Tuesday, February 16, 2010

Boleh gagal sistem demokrasi


Shafie Apdal (kanan) menyatakan sesuatu kepada Ketua Menteri, Musa Aman (tengah) dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Joseph Pairin Kitingan di Rumah Terbuka PBS dan MCA Sabah sempena sambutan Tahun Baru Cina di Port View, Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri


KOTA KINABALU 15 Feb. - Tindakan 50 ahli Parlimen Australia mendesak kerajaan menggugurkan tuduhan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menggagalkan amalan sistem demokrasi dan Perlembagaan negara-negara Komanwel.

Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai perkembangan tidak sihat, Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah tersebut jelas tidak menghormati Perlembagaan negara.

''Apa akan jadi jika berlaku jenayah di Australia, ahli Parlimen kita minta supaya dakwaan digugurkan. Sudah tentu akan ada ahli Parlimen mereka (Australia) akan tersinggung.

''Oleh itu, mereka perlu mengkaji secara mendalam dahulu sebelum mengemukakan kenyataan atau desakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbukaTahun Baru Cina, MCA Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mengulas tindakan 50 penggubal undang-undang Australia menggesa kerajaan Malaysia menggugurkan kes liwat terhadap Anwar dengan alasan ia akan mencemarkan imej negara.

Dalam laporan agensi berita asing kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kecil bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby berkata, pendakwaan liwat kali kedua ke atas Anwar merupakan sesuatu yang memalukan sistem demokrasi di Malaysia dan merasakan mereka perlu menyokong pemimpin pembangkang itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Kementerian Luar memberi penjelasan berhubung perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar kepada 50 orang ahli Parlimen Australia itu.

Shafie berkata, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mencampuri hal ehwal dalaman sesebuah negara, apatah lagi membabitkan Perlembagaan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tuntutan itu dibuat pada waktu ini.

''Sebelum ini tidak ada protes.. Lagipun ini bukan satu tindakan menganiaya kerana mangsa sendiri yang membawa perkara ini ke mahkamah," tegasnya.

Beliau menambah, Perlembagaan sesebuah negara bukan satu perkara yang boleh dijadikan bahan politik, sebaliknya perlu dihormati semua pihak termasuk di luar negara.

Sementara itu, beliau mahu pasukan keselamatan meningkatkan kawalan dan rondaan di perairan Semporna bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan itu sentiasa terjamin.

Katanya, kejadian rompakan di Pulau Sebangkat tempoh hari wajar menjadi iktibar kepada semua pihak memperkemaskan tindakan masing-masing.

''Walaupun ia bukan merupakan satu kes penculikan tetapi harus dibanteras dengan cepat dan tegas supaya ia tidak berlarutan sehingga tidak dapat dikawal,'' katanya. - Utusan

No comments: