Saturday, December 26, 2009

Raja Petra guna pasport asing?

KUALA LUMPUR 25 Dis. – Mungkinkah pengendali laman web propembangkang Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin mempunyai pasport negara lain untuk memasuki Britain?

Persoalan itu bukan sahaja menjadi ‘satu misteri’ yang tidak terjawab hingga hari ini tetapi turut menimbulkan kemusykilan pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Ini kerana Jabatan Imigresen Malaysia sehingga hari ini tidak mempunyai rekod ‘keluar masuk’ pengendali laman web itu di negara ini sejak sekian lama serta pergerakan beliau di negara-negara lain.

Ekoran ketiadaan rekod ‘keluar masuk’ itu, Raja Petra dianggap masih berada di negara ini dan tidak pernah melawat negara-negara lain.

Ketua Pengarah Imigresen, Abdul Rahman Othman yang dihubungi Utusan Malaysia hari ini, mengakui pihaknya tidak mempunyai catatan rekod perjalanan Raja Petra .
Beliau berkata, semakan telah dibuat di semua pintu masuk negara ini sama ada melalui jalan darat atau udara.

‘‘Saya hanya boleh mengesahkan bahawa sehingga hari ini tidak ada rekod keluar masuk Raja Petra melalui Jabatan Imigresen sejak sekian lama,’’ katanya.

Sementara itu, sumber Utusan Malaysia memberitahu, Raja Petra dikatakan menggunakan pasport negara jiran untuk melarikan diri dari negara ini.

Katanya, pasport tersebut didakwa boleh dibeli melalui ‘orang tengah’ yang sering berurusan dengan negara berkenaan dan merupakan pasport yang tulen di negara tersebut.

Jelasnya, jika Raja Petra menggunakan pasport negara lain, dia boleh membolosi pintu keluar negara ini pada bila-bila masa sahaja.

‘‘Pasport yang mungkin mengandungi identiti baru Raja Petra itu boleh digunakan di mana-mana negara lain kerana ia bukan palsu,’’ ujarnya.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan Raja Petra kini dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London. - Utusan

No comments: