Sunday, February 21, 2010

UMNO Kedah sasar 317,000 pengundi muda

ALOR SETAR 20 Feb. - Seramai 317,000 pengundi muda di negeri ini yang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 masih belum mendaftar sebagai pengundi.Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, UMNO akan terus turun padang bagi mengesan pengundi-pengundi muda itu.

"UMNO Kedah serta parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) bergerak dari rumah ke rumah untuk mencari pengundi yang masih belum berdaftar.


"Program initelah dijalankan sejak awal Januari lalu dan akan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada program pendaftaran pemilih di Taman Wira Mergong di sini hari ini.
Menurutnya, melalui program itu, bilangan ahli baru yang menyertai UMNO turut bertambah.

"Kita tidak meletakkan sasaran banyak mana yang akan sertai UMNO.

"Namun, kita mahu mereka yang layak dapat mengundi dan melalui program ini, UMNO juga akan terus dekat di hati rakyat," ujarnya.

Katanya, tindakan UMNO mengunjungi rumah ke rumah membolehkan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat didengar oleh pemimpin.

"Program ini bukan hanya dijalankan di kawasan Parlimen Alor Setar namun kita buat di seluruh negeri ini.

"Dalam seminggu, kita akan buat program pendaftaran pemilih sebanyak tiga kali dan sehingga kini bilangan pengundi serta ahli UMNO juga telah meningkat," jelasnya. - Utusan

Saturday, February 20, 2010

Kegagalan Kerajaan Pas Kedah : 3,000 penduduk hadapi kesulitan bekalan air

ALOR STAR: Kira-kira 3,000 penduduk lima kampung di sekitar Alor Mengkudu di sini, kecewa kerana bekalan air paip yang diselenggarakan pihak bertanggungjawab di kawasan itu sering putus sejak empat tahun lalu.

Penduduk di Kampung Padang Chapa, Kampung Alor Mengkudu, Kampung Alor Selut, Kampung Alor Keriang dan Kampung Tok Sadu mendakwa, keadaan semakin meruncing sekitar enam bulan lalu apabila bekalan air hanya diperoleh pada awal pagi iaitu sekitar jam 2 hingga 6 pagi.

Suri rumah, Rokiah Hitam, 49, dari Kampung Padang Chapa, berkata beberapa kawasan di sini mengalami masalah air hampir 20 tahun namun pihak berkenaan sehingga kini tidak mengambil langkah penyelesaian.

Katanya, pada waktu siang bekalan langsung tiada dan segala aktiviti kerja rumah seperti mencuci pakaian dan pinggan mangkuk tergendala malah air untuk mandi juga terpaksa dijimatkan.

“Masalah ini sudah diadukan kepada Jabatan Bekalan Air Kedah (kini dikenali Syarikat Air Darul Aman) namun tiada tindakan diambil.

“Memang masalah kerana kami hanya dapat menadah air awal pagi, itu pun alirannya perlahan dan untuk mengisi satu timba mengambil masa lima belas minit,” katanya.

Apa yang mengejutkan penduduk ialah, walaupun bekalan air perlahan dan tiada pada siang hari tetapi bil air mereka agak tinggi.

Seorang lagi penduduk, Che Intan Baharom, 43, berkata paip air di kawasan itu ibarat pameran pada siang hari dan disebabkan masalah itu, penduduk terpaksa bersengkang mata menadah air untuk digunakan pada waktu siang.

“Bagaimanapun ia masih tidak mencukupi malah untuk mengambil wuduk pun susah.

Katanya, anak-anaknya pernah ke sungai berdekatan untuk mandi, namun mengalami gatal seluruh badan kerana air sungai berkenaan dipercayai tercemar dengan racun sawah yang mana bekasnya sering dicuci di sungai berkenaan oleh petani.

Lebih menyulitkan katanya, apabila hendak mengadakan kenduri dan terpaksa memohon penghantaran air menggunakan lori tetapi bekalan tidak mencukupi menyebabkan kenduri terjejas, begitu juga apabila ada kematian.

Che Intan berkata, dia bingung memikirkan majlis kenduri perkahwinan adiknya yang akan berlangsung minggu depan dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk membeli tong bagi menadah air dan mula menadah air seawal mungkin. - Berita Harian

Saya dikhianati politik propaganda murahan - Zahrain

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana merasakan perjuangannya dikhianati pimpinan politik propaganda murahan.

Katanya, tindakan itu juga disebabkan beliau tidak mahu bersekongkol dengan kepimpinan parti itu yang disifatkannya sebagai pengecut untuk menyatakan kebenaran.

''Saya berkawan lama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi keyakinan saya hilang apabila beliau mempertahankan Lim Guan Eng,'' katanya dalam program Bicarawara yang disiarkan oleh RTM, malam ini.

Zahrain yang membuat keputusan keluar daripada PKR pada 12 Februari lalu berkata, apa yang beliau kesalkan ialah setiap kali beliau ingin menyampaikan apa yang dilakukan oleh Guan Eng, pandangannya diperlekehkan oleh kepimpinan parti tersebut.

''Saya juga dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana mengkritik Guan Eng, seolah-olah Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak bersalah dan seakan-akan dirinya baik seperti Khalifah Umar Abdul Aziz,'' katanya.

Zahrain berkata, walaupun beliau tidak mahu memutuskan hubungan kawan dengan Anwar tetapi dari segi politik, beliau tidak mampu lagi mengikuti Penasihat PKR itu.

''Ia kerana saya melihat PKR sanggup menjual maruah dan integriti bagi mencapai satu pembohongan untuk merosakkan bangsa,'' katanya.

Mengenai gesaan Guan Eng yang mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Island Golf Properties (IGP), Zahrain berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu sepatutnya bersabar sedikit.

''Saya sudah pun menyediakan surat peletakan jawatan tersebut dan dua tiga hari lagi selepas cuti Tahun Baru Cina, beliau akan menerima surat berkenaan. Saya tidak kemaruk jawatan itu,'' tegasnya.

Dalam wawancara itu juga, Zahrain sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa Guan Eng dan DAP mengamalkan politik perkauman. - Utusan

Pemimpin perlu kerap turun padang


NAJIB bertanya sesuatu kepada Sufiah Datuk Norizan, pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Assunta Petaling Jaya yang menyampaikan suratnya kepada Perdana Menteri pada Konvensyen UMNO Pahang 2010 di UiTM, Maran, semalam.


MARAN 19 Feb. - Para pemimpin UMNO perlu kembali kepada politik fundamental jika mahu mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti pemerintah itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegas beliau yang juga Presiden UMNO, pemimpin parti pada masa ini perlu mencontohi sikap pemimpin terdahulu yang sentiasa mendekati rakyat terutama ketika pengundi berada dalam kesulitan.

''Jika pemimpin dahulu sanggup turun padang bertemu rakyat sehingga ke kawasan pedalaman, mengapa terdapat pemimpin sekarang gagal mengikuti langkah tersebut.

''Kita sebagai wakil rakyat mestilah sentiasa bersama rakyat. Kita perlu mendekati rakyat melalui pelbagai program pada setiap hujung minggu.

''Kalau rakyat susah hendak jumpa kerana tidak ada rumah di kawasan, kita kena buka klinik rakyat dan duduk sehari suntuk dengan mereka pada setiap hari Sabtu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, timbalannya, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Konvensyen tiga hari yang berakhir Ahad ini dihadiri 1,400 peserta yang terdiri daripada ahli UMNO bahagian, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri serta wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Najib seterusnya menegur sikap segelintir wakil rakyat UMNO yang hanya menunjukkan muka kepada beliau tetapi sukar untuk ditemui oleh pengundi.

''Wakil rakyat tidak perlu tunjuk muka kepada saya tetapi perlu tunjuk muka kepada rakyat. Masa hendak menjadi YB (Yang Berhormat), janji kepada pengundi, bila-bila masa pun boleh jumpa tetapi bila sudah menang, masing-masing sibuk, bahkan ada memohon senjata api," kata beliau.

Najib juga membidas sikap sesetengah pemimpin UMNO yang menghantar biodata semasa menunggu beliau di lapangan terbang dan bersalaman dengannya.

Sehubungan itu, beliau mahu ketua-ketua bahagian dan wakil rakyat membuat perubahan sikap supaya menjadi pemimpin yang disenangi rakyat.

Antara perubahan sikap yang dimaksudkan, kata beliau, ialah dari segi perangai supaya disukai rakyat dan menunaikan janji semasa kempen pilihan raya.

Najib menambah, UMNO sebenarnya masih menjadi pilihan rakyat kerana mereka telah melihat sendiri rekod parti itu yang banyak menabur jasa.

''Bagaimanapun, sebagai pemimpin dan ahli UMNO, kita tidak seharusnya mengulangi kesilapan lalu sehingga menyebabkan kita kalah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap konvensyen tersebut dapat melahirkan keputusan dan resolusi yang boleh dijadikan landasan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). - Utusan

Wednesday, February 17, 2010

Pemuda BN Hantar Memorandum Bantah Campur Tangan Anggota Parlimen Australia

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) Rabu menyerahkan memorandum menyatakan kemarahan rakyat Malaysia terhadap tindakan 50 anggota Parlimen Australia yang jelas ada niat untuk campur tangan dalam hal ehwal sistem kehakiman di negara ini.

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata memorandum itu menuntut agar Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Negeri Parlimen Australia Michael Danby menarik balik surat yang dihantar oleh 50 anggota parlimen negara itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia serta satu permohonan maaf daripada Danby bagi pihak 50 anggota Parlimen itu.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata memorandum itu juga menggesa agar Perdana Menteri Australia Kevin Rudd menyatakan dengan jelas bahawa pendirian kerajaan Australia tidak sama dengan pendirian 50 anggota Parlimen negara itu.

"Malaysia adalah negara yang berdaulat. Dengan adanya keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, kita tidak terima langsung apa saja usaha, apa saja tindakan yang kita anggap sebagai campur tangan daripada pihak Australia, luar negara dan asing dalam hal ehwal negara kita," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Australia Penny Williams di sini hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira 15 minit itu, Khairy berkata Williams telah memberi jaminan bahawa kerajaan Australia tidak ingin campur tangan dalam sistem kehakiman Malaysia dan tidak mahu membuat satu pengadilan terlebih dahulu tentang perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Pesuruhjaya Tinggi Australia itu juga memberi jaminan bahawa memorandum Pemuda BN yang mewakili NGO belia yang ada akan disampaikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia di Canberra.

"Walaupun ini tidak datang dari kerajaan Australia, tapi kita menganggap ini adalah serius sebab 50 anggota Parlimen itu menjadi wakil rakyat kepada Australia.

"Kita tidak mahu isu ini dipolitikkan di Australia sehingga mencetuskan satu keadaan di mana campur tangan itu lebih ketara daripada apa yang kita lihat dua tiga hari lepas," katanya.

Turut sama mengiringi beliau adalah Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pemuda MIC T.Mohan dan Ketua Penerangan Pemuda BN Datuk Reezal Merican.

Kira-kira 500 orang terdiri daripada Pemuda Umno, Pemuda MIC dan anggota NGO belia menyertai perarakan aman yang bermula daripada sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng.

Makkal Sakhti turut menyerahkan memorandum sebagai bantahan terhadap campur tangan itu dengan Presidennya R.S. Thanenthir berkata akan ada lebih banyak bantahan jika Angota Parlimen Australia itu tidak menghentikan campur tangan dalam sistem kehakiman Malaysia.

"Kami mahu memastikan mereka melakukan ini buat kali terakhir. Kami akan terus bantah jika mereka tidak berhenti di sini. Ini ingatan keras kepada semua Anggota Parlimen Australia," katanya.

Dalam memorandum mereka, Makkal Sakhti menggesa Anggota Parlimen Australia supaya menahan diri mereka daripada terus campur tangan kerana rakyat Malaysia tidak campur tangan dengan urusan undang-undang dan mahkamah Australia.

"Kami sentiasa menghormati dan menghargai hubungan baik dengan negara anda dan kami tidak ingin merosakkan hubungan yang sedia terjalin," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Muktar Radin berkata anggota Parlimen BN bersedia bertemu dengan mana-mana anggota parlimen dari negara luar untuk menjelaskan isu perbicaraan Anwar itu.

Katanya, tuduhan terhadap Anwar dilakukan oleh individu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, bukannya dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia.

"Kita meminta dengan sekeras-kerasnya. Mereka tidak ada hak mencampuri negara Malaysia. Mana-mana pihak yang cuba mencampuri, kita akan memberi tentangan yang tidak ada hentinya. Kita adalah negara berdaulat.

"Mana-mana pihak berhak untuk menyuarakan (pendapat), tapi pada kita apa yang dikatakan ialah tempat dan masa yang salah," katanya.

Beliau yang mewakili seramai 140 anggota Parlimen BN tiba diperkarangan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia kira-kira 11.05 pagi untuk menghantar memorandum bantahan tersebut.

Turut sama kelihatan mengiringi beliau adalah anggota Parlimen Tangga Batu Datuk Idris Haron, Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad dan Arau Datuk Ismail Kassim. -- BERNAMA

Tuesday, February 16, 2010

Ada 'Firaun Kecil' Cuba Singkir Saya Dari PKR - Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin Selasa berkata ada sekumpulan 'firaun kecil' sedang bersekongkol untuk menyingkirkannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata kelompok itu bukan saja daripada kalangan anggota PKR dan PAS tetapi juga badan bukan kerajaan yang tidak senang dengannya.

Perkembangan terkini membabitkan lembaga disiplin parti yang mahu membicarakannya ketika beliau tiada dalam negara menyerlahkan lagi komplot kumpulan itu, katanya kepada pemberita di sini.

"Saya hairan mengapa mereka (Lembaga Disiplin) pilih tarikh tersebut, sedangkan mereka telah sedia maklum bahawa saya bersama 12 anggota Parlimen dari pakatan pembangkang dan Barisan Nasional akan berada di Korea bermula esok sehingga 25 Feb ini," katanya.

Zulkifli sebelum itu memberitahu pemberita bahawa lembaga disiplin parti menetapkan Khamis ini sebagai tarikh perbicaraan berhubung kes beliau membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari parti PAS bulan lepas.

Tindakan itu kata Zulkifli, seolah-olah mahu mensabotajnya memandangkan beliau telah memaklumkan kepada PKR berhubung urusannya di Korea Selatan itu yang bertujuan menghadiri Persidangan Kepimpinan Antarabangsa.

Lembaga Disiplin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab dan mengarahkan Zulkilfi untuk hadir bersidang pada 18 Feb dengan tarikh alternatif pada 23 Feb ini.

Zulkifli juga meragui keikhlasan lembaga disiplin parti untuk mendengar penjelasannya memandangkan pelbagai kenyataan yang dibuat oelh pemimpin parti sebelum ini termasuk oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan hukuman telahpun dijatuhkan.

"Jadi bagaimana Lembaga Disiplin yang duduk di bawah Majlis Pimpinan Tertinggi boleh diharap berlaku adil dan saksama kepada saya dalam keadaan kepimpinan parti yang akan membuat keputusan sudahpun menghukum saya dan bertindak menjadi penyiasat, pendakwa, hakim serta penghukum.

"Saya bimbang prosiding lembaga disiplin itu hanyalah sekadar satu 'drama politik' semata-mata untuk menunjukkan kononnya saya sudah diberi peluang membela diri sedangkan keputusannya sudah pun dipersiapkan," katanya.

Zulkifli berkata Lembaga Disiplin PKR juga mengamalkan sikap pilih kasih memandangkan badan itu hanya mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beliau, Anggota Parlimen Bayan Baru Datu Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng.

Namun katanya, tidak ada surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong dan Biro Politik Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR Datuk Zaid Ibrahim walaupun Anwar dan Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution memberitahu media kedua-dua mereka itu juga akan dipanggil oleh lembaga disiplin parti. -- BERNAMA

Zulkifli dakwa ada unsur sabotaj dalam tindakan lembaga disiplin PKR

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, mendakwa ada unsur sabotaj apabila lembaga disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menetapkan Khamis ini sebagai tarikh bersidang kes beliau.

Beliau berkata, ini kerana pada waktu itu beliau akan berada di Korea Selatan untuk menghadiri persidangan kepimpinan bersama 11 lagi Ahli Parlimen Pembangkang sehingga 25 Februari.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tindakan itu sebagai satu hukuman awal parti terhadapnya. - Berita Harian

Kelemahan terserlah jua : Umno tak perlu canang kelemahan pembangkang: Shafie

KOTA KINABALU: Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain hanya perlu bekerja untuk rakyat dan bukannya membangkitkan dilema yang kini dihadapi pembangkang, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, "keadaan rapuh" dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pakatan pembangkang bukanlah urusan Umno.

"Adalah penting untuk kita menyampaikan... memberi khidmat terbaik kita kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan kita.

"Dengan cara itu, rakyat akan tahu bahawa kita adalah kerajaan yang mengambil berat kebajikan mereka, pemimpin rakyat yang boleh dipercayai dan dapat memberi khidmat terbaik tanpa perlu memberitahu mereka bahawa pembangkang tidak boleh dipercayai," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini malam tadi.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang keluar daripada PKR Jumaat lalu.
Shafie berkata, apa yang berlaku dalam parti itu adalah disebabkan masalah yang membelenggu mereka dan tiada kena mengena dengan Umno.

Katanya, Umno tidak pernah mempengaruhi anggota pembangkang supaya meninggalkan parti mereka.

"Setahu saya, Zahrain memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas di kawasan pilihan rayanya. Tiada sebarang tanda bahawa beliau akan menyertai Umno atau mana-mana parti komponen BN," katanya. - Berita Harian

Nik Aziz kian menyimpang?

KOTA BHARU 15 Feb. - Sikap Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memperkecilkan sambutan Maulidur Rasul kerana menganggap ia tidak mempunyai fadilat disifatkan sebagai 'menyimpang'.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah berkata, ini kerana memperingati Nabi Muhammad merupakan sunat muakad yang tertinggi dalam menghayati sejarah serta perjuangan baginda yang dapat menginsafkan diri setiap umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menganggap sebarang pandangan yang menganggap hari keputeraan baginda itu tidak perlu disambut sebagai bertentangan dengan akidah.

"Dia termasuk dalam orang yang mengharamkan ijtihad kerana hukum ini ialah dalam empat perkara iaitu al-Quran, hadis, sunnah dan kias (ijtimak ulamak).

"Siapa yang menolak ini tak bolehlah kerana boleh diibaratkan macam sesat jadi bila sesat wajib kita tentang," ujar beliau di sini hari ini.

Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengenai sebab utama Maulidur rasul tidak disambut di negeri ini.

Ketika ditemui semalam, Nik Abdul Aziz berkata, bulan Maulud tidak mempunyai fadilat dan sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.

Bagaimanapun beliau berkata, corak pentadbiran yang diamalkan kerajaan negeri telah menerapkan nilai Maulud yang sebenarnya.

Abdullah menjelaskan, Maulidur rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya.

Tegasnya, Allah sendiri memuliakan nabi maka adalah sunat bagi umat manusia turut meraikan hari kelahiran baginda.

"Apa ini maulud..maulud merupakan perhimpunan untuk memuji dan memperingati hari kelahiran nabi dengan mengadakan jamuan sedekah dan membaca kisah-kisah mengenai nabi.

"Nabi tak pernah larang dan tak pernah suruh tetapi zaman sahabat baginda dulu mereka meraikan kedatangan maulud dengan cara itu," tegas beliau. - Utusan

Contohi Khalifah Umar retorik politik murahan Guan Eng

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyifatkan slogan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz hanyalah retorik politik murahan yang kosong dan mengelirukan rakyat.


Bukan itu sahaja, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mengaitkan perbuatan Guan Eng yang cuba menutup kebenaran pembatalan perarakan Maulidur Rasul oleh kerajaan negeri itu sebagai sangat mengaibkan.

Beliau yang mengecam keras tindakan itu berkata, cubaan membatalkan perarakan membuktikan apa yang disebutkannya sebelum ini bahawa kepimpinan Guan Eng adalah bersikap cauvinis, ekstremis, rasis dan mempunyai agenda sempit perkauman yang jelas.

''Cubaan mereka untuk menutup kebenaran yang terbongkar sangatlah mengaibkan. Apakah ini yang dikatakan kerajaan yang telus dan ikhlas?

''Benarlah kata Rasulullah SAW, suatu ketika nanti akan datang zamannya umat Islam diratah oleh kafir-kafir yang bersatu, yang melunyai kita macam tempe dilenyek saja.

''Dan ia terjadi walaupun jumlah umat Islam terlalu ramai, tetapi jumlah yang banyak itu hanya umpama buih yang sedikit pun tidak membawa kesan. Kerana apa, kerana mereka terlalu sayangkan kedudukan, jawatan, habuan keduniaan mereka dan mereka takut kematian dan hilang semua nikmat duniawi ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk Musang Berbulu Ayam! dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com.

Dalam sesi Soal Jawab TV3 pada 8 Februari lalu, Zulkifli juga telah menyerang Guan Eng dengan menyifatkan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin sebagai contoh tindak-tanduk DAP yang menjadi 'duri dalam daging' bagi pakatan pembangkang.

Kelmarin, Guan Eng berkata, perarakan Maulidur Rasul akan terus diadakan dan dakwaan beberapa pihak bahawa program itu telah dibatalkan adalah satu pembohongan dan sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri berkenaan.

Namun kenyataan Setiausaha Agung DAP itu berbeza dengan pekeliling yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir bertarikh 5 Februari lalu yang menyebut mengenai pembatalan majlis perarakan berkenaan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, adalah sesuatu yang paling malang, apabila terdapat segelintir orang Melayu yang terpedaya dengan mainan politik silap mata yang menjijikkan oleh Guan Eng.

Malah katanya, golongan Melayu tersebut turut bersekongkol untuk menjahanamkan agama dan bangsa sendiri.

Bagaimanapun, katanya, Ketua Menteri itu seharusnya sedar bahawa bukan semua masyarakat Islam akan tunduk diam dengan perbuatannya.

''Yakin dan percayalah di luar sana masih ada umat yang tegas dan berani yang akan tetap mempertahankan akidah dan maruah agamanya tanpa takut sedikit pun kepada sebarang risiko yang bakal melanda.

''Kepada umat Islam khususnya di Pulau Pinang, termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan, terutama pegawai dan kakitangan jabatan agama, janganlah kamu takut dengan rejim cauvinis ini.

''Pertahankanlah agama kamu, janganlah kerana gaji yang tidak seberapa ini maka kamu biarkan agama Islam dipermainkan,'' ujarnya. - Utusan

Boleh gagal sistem demokrasi


Shafie Apdal (kanan) menyatakan sesuatu kepada Ketua Menteri, Musa Aman (tengah) dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Joseph Pairin Kitingan di Rumah Terbuka PBS dan MCA Sabah sempena sambutan Tahun Baru Cina di Port View, Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri


KOTA KINABALU 15 Feb. - Tindakan 50 ahli Parlimen Australia mendesak kerajaan menggugurkan tuduhan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menggagalkan amalan sistem demokrasi dan Perlembagaan negara-negara Komanwel.

Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai perkembangan tidak sihat, Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah tersebut jelas tidak menghormati Perlembagaan negara.

''Apa akan jadi jika berlaku jenayah di Australia, ahli Parlimen kita minta supaya dakwaan digugurkan. Sudah tentu akan ada ahli Parlimen mereka (Australia) akan tersinggung.

''Oleh itu, mereka perlu mengkaji secara mendalam dahulu sebelum mengemukakan kenyataan atau desakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbukaTahun Baru Cina, MCA Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mengulas tindakan 50 penggubal undang-undang Australia menggesa kerajaan Malaysia menggugurkan kes liwat terhadap Anwar dengan alasan ia akan mencemarkan imej negara.

Dalam laporan agensi berita asing kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kecil bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby berkata, pendakwaan liwat kali kedua ke atas Anwar merupakan sesuatu yang memalukan sistem demokrasi di Malaysia dan merasakan mereka perlu menyokong pemimpin pembangkang itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Kementerian Luar memberi penjelasan berhubung perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar kepada 50 orang ahli Parlimen Australia itu.

Shafie berkata, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mencampuri hal ehwal dalaman sesebuah negara, apatah lagi membabitkan Perlembagaan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tuntutan itu dibuat pada waktu ini.

''Sebelum ini tidak ada protes.. Lagipun ini bukan satu tindakan menganiaya kerana mangsa sendiri yang membawa perkara ini ke mahkamah," tegasnya.

Beliau menambah, Perlembagaan sesebuah negara bukan satu perkara yang boleh dijadikan bahan politik, sebaliknya perlu dihormati semua pihak termasuk di luar negara.

Sementara itu, beliau mahu pasukan keselamatan meningkatkan kawalan dan rondaan di perairan Semporna bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan itu sentiasa terjamin.

Katanya, kejadian rompakan di Pulau Sebangkat tempoh hari wajar menjadi iktibar kepada semua pihak memperkemaskan tindakan masing-masing.

''Walaupun ia bukan merupakan satu kes penculikan tetapi harus dibanteras dengan cepat dan tegas supaya ia tidak berlarutan sehingga tidak dapat dikawal,'' katanya. - Utusan

Monday, February 15, 2010

Malaysia Berdaulat : Anwar tak perlu gunakan Australia untuk 'lepaskan' diri

Hanya selepas beberapa hari bermulanya kes liwatnya di Mahkamah, Anwar Ibrahim terus menggunakan 'taktik' lamanya untuk terus memberi tekanan kepada Kerajaan Malaysia.

Terkenal dengan gelaran 'Pengkhainat Negara', Anwar kali ini menggunakan beberapa orang Ahli Parlimen Australia untuk 'bersuara' bagi menggugat kedaulatan negara.

Tindakan bacul ini jelas bermotifkan politik apabila, Anwar melalui kuncu-kuncunya yang bermastautin di sana untuk mempengaruhi serta mendesak Ahli Parlimen Australia dari Parti Buruh Michael Danby menyerahkan nota bantahan berkaitan kes liwatnya kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Salman Ahmad di Canberra, Jumaat lalu.

Dengan menggunakan Ahli Parlimen Australia kali ini, apakah ianya adalah bukti bahawa dunia Islam sudah tidak menghormati dan telah hilang hormat kepada Anwar.

Kenapa mesti gunakan orang Kristian yang pegangan mereka kepada homoseksual sememangnya boleh diragui.

Untuk makluman semua, ini bukan kali pertama Anwar menggunakan taktik ini untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Malaysia. Sebelum ini, Anwar juga pernah mempengaruhi akhbar-akhbar luar untuk memberikan gambaran negatif tentang Malaysia.

Hasratnya hanya satu iaitu menjadikan Malaysia lemah dan hancur kerana dengan cara ini sahaja yang akan memudahkannya untuk 'takluk' Malaysia.

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa kuncu-kuncu Anwar yang menetap di Australia memangnya ramai dan salah seorangnya adalah Rahim Ghouse yang telahpun mendapat taraf permastautin tetap di sana.

Umum tahu bahawa Anwar akan menggunakan apa saja taktik untuk melengah-lengahkan dan jika boleh, menggugurkan terus kes yang sedang dihadapinya.

Kemungkinan kuncu-kuncu Anwar yang 'bekerja keras' untuknya dari sana.

Tindakan yang dibuat oleh segelintir Ahli Parlimen Australia ini, benar-benar memalukan Ahli Parlimen Australia yang lain serta tidak menghormati kedaulatan undang-undang Malaysia.

Ianya seperti campurtangan luar yang mahukan Kerajaan Malaysia tunduk mengikut telunjuk mereka.

Desakan agar Kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan terhadap Anwar sebenarnya telah mencabul Hak Asasi Saiful Bahari dan Kedaulatan Undang-undang Malaysia.

Sepatutnya, ianya patut dirujuk melalui Kedutaan Malaysia di sana dan semestinya campurtangan luar tidak diperlukan.

Saya yakin, 1MALAYSIA marah dengan tindakan campur tangan ini yang pastinya ditaja oleh seorang yang memang takut untuk menghadapi kebenaran Allah. - Zul Azhar Cha

Sunday, February 14, 2010

UMNO sedia bincang dengan Pas

BESUT 13 Feb. - UMNO bersedia duduk semeja dengan Pas bagi membincangkan isu berkaitan dengan Islam sekiranya kenyataan berhubung cadangan tersebut dikeluarkan menerusi Majlis Syura parti itu dan bukannya individu.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, walaupun kenyataan berhubung isu terbabit dikeluarkan oleh Presiden Pas sekalipun, UMNO tidak akan menerimanya kerana ia adalah keputusan secara individu.

Katanya, ini disebabkan UMNO bimbang berdasarkan kenyataan pemimpin Pas sebelum ini ia kerap berubah mengikut musim dan kadangkala keputusan dibuat tidak menggambarkan pendirian parti itu yang sebenar.

''Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberitahu yang beliau (Najib) tidak pasti pasal perbincangan dengan Pas sebab ia selalu berubah,

''Kenyataan itu hanya dibuat atas kenyataan Datuk Nik Aziz saja......kecuali kalau Majlis Syura Pas kata nak bekerjasama dengan UMNO...kita setuju lah.

"Kalau ikut yang lepas-lepas nanti dia berubah-ubah," katanya selepas merasmikan Program Juara Rakyat Peringkat Bahagian Besut di Dewan Gong Kemuntong Jerteh di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas cadangan Nik Aziz sebelum ini yang mencadangkan parti itu duduk semeja dengan UMNO bagi membincangkan isu berkaitan Islam.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sebarang keputusan mesti mengikut dasar parti.

''Kalau seorang sahaja buat keputusan..kita tidak boleh terima," katanya.

Mengenai tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang berceramah di atas pentas pembangkang, Muhyiddin berkata, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Tengku Razaleigh sebelum ini sebenarnya banyak bercanggah dengan dasar-dasar dan pendirian kerajaan.

''Walaupun kita telah meneliti ucapan beliau (Tengku Razaleigh) namun ia masih belum dibawa kepada pihak pengurusan tertinggi UMNO untuk tindakan selanjutnya.

''Sebagai seorang lebih senior dalam parti, dia patut beri contoh yang baik dan bukannya membuat kenyataan sebaliknya," kata beliau. - Utusan

Saturday, February 13, 2010

Pemimpin PKR patut fikir semula sokongan untuk Anwar: Rais

LONDON: Tumbangnya satu demi satu "pagar" Parti Keadilan Rakyat (PKR) seharusnya membuatkan anggota parti itu memikirkan semula sokongan kepada ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Bahkan seluruh rakyat, katanya, harus melihat tindakan pemimpin seperti Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, keluar parti menunjukkan bahawa PKR sudah tiada berpotensi untuk memberi sumbangan kepada pakatan DAP-PKR-Pas.

"Berita itu harus dianggap sebagai elemen penggoncang kepada situasi dan politik PKR khasnya dan pembangkang amnya," katanya kepada pemberita di Restoran Jom Makan, restoran masakan Malaysia yang terkemuka di pusat bandar raya ini.

Mengulas lanjut pengumuman Zahrain keluar daripada PKR, Rais berkata bagaimana orang seperti Zahrain sanggup berhenti menjadi anggota parti dan mahu duduk di luar lingkungan PKR, harus dijawab oleh Anwar secara jelas dan tidak mengaburi mata rakyat.

"Hilangnya sokongan kepada Anwar itu bermakna PKR memang tidak mampu meneruskan gerakannya lantaran di dalam partinya sendiri pun tidak berupaya memberi keyakinan mengenai keutuhannya dan juga potensinya untuk menyumbang kepada pembangkang (parti pakatan)," katanya.

Rais berkata, banyak pemerhati politik berpendapat perkembangan itu merungsingkan bukan saja anggota PKR tetapi juga parti pembangkang lain.

"Satu penyebab penting ialah rakyat sudah dapat melihat bahawa gagasan 1Malaysia lebih menonjolkan keadilan sosial dan juga kemantapan demi kepentingan rakyat. Sedangkan PKR, Pas, DAP tak ada ramuan untuk diberitahu apa yang mereka nak buat," katanya.

Menganggap perkembangan dalam PKR itu sebagai satu bonus kepada kepimpinan Barisan Nasional, terutamanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, atas keikhlasannya menerusi gagasan 1Malaysia dan perubahan dalam ekonomi serta menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat, Rais berkata:

"Seruan kita sekarang ialah supaya semua 'ketua darjah' dan 'penghulu' dalam PKR harus berfikir dua kali untuk terus menyokong Anwar yang kononnya akan mengambil alih tampuk pimpinan dan kerajaan. Saya berani menyatakan ini adalah igauan dan tak akan menjadi realiti."

Menjawab soalan, Rais berkata adalah jelas tindakan Zahrain keluar daripada PKR berkait langsung dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kerana ia berlaku di negeri itu.

"Guan Eng telah gagal merapatkan jurang perbezaan sehingga seorang demi seorang pimpinan daripada PKR meninggalkan beliau termasuk sebelum ini bekas timbalan ketua menterinya," katanya. - Berita Harian

Friday, February 12, 2010

Zulkifli pertahan kenyataan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tetap mempertahankan kenyataannya yang mengatakan DAP menjadi duri dalam daging dalam Pakatan Rakyat (PR).

Malah, Zulkifli turut menyenaraikan sembilan dalil :(sebelah): mengukuhkan kenyataannya itu sebagai rujukan agar pakatan pembangkang mengkaji semula kedudukan dan kerjasama dengan DAP.

“Tindak-tanduk kepimpinan DAP sejak 8 Mac 2008 sehingga kini membuktikan sikap angkuh, sombong, chauvinis, ekstremis serta diktatorial yang bukan sahaja keterlaluan, malahan bercanggah dengan semangat dan persefahaman di antara komponen parti pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, rakyat mula mencurigai parti itu dan muak dengan sikap kaduk naik junjung yang jelas bertentangan dengan dasar reformasi yang dibawa oleh PR.

“Antaranya, kenyataan Jeff Ooi melabelkan Ahli Malis Pulau Pinang dan ahli Jemaah Islah Malaysian (JIM) , Mohd Razali Abdullah sebagai ekstremis, fundamentalis dan teroris kerana mengkritik kerajaan pimpinan Lim Guan Eng,” katanya.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan antara Anwar bagi membincang kritikan terhadap DAP tersebut.

“Saya yakin Anwar akan memahami pendirian saya setelah pertemuan tersebut nanti, malah menghormati hak Anwar untuk mengambil tindakan terhadap saya, sebagaimana saya juga berhak mengambil tindakan yang saya fikirkan perlu dan wajar.

“Nampaknya saya memegang rekod akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin serentak dengan dua dakwaan yang berbeza.....Belum pun terima pertuduhan kes kalimah Allah, dah nak kena pulak pasal isu DAP,” katanya.

Namun, yang menghairankannya, sehingga kini tiada sebarang tindakan disiplin diambil terhadap kepimpinan DAP walaupun jelas sikap mereka membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Demi masa depan PR, dan menjaga kepentingan dan kebajikan rak- yat, PR perlu mengkaji semula kedudukan DAP kerana dikhuatiri PR akan ditolak rakyat pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, parti itu sedia menyiasat sekiranya berlaku kes salah laku melibatkan ahli parti itu.

“Sekiranya ada bukti salah laku anggota parti, kemukakan kepada pimpinan parti untuk disiasat.

“Hal dalam rumahtangga buat apa nak hebohkan kepada orang luar. Kita ikhtiar supaya siasatan tidak didedahkan kepada awam” katanya kepada :Sinar Harian: semalam.

Beliau berkata, sekiranya hanya dakwaan dikemukakan, ia tidak cukup untuk merujuk kes kepada lembaga disiplin parti. - Sinar Harian

Tindakan Zahrain akan diikuti ahli lain: Zahid

MELAKA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diikuti oleh ahli pembangkang lain.

"Saya harap lebih ramai lagi Ahli Parlimen PKR atau DAP mengikuti jejak langkah Zahrain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Tiga Divisyen di Kem Terendak di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan Zahrain itu sebagai satu tindakan kembali ke pangkal jalan kerana peranan Pakatan Rakyat yang berkuasa di Pulau Pinang serta negeri lain sebagai hanya pandai beretorik politik.

Zahrain berkata, keputusannya keluar dari PKR hari ini kerana kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, serta kesal dengan perjuangan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Ahmad Zahid berharap menjelang Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 15 Mac depan akan lebih ramai ahli pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN).

"Kita di Barisan Nasional fokus untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat berbanding harga tinggi yang perlu dibayar oleh pengundi yang memilih kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Katanya, berdasarkan kenyataan media oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP, beliau menjangkakan empat lagi pemimpin pembangkang yang akan keluar parti menyertai langkah Zahrain.

Di PUTRAJAYA, seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bukan Zahrain sahaja yang telah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa isu dalam pakatan pembangkang tetapi ramai lagi telah menyatakan perkara yang sama.

"Saya percaya bahawa ada lagi yang akan keluar parti dan saya juga yakin bahawa mereka akan tuduh ini kerja Umno dan Barisan Nasional tetapi orang ramai boleh menilai sendiri.

"Sebelum ini kita lihat tuduhan yang diluahkan oleh mereka yang tidak berpuas hati, bukan perkara yang boleh kita tunjuk ajar. Ia diluahkan oleh mereka yang benar-benar telah kecewa," katanya.

Hishammuddin juga berkata, taktik dan strategi untuk menuduh Umno dan BN punca segala-gala yang tidak kena dengan parti mereka sebagai tidak ada asas. - Berita Harian

Anwar kecewa Zahrain keluar parti

PUTRAJAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau kecewa dengan keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, untuk keluar daripada parti itu.

Katanya, tidak pernah dibangkitkan dalam parti atau dengan beliau isu pertelingkahan peribadi Zahrain dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Untuk menghukum Ketua Menteri dengan kata-kata kesat, kita tidak boleh terima. Jadi beliau ditegur atas alasan itu," katanya kepada pemberita selepas prosiding Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan beliau untuk membatalkan kes liwat membabitkan beliau di sini hari ini.

Zahrain, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, mengumumkan keputusannya hari ini dengan alasan beliau kecewa dengan kepimpinan Lim serta kesal dengan perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang. - Berita Harian

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharin umum keluar PKR

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharin Mohamed Hashim sebentar tadi mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil Bebas berkuatkuasa hari ini.

Dalam sidang sidang akhbarnya di sini, beliau berkata keputusan itu dibuat kerana kesal dengan kepemimpinan Penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Utusan

Dr Mahathir dedah rahsia berjaya majukan negara

Semai sifat cintakan negara lebih daripada diri sendiri

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan, rahsia kecintaan yang tinggi kepada rakyat dan negara melebihi kepentingan diri sendiri, menjadi pencetus kejayaan beliau memajukan Malaysia selama 22 tahun memegang tampuk pemerintahan.

"Saya berpendapat tiada yang lebih berkesan, penting dan berpengaruh daripada mempunyai cinta kepada bangsa dan juga negara. Jika perasaan itu melebihi cinta kepada diri sendiri, kepentingan diri, keangkuhan dan sebagainya, maka negara yang dipimpin oleh orang yang cinta kepada tanah airnya, tetap akan mencapai kemajuan.

"Kita tidak harus fikir mengenai status dan apa yang kita dapat daripada jawatan tinggi ini. Sebaliknya, kita harus ingat bahawa kuasa ini boleh digunakan untuk kebaikan seluruh negara serta memikirkan cara memajukan negara," katanya pada Ceramah Kepemimpinan: Pengekalan Paradigma Pemikiran Ke Arah Pembangunan Persepsi Nasional anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Indonesia Se-Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dari Indonesia mengenai tips atau rahsia kejayaannya sebagai Perdana Menteri membangunkan Ma-laysia menjadi sebuah negara maju.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, adalah amat penting untuk menanam nilai murni, terutama kecintaan terhadap negara, dalam sanubari generasi pelapis.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua sistem pemerintahan di dunia ada kecacatan tersendiri, sama ada demokrasi mahupun autokrasi, justeru pengamal berperanan penting menjadikan sistem itu bermanfaat kepada rakyat dan negara.

Sebagai contoh katanya, rakyat yang menggunakan hak demokrasi untuk silih mengganti pemerintah dalam tempoh singkat seperti dua tahun, akan menyebabkan kerajaan tidak dapat melaksanakan suatu perancangan berfaedah kepada negara kerana setiap usaha memerlukan masa.

Demikian juga tegasnya, pihak yang mengamalkan hak mengadakan demonstrasi jalanan besar-besaran atas nama demokrasi, juga harus memikirkan hak pihak lain dalam demokrasi untuk mencari rezeki yang terjejas akibat tindakan mereka itu.

"Justeru, batasan mesti ditentukan dari semasa ke semasa dan kita tidak boleh menerima liberal demokrasi dengan sekali gus.
"Demokrasi barat mengutamakan kebebasan individu tetapi definisi demokrasi kita mengutamakan kebebasan dan kepentingan masyarakat sepenuhnya," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, negara memerlukan pemerintah yang kuat dengan mendapat sokongan dua pertiga ahli dalam Dewan Rakyat untuk mencapai kestabilan dan kemajuan kerana apabila pembangkang hampir sama kuat dengan kerajaan, tiada yang boleh dilakukan kerana segala-gala akan menjadi bahan politik. - Berita Harian

Thursday, February 11, 2010

Tun Dr.mahathir Gesa Umat Islam Bertanggungjawab Bersihkan Imej Islam

 
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad hari ini menggesa umat Islam di negara ini agar bertanggungjawab membersihkan imej Islam, jika tidak orang Islam akan terus mendapat nama yang buruk.

"Kita biasa dituduh sebagai agama pengganas, agama terroris bahkan ada yang menuduh Nabi Muhammad s.a.w sendiri adalah pemimpin terroris. Kita mendapat imej yang amat buruk sekarang ini.

"Dan kita tahu sebab-sebabnya...sebab-sebab ramai dari orang Islam bertindak sedemikian sehingga mereka dituduh sebagai pengganas," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Perkim 2010/1431 ke-50 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, Rabu malam .

"Tetapi untuk memberi gambaran (elok) amatlah perlu umat Islam sendiri mencerminkan budaya yang dianjurkan oleh Islam.

"Kadang-kadang kita dapati orang Islam sendiri bergerak melakukan tindakan-tindakan dan juga bercakap dengan cara yang memburukkan agama Islam," ujar beliau.

Dr Mahathir berkata oleh sebab itu masyarakat Islam harus membetulkan diri sendiri.

Sekiranya penganut agama Islam tidak mengamalkan ajaran Islam sebagaimana dikehendaki seperti bersopan, bertimbang rasa dan tidak melakukan perkara yang keji, maka secara tidak langsung orang Islam akan mendapat kesannya.

Malah, katanya, pada masa ini masih banyak kecaman dan tohmahan yang dilemparkan terhadap orang Islam terutama Melayu Islam.

Tun Dr Mahathir berkata umat Islam harus meneliti semula ajaran-ajaran Islam dalam Al-Quran, hadis-hadis sahih agar apa yang diamalkan akan dilihat sebagai dinamis dan suci. -- BERNAMA

Anak Raja Petra telan pisau cukur

KUALA LUMPUR: Raja Azman Raja Petra, anak lelaki editor Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin yang baru-baru ini dipenjarakan kerana mencuri, dimasukkan ke hospital selepas dia dipercayai menelan sebilah pisau cukur.


Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata Raja Azman, 34, dijumpai dalam keadaan lemah dalam penjara oleh petugas penjara Sungai Buloh ketika melakukan tugas rondaan pada petang kelmarin.

Beliau berkata, Raja Azman yang mempunyai kesan kelar di pergelangan tangan, segera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan stabil.

Bapa mangsa yang menulis dalam laman blognya Malaysia Today, mendakwa Raja Azman mengambil tindakan drastik itu kerana dia tidak lagi dapat menahan seksaan fizikal dan mental yang dikenakan terhadapnya oleh pihak berkuasa penjara.

Rahim bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Raja Petra itu.

"Siasatan masih di peringkat awal. Berilah kami masa," katanya ketika dihubungi.

Raja Azman, anak kedua Raja Petra, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tahun lalu terhadap empat tuduhan mencuri dan memiliki harta curi.

Dia dituduh mencuri sebuah telefon bimbit Nokia, sebuah jam tangan Seiko dan sejambak kunci motosikal, semuanya bernilai kira-kira RM3,850 kepunyaan seorang pelajar, Saipul Adli Mohamad Yunus, 21, di No 16, Jalan Sastera, U2/1K, Seksyen U2, Shah Alam, kira-kira jam 10 pagi pada 24 April lalu.

Dia juga dituduh mencuri sebuah motosikal Yamaha 135 LC bernilai kira-kira RM6,000 daripada seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaludin, 23, di tempat dan masa sama. - Harian Metro

Bekas pembantu khas Anwar serah gambar warga Pakistan


MELAKA: Bekas Pembantu Khas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, menyerahkan gambar individu yang disyaki dapat membantu menjejak pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah pagi tadi.

Gambar individu warga Pakistan itu diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, kira-kira jam 10 pagi.

Anuar, 41, yang kini menetap di Cheng, dekat sini, tampil di IPD Melaka Tengah itu bersama Ahli Jawankuasa Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia cawangan Melaka, Yusof Hasan.

Bagaimanapun beliau tidak membuat sebarang laporan polis dan pada masa sama enggan menunjukkan gambar individu terbabit kepada wakil media yang berkumpul di perkarangan IPD Melaka Tengah untuk merakamkannya.

"Saya tampil ke IPD Melaka Tengah hari ini untuk menyerahkan gambar Aasil kepada Ketua Polis Daerah Melaka Tengah selepas dinasihatkan berbuat demikian oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Saya berbuat demikian kerana ingin membantu pasukan polis menjejaki Raja Petra," katanya selepas menyerahkan gambar itu. - Berita Harian

"Zulkifli Noordin Bebas Keluarkan Apa Juga Kenyataan Tapi..."

PETALING JAYA: Dalam nada yang tidak pasti sama ada menyindir atau memberi lesen besar untuk berbuat apa sahaja, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin bebas mengeluarkan apa juga kenyataan kepada media.

"PKR tidak akan bertindak ke atas Ahli Yang Berhormat dari Kulim-Bandar Baru Sdr Zulkifli Noordin sehinggalah kesnya dibawa ke hadapan Jawatankuasa Disiplin parti minggu depan," kata Saifuddin.

Sehingga itu, katanya, Zulkifli bebas mengeluarkan apa juga kenyataan atas apa juga isu kepada media, sama ada berkaitan dengan Pakatan Rakyat, isu kalimah Allah atau apa-apa pun.

“Bagaimanapun, semuanya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin PKR minggu depan," ujarnya sebagai respon kepada kenyataan Zulkifli dalam rancangan Soal Jawab TV3 Isnin baru-baru ini dengan menyebut Pakatan sebenarnya tidak memerlukan DAP sebagai rakan kongsi sambil menyifatkan parti itu sebagai duri dalam daging.

Dalam program berkenaan, Zulkifli juga menyalahkan DAP di atas segala macam masalah yang sedang dihadapi oleh Pakatan di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah.

Malah beliau turut berkata yang DAP hanyalah sebuah parti bapa dan anak sebagai merujuk kepada Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng yang mendominasi halatuju parti itu.

Beliau juga meramalkan bahawa akan berlaku perletakan jawatan besar-besaran dalam PKR dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi kerana ahli-ahli semakin hilang kepercayaan ke atas kepimpinan parti kerana tidak mengendahkan aduan ahli mengenai tindak tanduk DAP.

Lebih memburukkan keadaan ialah apabila Zulkifli mencadangkan agar PKR bersatu bersama PAS dan Umno dalam membentuk entiti politik yang lebih stabil.

Zulkifli telahpun dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin parti ekoran laporan polis yang beliau buat ke atas ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dari PAS kerana menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. - mStar online

Sayang DAP lebih dari Zukifli : Tindakan tegas ke atas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu - Anwar


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bakal menerima padah ekoran kenyataannya yang mendakwa pakatan pembangkang tidak memerlukan DAP.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas Zulkifli termasuk kemungkinan untuk sekali lagi mengheretnya ke Lembaga Disiplin PKR.

"Itu pandangan peribadi dia yang bertentangan dengan pendirian pimpinan dan dasar pakatan pembangkang serta PKR," katanya selepas menghadiri prosiding berkaitan kes perbicaraan kes liwatnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mengulas dakwaan itu dan tindakan yang boleh diambil ke atas Zulkifli, Anwar berkata: "Ia dalam proses mesyuarat jawatankuasa disiplin dan kita akan tegas.

"Kita tidak mahu lagi orang cari alasan apa-apa. Kita kena ikut dasar dipersetujui dan kalau tidak setuju, kita tiada pilihan."

Anwar menambah, dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam baru-baru ini, ketiga-tiga parti gabungan itu telah memutuskan untuk saling menerima di antara satu sama lain.

"Kita juga terima beberapa prinsip asas Perlembagaan seperti bahasa, hak keistimewaan Melayu, agama Islam dan kedudukan raja-raja tetapi semuanya telah dipermainkan oleh media UMNO untuk memecahbelahkan Melayu dan Cina.

"Kini, ia masih diteruskan. Media UMNO masih memperbesarkannya seolah-olah DAP menentang hak keistimewaan Melayu yang sepatutnya tidak berbangkit kerana pimpinan DAP, PKR dan Pas telah menandatangani permuafakatan bersama," ujarnya.

Ditanya pandangannya berhubung keinginan Pas untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO, Ketua Pembangkang itu menganggap ia bukan satu masalah kepada pakatan berkenaan.

"Tidak ada masalah, kita tidak pernah larang perbincangan dengan sesiapa pun dan pimpinan Pas turut memaklumkan kepada kita mengenai perkembangan semasa.

"Kita yakin kalau soal prinsip, Pas masih bersama pakatan pembangkang menentang kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan (perkara) itu tidak akan berganjak sedikit pun," tegasnya. - Utusan

"Guan Eng Pecat Saya Sebagai Pengerusi GLC Negeri" - Zahrain

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mendakwa beliau telah dipecat oleh Lim Guan Eng sebagai pengerusi sebuah GLC milik kerajaan negeri kerana telah melakukan kritikan terbuka ke atas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu adalah pengerusi Island Golf Properties Bhd iaitu anak syarikat milik sebuah perbadanan kerajaan negeri.

Zahrain sebelum ini telah mencetuskan kontroversi apabila menuduh Lim Guan Eng memerintah negeri itu bagaikan seorang diktator, berfikiran seperti seorang komunis dan mengenepikan pandangan ahli parti serta pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain.


Dan semalam, beliau mendakwa, kerana kritikan yang dilemparkannya itu, 12 hari kemudian Guan Eng telah memecatnya sebagai pengerusi GLC negeri.

"Cara bagaimana saya dipecat mengesahkan dakwaan saya bahawa beliau adalah seorang diktator," kata Zahrain.

Beliau menambah, Guan Eng adalah seorang yang tidak boleh menerima kritikan dan cara dia mengendalikan syarikat milik kerajaan negeri adalah bagaikan syarikat itu milik bapa dia dan memecat orang mengikut selera dan kehendak dia.

Zahrain juga berkata, tiada notis atau surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya sebelum pemecatan itu dilakukan.

Berita mengenai pemecatannya itu kata Zahrain telah dimaklumkan kepadanya oleh seseorang selepas Guan Eng menghadiri mesyuarat lembaga PDC.

PDC adalah pemilik Island Golf Properties Bhd.

"Jika Guan Eng mengamalkan prinsip ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti yang dia sendiri laung-laungkan, dia sepatutnya mengeluarkan surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebelum menjustifikasikan tindakannya itu," katanya. - mStar online

Wednesday, February 10, 2010

Tolak kerajaan pakatan pembangkang - Kimma

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) menggesa warga Pulau Pinang menolak kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu yang gagal memenuhi kehendak rakyat.

Presidennya, Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, tindak-tanduk kerajaan negeri akhir-akhir ini juga dilihat menindas orang Melayu di negeri itu.

Menurutnya, kepincangan pemerintahan yang berusia hampir dua tahun itu semakin nyata apabila pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri tidak sehaluan.

"Kimma memuji langkah bekas Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang berani menyuarakan pandangan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Cara kepimpinan beliau mendedahkan yang pembangkang hanya pandai berpolitik sebaliknya gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kemelut antara PKR dengan DAP Pulau Pinang yang saling bertelagah selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng "menyerang" Guan Eng secara terbuka.

Zahrain menuduh Guan Eng sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya kerana Setiausaha Agung DAP itu didakwa bertanggungjawab merobohkan gerai-gerai orang Melayu, sebaliknya penjaja kaum lain dibenarkan berniaga walaupun tiada lesen dan mengganggu lalu lintas.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, perkembangan itu membuktikan yang Guan Eng tidak layak memimpin Pulau Pinang apabila gagal mengotakan janji dalam manifesto pilihan raya mereka.

"Kimma juga menerima rungutan dan aduan terhadap kerajaan negeri daripada golongan peniaga India Muslim tentang masalah mereka terutamanya mengenai isu tapak perniagaan," katanya.

Menurut beliau, sesebuah kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab terhadap setiap golongan masyarakat tanpa melihat ideologi dan fahaman politik. - Utusan

Untuk terus mendekati rakyat : UMNO Kedah tubuh unit aduan

ALOR SETAR 9 Feb. - Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menubuhkan Unit Pengaduan Awam dan Khidmat Pelanggan bagi menyelaras pelbagai aduan yang diterima daripada orang ramai di negeri ini.

Setiausahanya, Datuk Ir. Nawawi Ahmad memberitahu, unit tersebut telah beroperasi sejak 1 Februari lalu bertempat di tingkat enam, Bangunan Tunku di sini.

"Seorang pegawai, Muhamad Subkhi Othman telah dilantik untuk mengendalikan unit ini," kata beliau.
Menurut Ir. Nawawi, antara fungsi unit tersebut ialah mengendalikan aduan orang ramai mengenai pelbagai masalah yang dihadapi sebelum ia disalurkan kepada agensi berkaitan.

Kata beliau, selain itu pihaknya juga bersedia membantu dari segi mengeluarkan surat sokongan.

"Selama ini kita (UMNO Kedah) sering menerima aduan orang ramai yang menghadapi masalah tetapi sukar untuk dilaksanakan tetapi kali ini kita ada unit yang khusus untuk membantu, sudah pasti ia menjadi lebih mudah," kata beliau. - Utusan

Tuesday, February 9, 2010

Kerjasama Pas-UMNO dimuktamad Ahad ini

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Persoalan sama ada cadangan pimpinan tertinggi Pas supaya diadakan perbincangan dan kerjasama dengan UMNO diterima sebagai dasar parti atau sebaliknya akan dimuktamadkan pada 14 Februari ini.

Pada tarikh tersebut satu mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat akan diadakan di ibu pejabat parti itu di sini bagi membincangkan pelbagai isu termasuk cadangan 'berbaik-baik' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disokong pula oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pada mesyuarat itu, satu keputusan sebulat suara berdasarkan kepada konsep musyawarah akan diputuskan.

"Saya tidak mahu komen apa-apa mengenai cadangan sebelum ini kerana saya hanya dengar dan tahu melalui akhbar sahaja tiada sebarang kenyataan rasmi parti lagi.

"Dalam mesyuarat ini sesiapa sahaja yang bawa cadangan boleh dibincangkan sebelum diputuskan secara sebulat suara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menegaskan bahawa parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan UMNO dalam setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan hal politik dan agama.

Abdul Hadi berkata, polisi kerjasama antara Pas dan UMNO sama ada membabitkan perkara yang boleh dibincang atau sebaliknya bukanlah pertama kali dilakukan kedua-dua parti berkenaan dan ia merupakan polisi berpanjangan dari dulu hingga hari ini.

Sebelum itu, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya Pas dan UMNO duduk semeja berbincang serta menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.

Kata Menteri Besar Kelantan itu, Pas adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam UMNO sendiri dan adalah tidak wajar perseteruan yang ada terus menerus berlaku. - Utusan

Dr Mahathir Senang Kepimpinan Najib

KULIM, 9 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau gembira dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abduk Razak kerana mempraktikkan ciri-ciri pentadbiran yang memenuhi kehendak serta kepentingan rakyat dan negara.

"Saya telah beberapa kali menemui Najib sejak beliau mengambil alih kepimpinan negara dan merasa senang dengan cara beliau mentadbir sehingga kini," katanya ketika berucap pada program Mesra Rakyat anjuran bersama Umno Bahagian Padang Serai dan Yayasan Pembangunan Insan Pulau Pinang di sini Isnin malam.

Beliau berharap Najib akan meneruskan tradisi bekerja dan berjasa kepada rakyat.

Dr Mahathir juga berkata beliau yakin krisis dalaman melibatkan beberapa parti komponen Barisan Nasional akan selesai sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya pemimpin-pemimpin parti berkenaan sedar bahawa penyelesaian segera pergeseran dalaman akan menjamin masa depan BN kembali cerah untuk menang pilihan raya akan datang dengan majoriti lebih baik.

Dr Mahathir berkata pemimpin-pemimpin yang bertelagah sedar bahawa mereka tidak ada pilihan kecuali untuk berbaik-baik semula.

Katanya rakyat Malaysia harus bersyukur kerana pembangunan dalam pelbagai bidang sejak negara Merdeka hampir 53 tahun lepas banyak mengatasi negara-negara lain di dunia yang merdeka dalam tempoh sama. -- BERNAMA

DAP 'duri dalam daging'

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin secara terbuka mengkritik kepemimpinan DAP terutama di Pulau Pinang di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dan mendakwa DAP tidak diperlukan dalam perjuangan pembangkang.

Sambil menyifatkan DAP sebagai 'duri dalam daging' yang sering menimbulkan banyak masalah dalam pembangkang, Zulkifli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kepemimpinan tertinggi pembangkang perlu tegas dalam isu itu.

"Saya melihat apa yang berlaku di Pulau Pinang ketika ini ialah DAP sudah mula menunjukkan taringnya. Kalau hari ini, kita melihat banyak masalah dalam Pakatan Rakyat, ia adalah disebabkan oleh DAP.

"Sebagai contoh, kejatuhan Perak yang dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum lalu, adalah juga disebabkan DAP. Sekarang kita dapat melihat ada wakil rakyat DAP di Selangor secara langsung campur tangan dalam isu pihak berkuasa tempatan selain mencabar Exco Pas untuk meletak jawatannya.

"Kita tengok DAP di Pulau Pinang tidak melakukan apa-apa selain membuat aduan dan asyik menyalahkan kepemimpinan kerajaan yang dulu...itu saja kerja dia (DAP)," katanya dalam rancangan Soal Jawab di stesen televisyen TV3, malam tadi, yang dihoskan Datuk Ahmad A Talib.

Zulkifli turut mendakwa, wujud segelintir pemimpin dalam DAP yang mempunyai agenda sempit atau cauvinis. 

"Kalau kita tengok DAP ini, ia adalah parti anak bapa saja yang menguasainya... sebab itu Guan Eng ditolak dari Melaka. Ini hakikat yang tidak boleh kita nafikan," katanya.

Zulkifli berkata, beliau juga menjangkakan krisis kepemimpinan di Pulau Pinang dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi akan menjadi kritikal kerana akar umbi khusus daripada PKR sudah mula bersuara secara terbuka menentang kepemimpinan DAP di Pulau Pinang.

"Saya rasa akan ada senario yang kita tidak jangka berlaku di Pulau Pinang dalam tempoh dua atau tiga minggu ini. Saya tidak terkejut jika mereka keluar beramai-ramai. Mereka mungkin bertindak sendirian atau tubuhkan parti sendiri," katanya. - Berita Harian

100 ahli PKR Lembah Klang masuk Umno


MUHYIDDIN menerima borang menjadi ahli Umno daripada Norasidi 
di Kuala Lumpur, malam tadi. Turut memerhati, Timbalan Pengerusi 
Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kanan).


KUALA LUMPUR: Pergolakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus meruncing apabila 100 ahli dari beberapa bahagian di Lembah Klang, keluar parti kerana tidak percaya terhadap pemimpin parti itu yang lebih mengutamakan agenda peribadi berbanding rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, menerima borang kemasukan ahli PKR itu ke dalam Umno, diketuai Bendahari PKR Wilayah Persekutuan, Norasidi Salim, di sini, malam tadi.

Norasidi berkata, keputusan untuk keluar parti itu dibuat secara rela hati tanpa desakan daripada mana-mana pihak dan ia dibuat selepas memperhalusi perjuangan parti itu.

"Kami dapati perjuangan PKR tidak membela rakyat yang jelas, malahan setiap tindak tanduk kepemimpinan parti diselubungi oleh agenda persendirian.

"Selepas pilihan raya 2008, rakyat mempunyai harapan besar terhadap PKR. Bagaimanapun pemimpin PKR gagal memperjuangkan nasib rakyat sebaliknya bertelingkah sesama sendiri," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Beliau mendakwa kepincangan PKR dapat dilihat dalam kerajaan Selangor apabila berselindung di sebalik slogan 'merakyatkan ekonomi' dengan menaikkan sewa rumah murah daripada RM124 kepada RM250 sebulan.

"Kebelakangan ini juga, kita dengar saranan daripada kepemimpinan PKR seperti Menteri Besar Selangor dan Ketua Penerangannya supaya ahli PKR yang tidak sehaluan dengan kepemimpinan parti, keluar parti.

"Jalan demokrasi di dalam PKR sudah tidak wujud lagi, hanya diktator yang menjadi amalan," katanya. - Berita Harian

Monday, February 8, 2010

Bela Melayu: Zahid cabar Guan Eng

BUKIT MERTAJAM 7 Feb. - Kritikan terbuka yang dilemparkan oleh beberapa pemimpin pembangkang terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng sejak kebelakangan ini menunjukkan berlaku keretakan serius dalam pakatan itu dan hanya menanti masa untuk berpecah.

Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berlaku disebabkan tiada persefahaman sesama mereka berikutan ideologi yang berbeza.

"Disebabkan perkahwinan politik yang tidak berdasarkan kepada persefahaman, inilah yang berlaku.

"Saya fikir keretakan yang berlaku dalam pakatan pembangkang seumpama retak menanti belah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan program Hari Mesra Bersama Menteri Pertahanan.

Program sehari anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pulau Pinang itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan dengan beberapa aktiviti kemasyarakatan dan pameran oleh pihak-pihak terlibat.

Beliau mengulas mengenai kerajaan negeri pimpinan DAP yang dikritik hebat sejak kebelakangan ini dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohamed Hashim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) melabelkan Guan Eng sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng juga dari PKR mendakwa pentadbiran kerajaan negeri meminggirkan ahli-ahli Parlimen PKR serta tidak boleh dikritik.

Ahmad Zahid turut mencabar Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP membuktikan bahawa parti itu mampu membawa perubahan kepada nasib orang Melayu di Pulau Pinang.

"Dia (Guan Eng) kata bahawa orang Melayu boleh berjaya tanpa UMNO tapi bolehkah DAP membantu nasib orang Melayu?

"Tapi mereka merobohkan gerai-gerai penjaja Melayu tanpa sebarang tolak-ansur," tegasnya yang juga Menteri Pertahanan.

Menurutnya, UMNO bukan sekadar membela nasib orang Melayu tetapi juga kaum-kaum lain kerana ia berada di bawah komponen Barisan Nasional (BN). - Utusan

Guan Eng masih huni banglo mewah?

PULAU PINANG 7 Feb. - Walaupun hampir lapan bulan berlalu, namun tidak nampak sebarang tanda-tanda Ketua Menteri Lim Guan Eng akan berpindah dari banglo mewah di Jalan Pinhorn ke kediaman rasminya di Seri Teratai di sini.

Anehnya, tiada juga sebarang proses pengubahsuaian dilakukan di Seri Teratai yang didakwa Setiausaha Agung DAP itu mempunyai banyak semut api, anai-anai dan musang yang digunakannya sebagai alasan untuk berpindah.

Justeru, Pemuda Gerakan yakin Guan Eng sudah serasi dan tidak berkeinginan untuk berpindah dari kediaman mewah di No 25, Jalan Pinhorn itu.

Naib Ketua Pemudanya, H'ng Khoon Leng berkata, perkara itu dicerminkan daripada tindakan Guan Eng yang masih terus tinggal di banglo sewaannya itu meskipun masa yang diperuntukkan untuk melakukan operasi pembaikan atau pengubahsuaian telah tamat.

''Dulu dia (Guan Eng) kata akan pindah apabila kerja-kerja pengubahsuaian tamat. Tapi sehingga sekarang sudah lebih setengah tahun berlalu, namun dia masih terus tinggal di banglo mewah itu. Seri Teratai pun tidak ada sebarang kerja ubah suai dilakukan.

''Saya rasa dia sudah serasi dan selesa dengan kediamannya itu. Lagipun, kediaman itu telah diubah suai daripada banglo biasa menjadi banglo mewah. Jadi tidak kiralah berapa kadar sewa perlu dibayar, asalkan dia dapat terus tinggal di sana ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tahun lalu, Guan Eng berpindah dari Seri Teratai ke banglo mewah berkenaan atas alasan Seri Teratai mempunyai banyak semut api, anai- anai dan musang.

Kos pengubahsuaian banglo tersebut yang pada asalnya hanya sebuah banglo biasa ke sebuah banglo mewah dikatakan melebih RM1.5 juta.

Menurut Khoon Leng, pihaknya telah melaporkan kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu dan berharap siasatan mengenainya dipercepatkan.

''Sehingga kini, saya masih tidak mendapat maklumat mengenai siasatan itu walaupun ia telah dilaporkan agak lama," katanya. - Utusan

Rakyat semakin 'takut' kepada Guan Eng

PULAU PINANG 7 Feb. - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim digesa mendedahkan kepada umum kenapa beliau menggambarkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai seorang yang berfikiran bahaya.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini percaya sebahagian rakyat kini berada dalam 'ketakutan' berikutan kenyataan tersebut.

Pengerusi Penerangan Kelab Sahabat Niaga (Kesan) Pulau Pinang, Syed Idrus Syed Abdul Rahman Al-Habshi berkata, dakwaan tersebut membuatkan rakyat tertanya-tanya kenapa Zahrain menggambarkan Guan Eng sedemikian.

Menurutnya, sebagai rakyat, mereka berhak mengetahui siapa sebenarnya pemimpin tersebut.
''Sekarang kalau kita ke mana-mana termasuk di kedai kopi, pasti akan kedengaran orang ramai bercerita mengenai perkara ini. Mereka takut dan bimbang terhadap orang yang sedang mentadbir negeri ini.

''Apabila Zahrain kata Guan Eng berfikiran bahaya, kita tertanya-tanya beliau berbahaya kepada siapa, berfikiran bahaya bagaimana, itu perlu dijelaskan," katanya yang ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Kesan juga kesal dengan kepimpinan pakatan pembangkang, iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang dilihat tidak berlaku adil kepada semua kaum, bukan seperti dijanjikan sebelum ini.

Tambahnya, selepas beberapa isu yang berlaku, rakyat khususnya orang Melayu sudah mula hilang kepercayaan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

''Kerajaan negeri pakatan pembangkang langsung tidak berlaku adil, malah mereka ini lebih teruk daripada Barisan Nasional (BN).

"Sudahlah kini berbalah sesama sendiri, nasib rakyat Pulau Pinang pula entah macam mana," ujarnya.

Justeru, beliau bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat kini boleh menilai tembelang pakatan pembangkang termasuk sikap Guan Eng yang suka menyalahkan orang lain berhubung krisis di negeri itu.

Syed Idrus berkata, sikap Guan Eng yang terus berdiam diri sehingga hari ini juga secara tidak langsung mengiyakan segala tohmahan yang telah dilemparkan kepada beliau sebelum ini. - Utusan

Sunday, February 7, 2010

Rakyat kecewa dengan pentadbiran Guan Eng: Pak Lah

KEPALA BATAS: Kebangkitan rakyat Pulau Pinang menyatakan bantahan terhadap kepimpinan Lim Guan Eng, adalah bukti jelas mereka tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran, pendirian dan sikap Ketua Menteri itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata perkara itu semakin nyata kerana mereka yang mengkritik adalah pemimpin parti dalam pakatan pembangkang sendiri iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini adalah satu tanda kelemahan yang wujud semenjak Guan Eng mengambil alih kepimpinan sebagai Ketua Menteri dan situasi ini akan berlarutan serta membawa kelemahan kepada kerajaan negeri.

"Guan Eng patut tahu di antara peranan mengkritik dengan peranan mentadbir negeri yang amat jauh bezanya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan angpau dan barangan sempena Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Hadir sama, ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Kepala Batas iaitu Datuk Azhar Ibrahim (Penaga), Datuk Roslan Saidin (Pinang Tunggal) dan Zabariah Wahab (Bertam) serta pemimpin masyarakat Cina.

Kerajaan negeri pimpinan DAP dikritik hebat sejak kebelakangan ini dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zaharin Mohamed Hashim dari PKR, melabelkan Guan Eng sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis. 

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, juga dari PKR turut mengkritik Ketua Menteri dengan mendakwa pentadbiran kerajaan negeri meminggirkan Ahli Parlimen PKR serta tidak boleh dikritik.

Jumaat lalu, kira-kira 3,000 ahli kira-kira 50 pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bantahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa meminggirkan orang Melayu.

Ditanya ada dakwaan kononnya Umno menjadi dalang terhadap kebangkitan itu, Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, berkata Umno tidak berbuat demikian.

"Tidak perlu nak ada dalang kerana ahli parti mereka sendiri yang sudah nampak jelas (kelemahan) dan membuat teguran serta pandangan yang berani. Itulah petanda ada kebenaran apa yang dicakapkan (kelemahan)," katanya.
Mengenai tindakan Zaharin yang melabelkan Guan Eng sebagai diktator, Abdullah berkata:

"Apa yang kita lihat ialah parti mereka sendiri (pakatan pembangkang yang membuat tuduhan), bukannya Umno yang buat kacau. Ahli parti mereka sendiri yang lahirkan rasa tidak puas hati.

"Ini (kelemahan yang berlaku) adalah satu perkara yang benar, kalau tidak, mana mungkin ahli parti sendiri yang timbulkannya. Ada kebenaran mengenai kelemahan kepimpinan kerajaan pembangkang Pulau Pinang," katanya. - Berita Harian

Saturday, February 6, 2010

Sudah Ada Petanda BN Akan Tawan Semula Kedah - Shafie

PENDANG, 6 Feb (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin Umno terutama di peringkat bahagian, digesa supaya terus mendampingi rakyat kerana sudah ada petanda yang menunjukkan Kedah akan kembali ditawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata amat penting untuk menjuarai rakyat dengan cara turun hingga ke peringkat akar umbi untuk mendengar suara, sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

"Semangat perubahan sudah ada di Kedah dan pemimpin pastikan turun ke bawah untuk pastikan BN dapat rampas kembali (pentadbiran) negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Juara Rakyat Parlimen Pendang, di Kompleks Paya Mat Insun, dekat sini.

Beliau berkata tanda perubahan dapat dilihat dengan jelas kerana setiap program yang dianjurkan BN khususnya Umno seperti Program Juara Rakyat, mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan rakyat.

Program Juara Rakyat dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Rawang, Selangor, 9 Jan lepas sebagai tanda Umno menerima isyarat daripada rakyat supaya kembali mendampingi rakyat selepas ditolak pada pilihan raya umum ke-12.

Mohd Shafie berkata sejak pakatan pembangkang memerintah negeri ini, tidak ada kemajuan yang dibawa, sebaliknya pelbagai masalah timbul seperti gangguan bekalan air dan masalah peluang pekerjaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata dalam usaha membangunkan negara, rakyat perlu bekerjasama dengan BN kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan setiap golongan terutama penduduk di luar bandar.

"Sistem pentadbiran juga sudah jauh berubah dan lebih mengutamakan rakyat... bersatulah di bawah naungan Malaysia, perlu ada semangat kekitaan untuk memainkan peranan bangunkan negara," katanya. -- BERNAMA

Muhyiddin Yakin Kota Siputeh Tidak Akan Terpinggir

KODIANG, 6 Feb (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau yakin Kota Siputeh tidak akan terpinggir daripada arus pembangunan kerana penduduknya masih mengutamakan perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri bangga dengan semangat perpaduan yang kental di kalangan penduduk terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh itu dalam pelbagai kegiatan.

Berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat Kedah di Kota Siputeh dekat sini pada Sabtu, beliau berkata, pembangunan akan tetap mengalir di kawasan masyarakat yang mengutamakan perpaduan.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengatur program yang bertujuan mengesan masalah masyarakat dengan pemimpin di peringkat nasional turut turun ke padang.

Antaranya melalui program Juara Rakyat yang menyaksikan lebih 20,000 penduduk Kota Siputeh turut menyertainya dalam pelbagai kegiatan, tambah beliau.

Kota Siputeh kini menjadi perhatian sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap status Ketua Umno bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sarip sama ada akan kekal sebagai wakil rakyat kawasan DUN itu atau pilihan raya kecil diadakan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, kerajaan juga sentiasa memikirkan masalah yang dihadapi masyarakat luar bandar dan bandar. -- BERNAMA

Angkuh, Cauvinis dan Perkauman Punca Masalah Pakatan Rakyat - Zulkifli Noordin

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin secara peribadi berpendapat punca masalah Pakatan Rakyat adalah sifat angkuh, cauvinis serta perkauman pucuk pimpinan DAP.

 Menurutnya, punca tersebut turut membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

"Itu adalah aduan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Yang Berhormat (YB) Hee (Yit Foong), YB Jamaludin (Mohd Radzi) dan YB (Mohd) Osman (Jailu). Apabila mereka mengadu menggunakan saluran parti, tiada apa-apa yang berlaku.

"Hakikatnya, seperti biasa, mereka dicap sebagai ejen Barisan Nasional. Sepatutnya mereka menyelesaikan masalah bukannya tidak mengendahkan aduan tersebut," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, ini terbukti dengan cara Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dan kumpulannya menyelesaikan masalah di negeri itu.

Katanya, Lim melabelkan ahli-ahli PR yang mengkritik mereka sebagai ejen BN, pelampau, pengganas malah menyatakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) "penuh dengan sampah!"

"Sekiranya mereka tidak mendapat apa-apa yang dikehendaki, mereka akan menggertak kami seperti yang berlaku di Kedah.

"Dan jika kami mengkritik mereka, mereka akan mencabar kami supaya meninggalkan PR," ujarnya.
Di Selangor, Zulkifli memberitahu, kekacauan politik sedang bergolak dan menanti untuk 'meletup' pada bila-bila masa saja.

Jelasnya, ini kerana sikap angkuh dan cauvinis beberapa wakil DAP yang tidak menghormati speaker, komrad mereka sendiri.

"Terdapat satu ungkapan terkenal yang heboh diperkatakan di sekitar bandar Selangor iaitu, 'jika anda ingin memastikan sesuatu perkara dilakukan, tidak perlu jumpa Menteri Besar, hanya jumpa wakil-wakil DAP tertentu dan semua selesai'," katanya.

Zulkifli bimbang rakyat akan menolak PR sekiranya keadaan sedemikian berterusan kerana mereka tidak melihat apa-apa dilakukan oleh kerajaan PR.

Apa yang mereka lihat, katanya, ialah permainan menyalahkan pihak lain.

"Apa-apa salahkan kerajaan terdahulu. Salahkan orang lain kecuali diri sendiri bagaimanapun, yang telah kita lakukan.

"Semua perkara dipolitikkan. Malah pihak berkuasa ingin menyiasat tindakan jenayah beberapa ahli PR turut dipolitikkan," katanya.

Tambah Zulkifli, permainan politik ini telah membinasakan wakil rakyat dalam PR yang jujur, telus, tidak berpolitik serta cuma ingin melaksanakan tanggungjawab mereka.

Lebih buruk lagi, katanya, sikap angkuh dan cauvinis pemimpin DAP ini memberi ruang kepada Umno atau BN mengambil kesempatan serta mengeksploitasi kelemahan pakatan itu.

"Kita telah melihat ia berlaku di Perak. Sekiranya tidak berhati-hati, ia akan berlaku lagi. Jika ia berlaku, kita hanya mampu menyalahkan diri kita sendiri," katanya. - mStar online

Umno tunggu pendirian tetap Pas: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, umpama cuaca yang sentiasa berubah.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau mahu menunggu pendirian yang tegas dan tetap daripada Pas sebelum membuat keputusan untuk duduk berbincang bersama parti itu.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan Kampung Baru di sini pagi ini.

Kelmarin, Nik Aziz melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan Umno dalam usaha menegakkan kepentingan umat dan agama Islam di negara ini.

Beliau mengakui pertelingkahan yang berlaku antara Pas dan Umno sejak lebih 50 tahun lalu, tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Pas perlu tetapkan pendirian sebelum bincang: PM

KUALA LUMPUR: Pas perlu lebih tegas dalam pendiriannya sebelum membuat tawaran untuk berbincang dengan Umno mengenai sebarang isu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, pendirian tegas Pas amat diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat kerana pengalaman sebelum ini membuktikan Pas tidak konsisten dan selalu berdolak-dalik dalam pendiriannya.

"Saya tak tau nak kata apa sebab pendirian dia (Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ni bertukar macam cuaca, ada masa dia setuju, ada masa tak setuju, ada masa tutup, jadi saya tak tahu apa pendirian sebenarnya.

"Saya nak tungu pendirian yang tegas oleh Pas, jadi bila dia bersikap dolak-dalik ni susah nak cerita," katanya pada sidang akhbar di Dewaan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Baru di sini selepas melakukan tinjauan mesra ke Kampung Baru hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dan timbalannya, Datuk M Saravanan, serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Najib berkata, demikian ketika ditanya pendirian Umno berhubung kenyataan Nik Abdul Aziz dua hari lalu yang mahu Umno dan Pas menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja bagi membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata pemimpin Umno perlu memikirkan mengenai pentingnya kedua-dua parti itu membincangkan isu yang menyentuh agama kerana tiada faedahnya jika kedua-dua parti mengamalkan pendekatan permusuhan politik.

Najib berkata, pendirian tidak tegas dan sikap berdolak-dalik pemimpin Pas itu membuatkan Umno tidak boleh membuat keputusan atas pelawaan itu ketika ini.

Umno sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Pas mengenai kepentingan umat Islam selepas idea mengenainya dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada muktamar parti itu tahun lalu.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan hebat daripada Nik Abdul Aziz sehingga beliau mendesak Pas mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membincangkan isu itu dan akhirnya Pas terpaksa akur dan perbincangan dibatalkan.

Perdana Menteri turut menafikan dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa Umno menghabiskan masa lebih 50 tahun untuk menyerang pergerakan Islam seperti PAS, sebaliknya Najib berkata Umno adalah parti sebenar yang membangunkan Islam di negara ini.

"Kita tak menyerang pergerakan Islam, kita menegakkan Islam di dalam negara kita. Kita membangunkan Islam dalam negara kita, yang mana Umnolah yang menjadi parti yang sebenarnya membangunkan Islam di tanah air kita ini, pada hakikatnya...maka tidak benar apa yang mereka kata.

"Yang kita berbeza pendapat ialah dengan cara Pas. Politik Pas itu yang kita bezakan sebab Pas adalah parti politik. Pas tidak disamakan dengan Islam, Pas pada hakikatnya adalah sebuah parti politik...ini yang saya nak tegaskan," katanya. - Berita Harian