Tuesday, February 16, 2010

Kelemahan terserlah jua : Umno tak perlu canang kelemahan pembangkang: Shafie

KOTA KINABALU: Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain hanya perlu bekerja untuk rakyat dan bukannya membangkitkan dilema yang kini dihadapi pembangkang, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, "keadaan rapuh" dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pakatan pembangkang bukanlah urusan Umno.

"Adalah penting untuk kita menyampaikan... memberi khidmat terbaik kita kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan kita.

"Dengan cara itu, rakyat akan tahu bahawa kita adalah kerajaan yang mengambil berat kebajikan mereka, pemimpin rakyat yang boleh dipercayai dan dapat memberi khidmat terbaik tanpa perlu memberitahu mereka bahawa pembangkang tidak boleh dipercayai," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini malam tadi.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang keluar daripada PKR Jumaat lalu.
Shafie berkata, apa yang berlaku dalam parti itu adalah disebabkan masalah yang membelenggu mereka dan tiada kena mengena dengan Umno.

Katanya, Umno tidak pernah mempengaruhi anggota pembangkang supaya meninggalkan parti mereka.

"Setahu saya, Zahrain memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas di kawasan pilihan rayanya. Tiada sebarang tanda bahawa beliau akan menyertai Umno atau mana-mana parti komponen BN," katanya. - Berita Harian

No comments: