Sunday, December 20, 2009

Retorik parti pembangkang

KALAULAH rumusan mahu dibuat mengenai Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam, semalam, tiada apa-apa yang menarik selain pakatan tersebut menggambarkan seolah-olah merekalah manusia pilihan dan paling layak memimpin Malaysia.


Bagi mereka, hanya pakatan mereka sahaja pilihan terbaik untuk memulihkan negara ini kononnya daripada segala kepincangan sama ada politik, ekonomi, pendidikan dan sosial. Lihat sahaja isi kandungan ucapan tiga pemimpin utama pakatan itu bermula daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketiga-tiga mereka memaparkan senario seolah-olah kalaulah pembangkang tidak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, maka musnahlah Malaysia. Tafsiran yang dibuat ialah sepanjang 52 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah, segala-galanya buruk belaka. Oleh itu mahu tidak mahu PRU13 perlu dijadikan medan pertempuran bagi meranapkan penguasaan BN dan Anwar Ibrahim harus dihantar ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri. Penyokong-penyokong Pas tidak boleh marah dengan kenyataan ini kerana lagipun Guan Eng dalam ucapannya pun sudah menyatakan bahawa pada pilihan raya umum lalu, Anwar sebenarnya dirompak jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Kita sebenarnya bersimpati dengan pembangkang yang tidak habis-habis mengidam untuk menguasai Putrajaya. Setelah gagal dalam pilihan raya umum Mac 2008, mereka sasarkan pula September 2008 bagi menubuhkan kerajaan melalui cara pintu belakang iaitu ada ahli Parlimen BN melompat parti, tetapi ia rupanya hanya mimpi Anwar! Mereka juga begitu berbangga apabila dalam pilihan raya umum lalu, pembangkang menawan Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan menguasai majoriti kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan. Malah mereka mendabik dada apabila semakin ramai golongan bukan Melayu terutamanya kaum Cina dan India menyokong pembangkang. Mereka sengaja melupakan bagaimana pada akhir-akhir tahun 2007, peristiwa Hindraf (sebuah pertubuhan haram yang memperjuangkan perkauman sempit) telah memungkinkan banyak kerusi yang ditandingi oleh MIC dirampas oleh PKR.


Di Pulau Pinang pula, kempen jika memberi undi kepada Gerakan dan MCA sama seperti memberi kuasa kepada UMNO turut membantu kemenangan DAP.
Selain itu, apabila merasakan diri sudah kuat, maka parti-parti pembangkang mula naik tocang, lihat sahaja apa yang mereka lakukan dengan terus mempertikaikan hak-hak Melayu, institusi-institusi yang ada kaitan dengan orang Melayu diganggu gugat dan dikecam. Mereka juga turun ke jalanan mengadakan demonstrasi, biarpun mereka tahu ia melanggar undang-undang.

Mendidik

Mereka juga mendidik penyokong-penyokong mereka supaya tidak menghormati institusi beraja apabila mengadakan demonstrasi membantah keputusan Sultan Perak Sultan Azlan Shah memberi kuasa memerintah kepada BN apabila pakatan pembangkang kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN). Tetapi apa yang melucukan, pada konvensyen itu, pakatan pembangkang antara lain menggariskan beberapa perkara yang sama sekali bertentangan dengan sikap mereka.
Ini termasuklah soal menghentikan politik perkauman, mengembalikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang. Kalaulah benar pembangkang ingin menghapuskan politik perkauman, mereka dahulu sepatutnya berbuat demikian. Pelbagai peristiwa yang berlaku sejak pilihan raya umum 2008 sudah menampakkan dengan jelas bahawa tanpa isu perkauman tidak mungkin pembangkang akan memenangi banyak kerusi.

Cuba kaji siapakah yang begitu beria-ia mempertahankan Hindraf? Siapakah yang memperbesarkan isu merobohkan kuil di Selangor? Siapakah yang menggesa kaum Cina supaya jangan mengundi BN di Pulau Pinang walaupun kalau BN menang Gerakan yang menjadi Ketua Menteri? Siapakah yang mempersendakan gagasan 1Malaysia yang bertujuan menyatukan semua kaum di negara ini? Dari segi keluhuran Perlembagaan, siapakah yang paling banyak mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu? Siapakah yang membangkitkan soal peruntukan untuk masjid lebih banyak daripada rumah ibadat lain?

Begitu juga dari segi kedaulatan undang-undang, siapakah yang mengajar rakyat di negara ini berdemonstrasi? Siapakah yang mengingkari arahan polis supaya tidak diadakan perhimpunan haram? Siapakah yang mengkucar-kacirkan sidang DUN Perak yang mendapat perkenan Sultan Perak?
Kenapa perlu hendak mendesak supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan, kalau pembangkang tidak berhasrat lagi selepas ini mahu membangkitkan isu perkauman? Bukankah salah satu kenapa akta itu diwujudkan ialah bagi menjaga ketenteraman kaum di negara ini?

Banyak lagi contoh lain yang menunjukkan konvensyen pakatan pembangkang itu hanyalah retorik semata-mata untuk berkuasa dan menunjukkan mereka masih bersatu hati.

Konvensyen itu hakikatnya diadakan bagi mengalihkan perhatian rakyat kepada masalah yang sedang pembangkang hadapi. Ia termasuklah isu Anwar yang akan dibicarakan pada Januari nanti atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya, kemerosotan sokongan rakyat kepada mereka dan pertentangan ideologi antara DAP dan Pas. Oleh itu bagi menutupi semua masalah ini, mereka berusaha mengadakan konvensyen dengan harapan ia boleh menyakinkan kembali rakyat.
Mereka tidak akan mempedulikan apa yang dilakukan oleh kerajaan sejak Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April lalu. Bagi pembangkang, kerajaan lakukanlah apa pun yang terbaik, ia tetap buruk di mata mereka. Ia kerana matlamat utama pembangkang hanya mahu berpolitik dan terus berpolitik.

Mereka tidak akan tidur lena selagi tidak menjadi kerajaan, sebab itulah secara tiba-tiba mereka kononnya bersedia mengenepikan perbezaan ideologi antara mereka, biarpun semua orang tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Kalaulah benar PKR, DAP dan Pas mahu mengenepikan perkara itu maka bersediakah mereka mengorbankan dasar perjuangan masing-masing terutamanya DAP dengan dasar Malaysian-Malaysia dan Pas dengan dasar Islamnya. Kalau itulah dilakukan yang akan menerima tempias paling teruk ialah Pas kerana sanggup mengorbankan segala-galanya demi kehendak politik PKR dan DAP. Tetapi tidak apalah. bukankah dalam politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal? Bukankah dalam politik juga sering kali ia dihiasi dengan perlakuan matlamat menghalalkan cara?

Namun rakyat perlu menilai semula apa yang sudah dilakukan oleh pembangkang apabila mereka diberi peluang mengenepikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan memerintah empat negeri termasuk Perak (selama 11 bulan)? Apakah benar antara mereka sudah mengenepikan perbezaan? Apakah betul mereka sudah berjaya menghormati pendirian antara satu sama lain dalam membuat sesuatu keputusan? Apakah pentadbiran mereka jauh lebih baik daripada kerajaan BN dahulu? Bagaimana dengan kekalutan yang berlaku di Pulau Pinang dalam isu Kampung Buah Pala, contohnya? Bagaimanapun pula dengan pertelingkahan antara exco DAP dan Pas berhubung penjualan arak di Selangor? Kenapa boleh berlaku di Perak, wakil rakyat PKR mengisytiharkan diri menjadi wakil rakyat Bebas sehingga menumbangkan kerajaan pakatan pembangkang?

Terserahlah kepada rakyat memikirkannya, apa yang pasti kejayaan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu bukanlah kerana ketulenan kekuatan pembangkang tetapi akibat kecuaian BN. Namun berdasarkan kepada apa yang dilaksanakan oleh BN sekarang, percayalah retorik di konvensyen itu hanya akan menjadi pemusnah kepada impian pembangkang memerintah negara. - Utusan

No comments: