Friday, December 24, 2010

Makin Kalut, Pakatan Pembangkang Fobia Simbol 1Malaysia

Akibat tidak berpuas hati dengan tindakan dan arahan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kepada sebuah premis serbaneka 24 jam agar menanggalkan logo 1Malaysia yang tertera pada papan tanda perniagaannya, kira-kira 50 orang mengadakan perhimpunan aman  sebagai langkah membantah arahan tersebut.

Mereka membawa tiga sepanduk antaranya tertulis `Pakatan Rakyat tindas peniaga demi kepentingan politik’ dan `MDKL, ahli majlis larang simbol 1Malaysia di Kuala Langat’.


Perhimpunan bermula pada jam 10.30 pagi  dan berakhir 15 minit kemudian, diketuai sendiri pemilik premis berkenaan, K.Thiyagarajan yang turut dihadiri Pemuda MIC Selangor, Pemuda UMNO Kuala Langat dan UMNO Bahagian Kuala Langat.

“Saya bukan orang politik dan kenapa pihak tertentu seolah-olah ingin mempolitikkan premis perniagaan ini.
“Saya menyokong Gagasan 1Malaysia kerana ia simbol perpaduan di negara ini mengapa pula ia tidak boleh digunakan? ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Thiyagarajan, perhimpunan tersebut dilakukan bagi melahirkan kekecewaan terhadap tindakan MDKL yang mengarahkan logo 1Malaysia di premisnya ditanggalkan walaupun sebelum ini lesen telah dikeluarkan.

Perhimpunan aman itu tamat selepas 10 minit mereka melaungkan perkataan 1Malaysia dan kemudiannya pemilik premis pergi ke MDKL bagi menyerahkan notis bantahan kepada Yang Dipertua MDKL, Abdul Razak Jaafar kira-kira pukul 1.30 petang.

“Saya amat kesal dengan tindakan MDKL itu kerana logo 1Malaysia yang tertera di premis tersebut menyebabkan perniagaannya maju apabila dikunjungi dengan pelbagai kaum. Logo itu juga sangat bersesuaian dengan penubuhan kedai serbaneka itu yang dimiliki oleh tiga rakan kongsi termasuk seorang berbangsa Melayu,” tambahnya lagi.

Ujarnya, beliau juga sudah membuat laporan polis Isnin lalu selepas menerima notis daripada MDKL yang bertarikh 16 Disember.

Sementara itu, Yang Dipertua MDKL, Abdul Razak berkata, pengeluaran arahan untuk menurunkan logo itu adalah keputusan kerajaan negeri yang melarang penggunaan logo 1Malaysia di mana-mana kain rentang dan papan iklan.

Katanya, pihak majlis hanya menjalankan arahan kerajaan negeri supaya semua logo 1Malaysia diturunkan dan tidak boleh digunakan.

“Keputusan telah dibuat pada mesyuarat Exco pada 28 September lalu dan dipersetujui baru-baru ini,” katanya.

Ujarnya, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) harus akur dengan arahan kerajaan negeri yang tidak membenarkan penggunaan logo 1Malaysia.

Tambahnya, satu laporan lengkap akan dihantar kepada kerajaan negeri berhubung isu terbabit untuk tindakan lanjut. - MediaUMNO

No comments: