Tuesday, March 9, 2010

Kerajaan pakatan boleh dianggap gagal - TPM

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pakatan pembangkang boleh dianggap gagal berikutan ketidakupayaan untuk mengumumkan kepada rakyat segala program yang telah dijalankan dalam tempoh dua tahun mereka berkuasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelemahan yang wujud pada pakatan itu adalah amat jelas jika dibandingkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memperkenalkan pelbagai perubahan untuk rakyat termasuk program transformasi kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (MEB).


Beliau berkata, kerajaan BN juga telah berjaya memulihkan ekonomi negara dan ini terbukti apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini diunjurkan sebanyak lima peratus.

"BN telah banyak laksanakan pembangunan dalam tempoh dua tahun selepas pilihan raya umum lalu.

Walaupun Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) belum sampai setahun pentadbirannya, kita boleh lihat banyak perancangan jelas berasaskan gagasan 1Malaysia.

"Dalam tempoh dua tahun pakatan pembangkang tidak membuat apa-apa manakala Perdana Menteri belum sampai setahun tetapi sudah banyak perubahan yang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program 1 Komuniti 1 Koperasi di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini bahawa pakatan pembangkang gagal melaksanakan pembangunan berkesan dan menunaikan janji selepas dua tahun berlalunya pilihan raya umum.

Menurut laporan khas itu, sepanjang dua tahun memerintah Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, tiada kesepakatan di kalangan parti yang menganggotai pakatan itu sehingga menyebabkan berlakunya kepincangan yang meruncing dalam pentadbiran di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Menurut Muhyiddin, kejayaan kerajaan BN memperkenalkan segala perubahan selepas pilihan raya umum lalu berpunca daripada sikap tidak terikut dengan polemik politik yang cuba ditimbulkan pakatan pembangkang.


"Kita cuba ditarik dalam kancah politik yang dibawa pembangkang, tetapi kita tidak lari daripada matlamat kita untuk membawa pembangunan kepada rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, koperasi di negara ini bukan saja terhad kepada aktiviti pembangunan ekonomi semata-mata malah perlu memberi tumpuan kepada aspek sosiobudaya masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, koperasi perlu berganjak ke hadapan melalui aktiviti ekonomi dan sosial yang meliputi lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama sama ada di bandar mahupun luar bandar.

"Koperasi tidak boleh dibataskan kepada bidang ekonomi semata-mata. Ia perlu melibatkan bidang sosial seperti kebajikan, alam sekitar kerana aspek sosial kini lebih diberi perhatian oleh rakyat," katanya.

Muhyiddin berkata, pendekatan 1 Komuniti 1 Koperasi yang berteraskan penubuhan koperasi di setiap komuniti di seluruh negara akan menyumbang kepada merealisasikan gagasan 1Malaysia.

"Pelancaran 1 Komuniti 1 Koperasi hari ini diharap akan dapat menyemarakkan lagi minat masyarakat Malaysia untuk menubuhkan koperasi tanpa mengira lokasi dan kawasan.

"Melalui penubuhan koperasi, pelbagai peluang perniagaan terbuka luas untuk diterokai secara berkumpulan.

"Penglibatan rakyat secara berkumpulan akan meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosioekonomi rakyat," katanya. - Utusan

No comments: