Thursday, December 10, 2009

Peruntukan Bina Masjid Tidak Patut Dipersoal - Jamil

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pembinaan 611 buah masjid dengan peruntukan sebanyak RM748 juta bagi tempoh 2000 hingga tahun lepas tidak patut diungkit dan dipersoalkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata bajet pembinaan masjid-masjid berkenaan di seluruh negara jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta melalui saluran-saluran yang sah.

"Saya rasa kita telah memahami dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, bajet untuk pembinaan masjid-masjid ini adalah melalui saluran sah yang diperuntukkan melalui perlembagaan.

"Kita juga harus faham ia adalah satu perkara yang kita telah persetujui bersama dan diperakui dalam perlembagaan Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Mahasiswa Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Anan C. Mohd dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Datuk Che Mat Ali.

Seramai 103 penerima anugerah akademik menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM82,400 daripada MAIWP yang terdiri daripada pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penuntut di peringkat sijil, diploma dan ijazah.

Jamil, yang juga Pengerusi MAIWP, berkata pembinaan masjid, sebagai sebuah tempat ibadah, harus dipandang daripada sudut positif, patut digalakkan dan bukannya dipersoalkan seperti yang dibangkitkan sesetengah pihak.

"Untuk tujuan baik ni, kita perlu galakkan. Bukan persoalkan kerana kita harus faham, di sebalik pembinaan masjid kita telah bina semangat, kerjasama dan kerukunan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan pertikaian pembinaan rumah ibadah kerana ia jelas boleh mengganggu sensitiviti serta mengguris perasaan dalam masyarakat berbilang agama di negara ini.

Semalam, anggota Parlimen DAP, Nga Kor Ming mempersoalkan peruntukan kerajaan sebanyak RM748 juta untuk membina 611 buah masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008 dan pada masa sama menyatakan kerajaan gagal membina rumah ibadat agama lain.

Tindakan Ng itu telah menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang berpendapat tindakan mengungkit perkara berkenaan sebagai biadab dan menimbulkan sentimen perkauman. -- BERNAMA

No comments: