Saturday, March 6, 2010

PKR Kedah Mula Goyah, Dakwa Ahmad Bashah

 

ALOR SETAR, 6 Mac (Bernama) -- Kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri Kedah juga semakin goyah apabila ramai penyokong dan pemimpin parti berkenaan berhasrat keluar parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata mereka tidak berpuas hati dengan pengurusan parti berkenaan serta kecewa dengan pelbagai masalah yang melanda parti itu.

"Ramai yang mengeluh tidak puas hati dengan corak kepimpinan dan permasalahan yang tidak pernah padam dalam pemimpin parti itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Skuad Sayang' Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, di sini, pada Sabtu.

Ahmad Bashah berkata setakat ini tidak ada wakil rakyat PKR yang berjumpa dengan beliau atau mana-mana pemimpin UMNO bagi menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti tersebut.

"Yang ada hanyalah penyokong dan pemimpin di beberapa peringkat yang mahu meninggalkan PKR dan saya ingin tegaskan bahawa tindakan mereka keluar daripada PKR atas kerelaan sendiri dan bukan dipengaruhi oleh UMNO," katanya.

Ditanya mengenai penafian Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Mohd Radzhi Salleh bahawa beliau telah menyertai UMNO, Ahmad Bashah berkata sehingga sekarang wakil rakyat itu tidak pernah memohon menyertai UMNO.

"Beliau masih lagi wakil rakyat bebas yang menyokong Barisan Nasional dan sekiranya beliau berhasrat menyertai UMNO, maka beliau perlu membuat permohonan secara rasmi dan mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata UMNO bersedia membuka pintu kepada mana-mana pemimpin dan wakil rakyat parti lain yang berhasrat untuk bersama dalam perjuangan UMNO. -- BERNAMA

No comments: