Tuesday, January 26, 2010

AMK Selangor desak Zulkifli dipecat dari PKR

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai melampaui batas kerana telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, sebelum ini beliau banyak bertolak ansur dengan Zulkifli apabila membiarkannya menyatakan pendapatnya sendiri.


"Saya fikir dalam isu ini, banyak yang tidak dapat ditolak ansur. Ia bertentangan dengan semangat demokrasi," kata Anwar dalam laman blognya, http://anwaribrahimblog.com.

Sabtu lalu, Zulkifli membuat laporan polis mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad terus mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina agama Islam.

Zulkifli dalam laporannya itu turut melampirkan kenyataan Khalid dalam satu artikel bertajuk "Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan zaman" yang disiarkan laman portal propembangkang Malaysiakini, kelmarin.

Zulkifli menyifatkan kenyataan Khalid dalam artikel itu sebagai berunsur hasutan dan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Dewan Undangan Negeri itu serta menghina umat Islam secara umumnya.

Ekoran daripada itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa parti itu akan menentukan nasib Zulkifli sama ada akan dikenakan tindakan disiplin atau sebaliknya dalam mesyuarat khas parti itu, esok.

Pas pula melalui Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tindakan Zulkifli itu sebagai tidak elok dan tidak manis seolah-olah seperti sengaja mengangkat bola tanggung untuk direjam oleh pihak lawan.

Sementara itu di SHAH ALAM, Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Selangor mendesak jawatankuasa disiplin mengambil tindakan tegas termasuk memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang didakwa cuba merosakkan hubungan parti itu dengan Pas.

Ketuanya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, Zulkifli perlu dihadapkan kepada jawatankuasa berkenaan kerana tindakannya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad jelas melanggar prinsip perkongsian antara parti-parti pembangkang itu. - Utusan

No comments: