Tuesday, February 2, 2010

Muhyiddin Lancar Program Juara Rakyat Kedah Sabtu Ini

ALOR SETAR, 1 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akan merasmikan program Juara Rakyat peringkat negeri Kedah Sabtu ini, mempunyai jadual padat dalam lawatan sehari di negeri ini.

Sejurus tiba pada pagi itu Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Kedah serta keempat-empat sayap Umno Bahagian Jerlun di Wisma Umno Jerlun.

Selepas itu, Muhyiddin akan merasmikan program Juara Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang (SMKS), Air Hitam, 25 kilometer dari sini.

Bercakap pada sidang akhbar hari ini, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad berkata Program Juara Rakyat yang bermula pada Jumaat akan dipenuhi dengan acara seperti sukan rakyat, pertandingan aspek wanita, marhaban dan berendoi manakala forum perdana berlangsung pada sebelah malam di tempat sama.

Sejumlah 30 gerai menjual barangan usahawan bumiputera dan pameran agensi kerajaan turut didirikan sepanjang program dua hari itu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, dijadual mengadakan perjumpaan dengan pendidik seluruh daerah Kubang Pasu di SMKS pada sebelah petang dan kemudiannya menemui masyarakat Cina dan Siam di Sekolah Menengah Chung Hwa, Kodiang, sebelum berlepas pulang ke ibu negara. -- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

macamana kami geng pemuda nak sokong Barisan Umno.Kalau pihak UMNO Alor Setar sendiri buat kami macam anjing menyala kat bukit. Ahli UMNO Alor Setar sampai ke kepimpinan pun presiden PEKIDA Kedah tapi wat dajal kat belia melayu sendiri.Kalau saya buka kisah ini kat PAS mati UMNO KEDAH...