetapan supaya Ariffahmi boleh dibayar gaji selama tiga bulan dan tidak perlu lagi aktif memegang jawatan.

Dengan langkah itu, Lembaga Pengarah PMBK boleh melantik pemangku jawatan CEO bagi menggantikan sementara tempat Ariffahmi.

Nampaknya Mahfuz bimbang kepimpinan Nik Abdul Aziz yang bercakap mahu membangun bersama Islam itu tidak menjaga etika urus tadbir yang betul.

Dalam soal mentadbir sebuah perbadanan negeri, ia melibatkan tanggungjawab dan amanah. Sebab itu lazimnya, seseorang yang diarah meletakkan jawatan perlu serta-merta mengosongkan pejabatnya. Dia tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana urusan dan mesyuarat.

Ini bermakna jika Ariffahmi masih menunggu sehingga Mac depan, bermakna bermacam-macam lagi perkara akan timbul dan mencetuskan kontroversi.

Sudah tentu bapa mertua dan anak menantu tahu apa yang patut mereka lakukan sekarang.

Jikalau Nik Abdul Aziz bersikap tidak ambil peduli, bertambah-tambah bingung dan bimbanglah pimpinan Pas Pusat kerana apa sahaja tindakan dilakukan Ariffahmi dalam tempoh sehingga Mac 2010, ia boleh menggugat kepimpinan Pas dan maruah Kerajaan Negeri Kelantan.

Nik Abdul Aziz tidak mempunyai pilihan. Sikap berubah-ubah pandangan, tidak tegas, tidak konsisten dalam banyak hal dan kadangkala bercanggah telah merosakkan imej Pas.

Daripada segi moral, sekarang masyarakat umum dan penyokong Pas dapat menilai betapa ketidaktegasan pendirian Menteri Besar Kelantan itu dalam membuat sesuatu keputusan. - Utusan

No comments: