Thursday, February 11, 2010

Sayang DAP lebih dari Zukifli : Tindakan tegas ke atas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu - Anwar


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bakal menerima padah ekoran kenyataannya yang mendakwa pakatan pembangkang tidak memerlukan DAP.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas Zulkifli termasuk kemungkinan untuk sekali lagi mengheretnya ke Lembaga Disiplin PKR.

"Itu pandangan peribadi dia yang bertentangan dengan pendirian pimpinan dan dasar pakatan pembangkang serta PKR," katanya selepas menghadiri prosiding berkaitan kes perbicaraan kes liwatnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mengulas dakwaan itu dan tindakan yang boleh diambil ke atas Zulkifli, Anwar berkata: "Ia dalam proses mesyuarat jawatankuasa disiplin dan kita akan tegas.

"Kita tidak mahu lagi orang cari alasan apa-apa. Kita kena ikut dasar dipersetujui dan kalau tidak setuju, kita tiada pilihan."

Anwar menambah, dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam baru-baru ini, ketiga-tiga parti gabungan itu telah memutuskan untuk saling menerima di antara satu sama lain.

"Kita juga terima beberapa prinsip asas Perlembagaan seperti bahasa, hak keistimewaan Melayu, agama Islam dan kedudukan raja-raja tetapi semuanya telah dipermainkan oleh media UMNO untuk memecahbelahkan Melayu dan Cina.

"Kini, ia masih diteruskan. Media UMNO masih memperbesarkannya seolah-olah DAP menentang hak keistimewaan Melayu yang sepatutnya tidak berbangkit kerana pimpinan DAP, PKR dan Pas telah menandatangani permuafakatan bersama," ujarnya.

Ditanya pandangannya berhubung keinginan Pas untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO, Ketua Pembangkang itu menganggap ia bukan satu masalah kepada pakatan berkenaan.

"Tidak ada masalah, kita tidak pernah larang perbincangan dengan sesiapa pun dan pimpinan Pas turut memaklumkan kepada kita mengenai perkembangan semasa.

"Kita yakin kalau soal prinsip, Pas masih bersama pakatan pembangkang menentang kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan (perkara) itu tidak akan berganjak sedikit pun," tegasnya. - Utusan

No comments: