Saturday, February 6, 2010

Muhyiddin Yakin Kota Siputeh Tidak Akan Terpinggir

KODIANG, 6 Feb (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau yakin Kota Siputeh tidak akan terpinggir daripada arus pembangunan kerana penduduknya masih mengutamakan perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri bangga dengan semangat perpaduan yang kental di kalangan penduduk terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh itu dalam pelbagai kegiatan.

Berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat Kedah di Kota Siputeh dekat sini pada Sabtu, beliau berkata, pembangunan akan tetap mengalir di kawasan masyarakat yang mengutamakan perpaduan.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengatur program yang bertujuan mengesan masalah masyarakat dengan pemimpin di peringkat nasional turut turun ke padang.

Antaranya melalui program Juara Rakyat yang menyaksikan lebih 20,000 penduduk Kota Siputeh turut menyertainya dalam pelbagai kegiatan, tambah beliau.

Kota Siputeh kini menjadi perhatian sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap status Ketua Umno bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sarip sama ada akan kekal sebagai wakil rakyat kawasan DUN itu atau pilihan raya kecil diadakan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, kerajaan juga sentiasa memikirkan masalah yang dihadapi masyarakat luar bandar dan bandar. -- BERNAMA

No comments: