Monday, March 15, 2010

Nilai rekod 50 tahun BN terajui negara dengan baik

PUTRAJAYA 14 Mac - Rakyat perlu membuat penilaian terhadap rekod Barisan Nasional (BN) yang berjaya menerajui negara ini selama lebih 50 tahun dengan baik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka tidak seharusnya terpengaruh sehingga beralih sokongan kepada pembangkang semata-mata kerana rasa tidak puas hati berkaitan isu-isu kecil.

"Rakyat perlu menilai rekod baik BN selama ini dan terus memberi peluang kepada parti itu untuk meneraju dan memajukan negara.

"Jangan bertindak ikut emosi sehingga 'membakar kelambu' semata-mata kerana seekor nyamuk," katanya selepas merasmikan Program Juara Rakyat di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, kemajuan yang dibawa oleh kerajaan BN ternyata berjaya memberi keselesaan kepada rakyat terutama kakitangan awam.

Ini katanya, dapat disaksikan melalui pembangunan di Putrajaya yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk rakyat.

Dalam hal itu, beliau menasihatkan warga Putrajaya agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan termasuk menggunakan perkhidmatan bas awam.

''Gunakanlah bas awam yang disediakan untuk mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan.

''Kemudahan ini telah disediakan, jadi ia wajar dimanfaatkan oleh para penduduk di sini," katanya. - Utusan

No comments: