Monday, February 8, 2010

Guan Eng masih huni banglo mewah?

PULAU PINANG 7 Feb. - Walaupun hampir lapan bulan berlalu, namun tidak nampak sebarang tanda-tanda Ketua Menteri Lim Guan Eng akan berpindah dari banglo mewah di Jalan Pinhorn ke kediaman rasminya di Seri Teratai di sini.

Anehnya, tiada juga sebarang proses pengubahsuaian dilakukan di Seri Teratai yang didakwa Setiausaha Agung DAP itu mempunyai banyak semut api, anai-anai dan musang yang digunakannya sebagai alasan untuk berpindah.

Justeru, Pemuda Gerakan yakin Guan Eng sudah serasi dan tidak berkeinginan untuk berpindah dari kediaman mewah di No 25, Jalan Pinhorn itu.

Naib Ketua Pemudanya, H'ng Khoon Leng berkata, perkara itu dicerminkan daripada tindakan Guan Eng yang masih terus tinggal di banglo sewaannya itu meskipun masa yang diperuntukkan untuk melakukan operasi pembaikan atau pengubahsuaian telah tamat.

''Dulu dia (Guan Eng) kata akan pindah apabila kerja-kerja pengubahsuaian tamat. Tapi sehingga sekarang sudah lebih setengah tahun berlalu, namun dia masih terus tinggal di banglo mewah itu. Seri Teratai pun tidak ada sebarang kerja ubah suai dilakukan.

''Saya rasa dia sudah serasi dan selesa dengan kediamannya itu. Lagipun, kediaman itu telah diubah suai daripada banglo biasa menjadi banglo mewah. Jadi tidak kiralah berapa kadar sewa perlu dibayar, asalkan dia dapat terus tinggal di sana ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tahun lalu, Guan Eng berpindah dari Seri Teratai ke banglo mewah berkenaan atas alasan Seri Teratai mempunyai banyak semut api, anai- anai dan musang.

Kos pengubahsuaian banglo tersebut yang pada asalnya hanya sebuah banglo biasa ke sebuah banglo mewah dikatakan melebih RM1.5 juta.

Menurut Khoon Leng, pihaknya telah melaporkan kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu dan berharap siasatan mengenainya dipercepatkan.

''Sehingga kini, saya masih tidak mendapat maklumat mengenai siasatan itu walaupun ia telah dilaporkan agak lama," katanya. - Utusan

No comments: