Friday, January 27, 2012

@SyedHusinAli Saman Utusan Dan @ZulkifliNoordin

Syed Husin Ali pada Jumaat memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan dua lagi berhubung artikel yang didakwa memfitnah beliau.

Syed Husin, 76, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Edwin Lim Suren and Soh.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menamakan Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak dan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin sebagai defendan.

Beliau menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain dan juga satu perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Syed Husin mendakwa Utusan Melayu dan Abdul Aziz telah secara palsu dan dengan niat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Nov tahun lepas, berjudul "Zul Noordin nafi dakwaan Syed Husin".

Syed Husin berkata Zulkifli dalam laman web peribadinya telah menerbitkan semula artikel yang sama tetapi atas tajuk yang lain iaitu "Anjing-anjing Pencen".

Beliau berkata perkataan-perkatan itu dalam maksud asal dan biasanya bermaksud beliau melakukan rasuah, telah melakukan kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara, seorang yang hipokrit atau tidak boleh dipercayai dan tidak layak dipanggil sebagai seorang ahli politik dan ketua kepada sebuah parti politik.

Syed Husin berkata disebabkan penerbitan perkataan-perkataan itu, karektor dan reputasinya telah tercemar. - MyVo1ce_News

No comments: