Tuesday, January 26, 2010

Bubar PKR Ijok : Azmin mahu jatuhkan Khalid?

Buzz up!
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Pembubaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor didakwa adalah sebahagian perancangan Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali yang mahu menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat sebagai pencabar terkuatnya bagi jawatan Timbalan Presiden parti.

Bekas Setiausaha Perhubungan PKR Selangor, Mohd. Nazmi Rosli berkata, Abdul Khalid dilihat calon paling berpotensi untuk memegang jawatan tersebut berbanding Azmin selepas spekulasi pengunduran Senator Dr. Syed Husin Ali daripada jawatan itu.

"Abdul Khalid lebih banyak jawatan di Selangor berbanding Azmin. Ekoran itu, Azmin bimbang Menteri Besar Selangor itu akan menjadi pencabar utamanya lalu merancang apa jua mainan politik untuk menjatuhkan beliau.


"Kesannya, para perwakilan parti akan melihat, Abdul Khalid gagal mentadbir cabangnya sendiri di Kuala Selangor dan bagaimana beliau mahu menjadi orang atasan parti iaitu selaku Timbalan Presiden.

''Inilah yang Azmin mahu bagi memastikan cita-citanya menjadi Timbalan Presiden parti tercapai," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, spekulasi pengunduran Senator Dr. Syed Husin Ali daripada jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan akan datang, didakwa bertujuan memberi laluan kepada Azmin untuk menduduki kerusi nombor dua dalam parti itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim mendakwa, spekulasi itu heboh diperkatakan pada pertengahan bulan ini ketika cabang-cabang PKR di seluruh negara bersiap sedia untuk membuat pencalonan bermula Mac ini.

Dakwanya, memandangkan masa semakin suntuk untuk calon-calon lain mendapatkan sokongan, sudah tentu Azmin yang telah turun bertemu ahli di peringkat akar umbi atas kapasitinya sebagai Naib Presiden akan mendapat kelebihan.

Mohd. Nazmi menambah, kemenangan Syed Husin mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR 2007 tanpa dicabar selepas Azmin disebut-sebut akan menentangnya tetapi menarik diri juga didakwa adalah perancangan Naib Presiden PKR itu.

Beliau berkata, strategi licik tersebut adalah bagi memenuhi kehendak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan Azmin dilantik sebagai Timbalan Presiden.

"Kini, Azmin berusaha untuk menjatuhkan Abdul Khalid pula yang dianggap sebagai pencabar utamanya. Inilah masalah yang akan berlaku apabila mendapat kuasa dan mula berebut jawatan.

"Budaya 'cah keting' bukan sahaja wujud dalam Pas seperti yang Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat katakan, ia juga wujud dalam PKR," katanya.

Beliau juga meluahkan rasa simpati kepada Abdul Khalid yang kini menjadi mangsa mainan politik Anwar dan Azmin.

"Sehubungan itu beliau lebih baik meletak jawatan daripada arena politik dan memberi tumpuan kepada dunia korporatnya.

''Abdul Khalid harus sedar dirinya dipermainkan oleh Anwar dan Azmin yang mempunyai agenda sendiri untuk mencapai cita-cita mereka," dakwanya. - Utusan

No comments: