Saturday, February 20, 2010

Kegagalan Kerajaan Pas Kedah : 3,000 penduduk hadapi kesulitan bekalan air

ALOR STAR: Kira-kira 3,000 penduduk lima kampung di sekitar Alor Mengkudu di sini, kecewa kerana bekalan air paip yang diselenggarakan pihak bertanggungjawab di kawasan itu sering putus sejak empat tahun lalu.

Penduduk di Kampung Padang Chapa, Kampung Alor Mengkudu, Kampung Alor Selut, Kampung Alor Keriang dan Kampung Tok Sadu mendakwa, keadaan semakin meruncing sekitar enam bulan lalu apabila bekalan air hanya diperoleh pada awal pagi iaitu sekitar jam 2 hingga 6 pagi.

Suri rumah, Rokiah Hitam, 49, dari Kampung Padang Chapa, berkata beberapa kawasan di sini mengalami masalah air hampir 20 tahun namun pihak berkenaan sehingga kini tidak mengambil langkah penyelesaian.

Katanya, pada waktu siang bekalan langsung tiada dan segala aktiviti kerja rumah seperti mencuci pakaian dan pinggan mangkuk tergendala malah air untuk mandi juga terpaksa dijimatkan.

“Masalah ini sudah diadukan kepada Jabatan Bekalan Air Kedah (kini dikenali Syarikat Air Darul Aman) namun tiada tindakan diambil.

“Memang masalah kerana kami hanya dapat menadah air awal pagi, itu pun alirannya perlahan dan untuk mengisi satu timba mengambil masa lima belas minit,” katanya.

Apa yang mengejutkan penduduk ialah, walaupun bekalan air perlahan dan tiada pada siang hari tetapi bil air mereka agak tinggi.

Seorang lagi penduduk, Che Intan Baharom, 43, berkata paip air di kawasan itu ibarat pameran pada siang hari dan disebabkan masalah itu, penduduk terpaksa bersengkang mata menadah air untuk digunakan pada waktu siang.

“Bagaimanapun ia masih tidak mencukupi malah untuk mengambil wuduk pun susah.

Katanya, anak-anaknya pernah ke sungai berdekatan untuk mandi, namun mengalami gatal seluruh badan kerana air sungai berkenaan dipercayai tercemar dengan racun sawah yang mana bekasnya sering dicuci di sungai berkenaan oleh petani.

Lebih menyulitkan katanya, apabila hendak mengadakan kenduri dan terpaksa memohon penghantaran air menggunakan lori tetapi bekalan tidak mencukupi menyebabkan kenduri terjejas, begitu juga apabila ada kematian.

Che Intan berkata, dia bingung memikirkan majlis kenduri perkahwinan adiknya yang akan berlangsung minggu depan dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk membeli tong bagi menadah air dan mula menadah air seawal mungkin. - Berita Harian

No comments: