Monday, December 14, 2009

Penyokong Anwar mahukan kebenaran

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Mohd. Saiful Bukhari Azlan (gambar) yang mendakwa diliwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyokong-penyokong bekas majikannya itu sudah mula bersuara demi kebenaran.


Mohd. Saiful berkata, mereka juga mahukan kes liwat membabitkan Anwar dan dirinya itu dibicarakan di Mahkamah Sivil termasuk juga di Mahkamah Syariah.

"Setelah lama mereka (penyokong tertuduh) berdiam diri dan bersabar menanti bila perbicaraan akan berjalan, akhirnya mereka bersuara dan meluahkan perasaan di hati yang sudah lama terpendam," katanya.

Mohd. Saiful berkata demikian melalui entri blognya, http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.
Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd. Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Perbicaraan kes tersebut bagaimanapun tertangguh beberapa kali apabila Anwar mengemukakan permohonan demi permohonan di mahkamah termasuk untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
Bagaimanapun, usahanya itu gagal apabila mahkamah baru-baru ini menolak permohonan itu dan menetapkan perbicaraan kes itu pada Januari tahun depan.

Mohd. Saiful berkata, desakan penyokong Anwar itu sama sekali bertentangan dengan hasrat Ketua Pembangkang itu sebelum ini yang mahu kes itu langsung tidak dibicarakan.

"Walaupun mereka mendesak agar kes ini dibicarakan di Mahkamah Syariah, namun mereka juga turut mahukan kes ini dibicarakan di Mahkamah Sivil seiring dengan Mahkamah Syariah.
"Kesimpulannya, mereka mahukan kes ini dibicarakan. Ternyata, mereka semua mahukan kebenaran," katanya.

Katanya, Anwar tidak perlu lagi berdolak-dalik untuk berdepan dengan perbicaraan memandangkan penyokongnya sendiri telah pun bersuara kerana mahukan kebenaran. - Utusan

No comments: