Saturday, February 6, 2010

GEJUT KEDAH : Bawa 200 ahli keluar parti

SIK: Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cawangan Sik, Mohd Sofian Ahmad, bersama lebih 200 ahlinya mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) untuk menyertai Umno selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu, semalam.


Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas mereka terkilan dengan pucuk pimpinan parti itu yang disifatkan hanya memperjuangkan kepentingan diri dan bukan nasib rakyat.

Beliau berkata, pihaknya sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan sia-sia ini selain berasa tertipu dengan agenda perjuangan parti yang kononnya mahu membela nasib rakyat.

“Pemimpin PR hanya pandai bercakap daripada melaksanakan tanggungjawab untuk membela rakyat khususnya di kawasan pedalaman. “Banyak masalah berlaku dalam PR, termasuk sikap tunjuk kuasa DAP yang sering berdolak-dalik dalam sesuatu hal,” katanya di sini, semalam.

Mohd Sofian berkata, mereka akan menyertai Umno kerana yakin dengan perjuangan parti itu yang lebih serius memperjuangkan hak rakyat terutama golongan miskin di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, perjuangan Umno membela nasib rakyat sekali gus mencerminkan sikap pemimpin parti itu di peringkat akar umbi. “Umno lebih telus membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Malah, Umno tidak mengamalkan diskriminasi dalam membantu rakyat termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang.

“Kepimpinan PR di Kedah sangat mengecewakan, sudah dua tahun memerintah Kedah, sehingga kini tidak ada perubahan yang dilakukan sedangkan rakyat masih menuntut janji yang ditaburkan kepada mereka,” katanya. Beliau berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sik juga akan dibubarkan hari ini (esok). - Harian Metro

No comments: