Saturday, December 26, 2009

Sistem ekonomi kena utama kesejahteraan insan

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan


Kepincangan pelaksanaan, ketidakadilan agihan sumber boleh tambah krisis dalam masyarakat

DUNIA menyaksikan bahawa pendekatan semasa yang diamalkan kebanyakan negara dalam menyusun dan membangunkan ekonomi membuahkan hasil yang tidak sempurna kepada kebajikan masyarakat. Pertumbuhan ekonomi dari segi angka tercapai tetapi jumlah yang miskin terus tertindas. Kos sara hidup terus meningkat. Natijahnya beban hidup masyarakat makin bertambah berat. Permasalahan ini dituruti dengan pelbagai masalah kemanusiaan lain yang ketara. Keruntuhan akhlak seperti rasuah menjadi-jadi. Kadar jenayah, kepincangan institusi keluarga dan ketidakadilan sosial menjadi fenomena yang jelas.

Jika permasalahan kemanusiaan ini berterusan, kebajikan dan kesejahteraan hidup manusia lambat-laun akan mengalami krisis yang ketara. Bahkan pada masa kini persepsi umum terhadap sesuatu tindakan oleh pihak berwajib banyak menimbul keraguan. Keadaan ini jika tidak dicari penyelesaian yang berkesan akan memusnahkan kehidupan bermasyarakat. Yakin diri dan yakin kepada institusi hidup bermasyarakat akan bertambah meleset.

Apatah lagi apabila pertumbuhan ekonomi semasa berada dalam suasana yang tidak menentu. Keadaan ekonomi di dunia maju, khususnya di negara Barat jelas mempamerkan usaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi tidak memperlihatkan satu arah yang memberangsangkan. Keadaan ekonomi semasa dianggap mampu bertahan hanya melalui pakej rangsangan hasil perbelanjaan defisit dasar fiskal. Berapa lama perbelanjaan defisit dapat diteruskan.

Sesebuah negara tidak mungkin berterusan mengambil tindakan sedemikian. Amerika Syarikat yang terus mengamalkan amalan berhutang sama ada di sektor awam dan swasta tidak akan dapat mempertahankan kedudukan ekonominya. Jumlah hutang kedua-dua sektor itu sudah melebihi US$50 trillion. Keruntuhan ekonomi Amerika Syarikat akan memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.

Pergantungan ekonomi di antara negara makin bertambah rapat. Sesetengah negara contohnya Jepun, sumber terbesar kepada kemajuan ekonominya banyak bergantung kepada negara pengimport terbesar barangan eksportnya iaitu Amerika Syarikat. Apabila ekonomi Amerika Syarikat merundum, ekonomi Jepun turut mengalami kemelesetan. Begitu juga dengan pergantungan kepada pengaliran modal dari luar negara. Jika sumber modal luar negara menjadi faktor terpenting kepada pembangunan sesebuah ekonomi, kebergantungan ekonomi kepada sumber luar akan menjadi penentu utama kepada kemajuan ekonomi tempatan.
Dalam suasana sedemikian sudah tiba masanya untuk negara membangun memikirkan mengenai pendekatan baru dalam menyusun dan membangunkan negara. Malaysia tidak terkecuali.

Kebergantungan kepada sektor luar negara sangat penting diberi perhatian untuk mencapai kemajuan ekonomi negara. Tetapi lebih penting tumpuan turut diberi kepada kemantapan kekuatan faktor dalaman negara seperti penawaran sumber modal, tenaga buruh yang bermutu dan kuasa pasaran yang mantap dalam negara.

Apabila kedudukan ekonomi negara mengalami keadaan yang memberangsangkan, lebihan modal tempatan perlu mampu disalur kepada pembangunan kegiatan ekonomi. Dengan wujudnya pasaran tenaga buruh yang bermutu, kegiatan ekonomi di sektor nilai tambah yang tinggi mampu diwujudkan. Seterusnya kemantapan ekonomi negara hendaklah berkemampuan menggembleng keseluruhan tenaga rakyat menyertai dalam membangunkan ekonomi negara. Usaha sedemikian akan membolehkan ekonomi mencapai guna tenaga penuh dan kemiskinan rakyat dapat diselesaikan.

Hala tuju ekonomi berkenaan perlu disokong oleh dasar fiskal dan kewangan yang mantap. Sektor swasta mesti turut serta berperanan secara muafakat berusaha bersama dalam memajukan negara. Jalinan usaha secara berpadu di antara sektor awam dan swasta akan mewujudkan suasana harmonis dalam menyusun dan membangunkan negara.
Kemajuan ekonomi yang diperoleh sedemikian akan membina kekuatan kuasa pasaran dalam negara. Kekuatan kuasa pasaran dalam negara membolehkan sesebuah ekonomi lebih berkemampuan menghadapi keadaan luaran negara yang tidak menentu dan di luar kemampuan kita untuk mempengaruhinya.

Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh perlu difikirkan untuk memantap kekuatan dalaman ekonomi negara. Usaha itu memberi kesan besar dalam menyelesai masalah sosial masyarakat seperti pengangguran dan kemiskinan rakyat.

Islam menggalakkan masyarakatnya sentiasa mengambil tindakan awalan merancang dan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang sesuai dengan pergolakan suasana ekonomi serantau dan sejagat. Tanpa memahami pergolakan ekonomi pada peringkat berkenaan tidak mungkin masyarakat Islam dapat mengatur langkah yang sesuai dan berkesan dalam memaju ekonomi masyarakat. Ini termasuk dalam membangun instrumen perbankan Islam. Instrumen kewangan yang menepati kehendak syariah wajib menjana kepada pencapaian matlamat syariah. Ini kerana pencapaian kepada matlamat Syariah adalah sangat penting dalam memajukan ekonomi masyarakat Islam. Jika instrumen kewangan yang digulung menepati syariah tetapi tidak menghala kepada pencapaian matlamat Syariah, satu kajian mendalam perlu diambil. Kita tidak boleh ghairah dengan slogan tetapi gagal memperoleh matlamat yang digaris oleh Syariah.

Disamping itu kemajuan ekonomi hendaklah menuju ke arah wujud sebuah masyarakat yang berperadaban. Kekuatan ekonomi yang diperoleh hendaklah daripada sumbangan kekuatan penghayatan nilai kemanusiaan yang utuh. Penyusunan dan pembangunan yang tidak berteras nilai kemanusiaan yang dituntut oleh agama akan menghasilkan ketidakadilan dan keharmonian hidup masyarakat.

Islam menganjurkan nilai keadilan disebatikan dalam setiap bidang kegiatan manusia, sama ada individu atau hidup masyarakat. Ini adalah asas utama kepada usaha menyusun dan memajukan ekonomi negara. Cabaran yang besar sekarang kepada ilmuwan Muslim bagaimana semangat adil dapat diterjemah dalam penggubalan dasar fiskal dan kewangan negara tercapai. Seterusnya dasar itu dilaksana secara adil.

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) - Berita Harian

No comments: