Tuesday, February 9, 2010

Kerjasama Pas-UMNO dimuktamad Ahad ini

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Persoalan sama ada cadangan pimpinan tertinggi Pas supaya diadakan perbincangan dan kerjasama dengan UMNO diterima sebagai dasar parti atau sebaliknya akan dimuktamadkan pada 14 Februari ini.

Pada tarikh tersebut satu mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat akan diadakan di ibu pejabat parti itu di sini bagi membincangkan pelbagai isu termasuk cadangan 'berbaik-baik' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disokong pula oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pada mesyuarat itu, satu keputusan sebulat suara berdasarkan kepada konsep musyawarah akan diputuskan.

"Saya tidak mahu komen apa-apa mengenai cadangan sebelum ini kerana saya hanya dengar dan tahu melalui akhbar sahaja tiada sebarang kenyataan rasmi parti lagi.

"Dalam mesyuarat ini sesiapa sahaja yang bawa cadangan boleh dibincangkan sebelum diputuskan secara sebulat suara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menegaskan bahawa parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan UMNO dalam setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan hal politik dan agama.

Abdul Hadi berkata, polisi kerjasama antara Pas dan UMNO sama ada membabitkan perkara yang boleh dibincang atau sebaliknya bukanlah pertama kali dilakukan kedua-dua parti berkenaan dan ia merupakan polisi berpanjangan dari dulu hingga hari ini.

Sebelum itu, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya Pas dan UMNO duduk semeja berbincang serta menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.

Kata Menteri Besar Kelantan itu, Pas adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam UMNO sendiri dan adalah tidak wajar perseteruan yang ada terus menerus berlaku. - Utusan

No comments: