Friday, February 12, 2010

Zulkifli pertahan kenyataan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tetap mempertahankan kenyataannya yang mengatakan DAP menjadi duri dalam daging dalam Pakatan Rakyat (PR).

Malah, Zulkifli turut menyenaraikan sembilan dalil :(sebelah): mengukuhkan kenyataannya itu sebagai rujukan agar pakatan pembangkang mengkaji semula kedudukan dan kerjasama dengan DAP.

“Tindak-tanduk kepimpinan DAP sejak 8 Mac 2008 sehingga kini membuktikan sikap angkuh, sombong, chauvinis, ekstremis serta diktatorial yang bukan sahaja keterlaluan, malahan bercanggah dengan semangat dan persefahaman di antara komponen parti pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, rakyat mula mencurigai parti itu dan muak dengan sikap kaduk naik junjung yang jelas bertentangan dengan dasar reformasi yang dibawa oleh PR.

“Antaranya, kenyataan Jeff Ooi melabelkan Ahli Malis Pulau Pinang dan ahli Jemaah Islah Malaysian (JIM) , Mohd Razali Abdullah sebagai ekstremis, fundamentalis dan teroris kerana mengkritik kerajaan pimpinan Lim Guan Eng,” katanya.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan antara Anwar bagi membincang kritikan terhadap DAP tersebut.

“Saya yakin Anwar akan memahami pendirian saya setelah pertemuan tersebut nanti, malah menghormati hak Anwar untuk mengambil tindakan terhadap saya, sebagaimana saya juga berhak mengambil tindakan yang saya fikirkan perlu dan wajar.

“Nampaknya saya memegang rekod akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin serentak dengan dua dakwaan yang berbeza.....Belum pun terima pertuduhan kes kalimah Allah, dah nak kena pulak pasal isu DAP,” katanya.

Namun, yang menghairankannya, sehingga kini tiada sebarang tindakan disiplin diambil terhadap kepimpinan DAP walaupun jelas sikap mereka membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Demi masa depan PR, dan menjaga kepentingan dan kebajikan rak- yat, PR perlu mengkaji semula kedudukan DAP kerana dikhuatiri PR akan ditolak rakyat pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, parti itu sedia menyiasat sekiranya berlaku kes salah laku melibatkan ahli parti itu.

“Sekiranya ada bukti salah laku anggota parti, kemukakan kepada pimpinan parti untuk disiasat.

“Hal dalam rumahtangga buat apa nak hebohkan kepada orang luar. Kita ikhtiar supaya siasatan tidak didedahkan kepada awam” katanya kepada :Sinar Harian: semalam.

Beliau berkata, sekiranya hanya dakwaan dikemukakan, ia tidak cukup untuk merujuk kes kepada lembaga disiplin parti. - Sinar Harian

No comments: